Pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas badan pemikir akademik itu yang disifatkan telah terjerumus daripada fungsi asal, hilang punca selain sesat dalam membela nasib rakyat. Lebih mendukacitakan, ia turut didakwa sebagai pelaris agenda politik kepartian.

Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM selepas sesi Sembang Online di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Kuala Lumpur baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose menjelaskan segala salah faham itu selain menjelaskan fungsi sebenar MPN dan niat murni golongan profesor menyertai organisasi berkenaan adalah semata-mata untuk memberi balik kepada masyarakat tanpa diupah atau dibayar pihak-pihak tertentu.

 

UTUSAN: Boleh Prof. jelaskan apakah fungsi sebenar MPN?

DR. RADUAN CHE ROSE: Saya terlibat secara langsung dalam mengurus sekretariat MPN ini. Kita mempunyai seramai 2,900 individu profesor yang bebas pemikirannya. Kita tidak pernah menyekat malah memberi kebebasan kepada setiap profesor untuk me­nyuarakan pendapat mereka. Sepanjang tempoh itu, ada dalam kalangan mereka memberikan komen seolah-olah menyatakan sokongan kepada parti politik bukan sahaja parti pemerintah pada masa itu, tetapi berpandangan seperti berpihak kepada parti pembangkang. Namun, kita meraikan hak bersuara individu masing-masing.

Apa pandangan Prof. apabila ada tuduhan yang mengatakan MPN adalah sebuah entiti politik kepartian?

Kita tidak ada niat langsung terlibat dalam politik kepartian. Saya sendiri tidak mewakili atau menjadi ahli mana-mana parti. Apabila kita menyuarakan sesuatu isu, ia adalah bersifat neutral. Selama 10 tahun para profesor dalam MPN memberi input kepakaran terutama dalam penggubalan polisi baharu kerajaan. Sifat ahli akademik sangat terbuka, apa sahaja yang disuarakan adalah untuk memberi ruang dan peluang semata-mata untuk kebaikan negara.

Saya menyeru masyarakat, pandanglah kami sebagai kumpulan profesor yang ingin memberi balik khidmat kepakaran kepada masyarakat. Niat murni ini bukan diupah pun, naluri untuk memberi balik kepada masyarakat ini sangat tebal. Jadi, jangan salahkan profesor ini. Saya tidak nafikan ada seorang dua yang terlalu cenderung pandangannya berbaur politik, namun ia di luar kawalan kita.

Adakah Prof. yakin MPN akan terus diwujudkan atau dibubarkan di bawah kerajaan baharu ini?

Sebagai sebuah agensi yang dahulunya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), pengumuman telah dibuat bahawa MPN dibubarkan. Tetapi hakikatnya, MPN mewakili para profesor yang diwujudkan satu platform khusus untuk golo­ngan akademik ini untuk memberi sumbangan dari segi idea dan kepakaran. MPN telah diluluskan Kabinet pada 2008. Tetapi pada 2014, ia didaftarkan sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan (CLBG). Sifat syarikat itu ialah ia tidak boleh dibubarkan oleh pihak lain.

Sebagai sebuah jabatan di bawah JPM, mereka telah memansuhkannya. Namun, sebagai sebuah syarikat, ia masih wujud dan masih beroperasi, masih sah dan boleh bergerak sendiri. Bagaimanapun, kita lebih selesa untuk berfungsi dengan lebih efektif sekiranya diletakkan di mana-mana agensi kerajaan atau kementerian kerana memikirkan soal dana. Kedua, kemudahan akses kepada kerajaan. Kita telah mengemukakan kepada pihak kerajaan supaya mempertimbangkan MPN ini supaya di­struktur semula atau diberi taraf persendirian bebas dan berautonomi, namun diberi geran oleh kerajaan. Itu lebih baik sifatnya bebas dan kekal.

Jadi, apa perancangan hala tuju MPN selepas ini?

Fungsi MPN tetap sama, tetapi kita mahu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu apabila perubahan kerajaan baharu. Kita akan lihat rancangan yang diubah daripada sebelum ini.

Bagaimana pula mahu mena­ngani persepsi masyarakat terhadap MPN?

Saya tidak kisah persepsi masyarakat. Kita tidak lakukan sesuatu atas sebab untuk memenuhi persepsi orang kerana kita laksanakan dengan ikhlas. Kalau kita buat apa pun, persepsi orang tetap negatif. Profesor berkhidmat kerana merasakan selepas mendapat nikmat belajar dan diberi kerjaya baik, mereka rasa terpanggil untuk memberi semula kepada masyarakat.

Adakah wujud kebimbangan dalam kalangan profesor?

Tidak ada sedikit pun kebimbangan mereka. Kerjaya mereka terjamin. Mereka adalah profesor di universiti masing-masing. MPN ini adalah platform antara mereka diketemukan. Itu sahaja. Gaji mereka dibayar oleh universiti masing-masing. Tidak ada sesiapa kehilangan kerjaya profesor ini. Sebenarnya tugas dalam MPN ini bukan semua terlibat pun. Cukup sekadar 10 hingga 15 orang sahaja berdasarkan isu dan kepakaran tertentu barulah kita jemput mereka.

Adakah MPN ini penting untuk memberi input kepada kerajaan?MPN adalah peluang yang sa­ngat baik untuk digunakan kerajaan sebab kepakaran sedia ada mereka yang telah ‘dilaburkan’ kerajaan untuk mereka mendapat pengalaman dan ilmu baharu. Jadi, kenapa tidak mahu ‘gunakan’ mereka sedangkan orang lain bayar untuk mendapatkan khidmat kepakaran mereka. Namun, golongan profesor ini ingin memberikan percuma sebagai satu bentuk sumbangan kepada negara.