Dalam usaha membina kemajuan dan menjadi negara maju, Malaysia tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada ha­sil bumi seperti minyak dan hasil pertanian seperti kelapa sawit dan getah kerana harga pasaran dunia yang sentiasa tidak menentu. Jadi, dalam menghadapi kegawatan fenomena ini maka membangunkan industri adalah langkah yang bijak yang akan memberi impak ekonomi kepada rakyat.

Membangunkan industri adalah amat penting kerana perindustrian akan meningkatkan produktiviti. Apabila produktiviti itu tinggi maka kos bagi setiap unit produk akan dapat dikurangkan dan produk itu dapat dipasarkan dengan harga murah atau dengan kata lain dapat meninggikan daya beli kita. Daya beli kita ini dapat dilihat dengan wang yang ada di tangan kita apakah kita boleh membeli barang yang banyak atau sedikit berbanding dahulu.

Sebagai contoh, mungkin dahulu apabila membawa duit RM50 ke pasar malam banyak barangan dapur boleh dibeli tetapi kini dengan wang RM50 hanya sedikit sahaja barang yang boleh dibeli. Ini bermakna daya beli semakin kurang. Masalah ini tidak boleh diatasi dengan menaikkan gaji atau tumpuan kepada berpendapatan tinggi kerana apabila gaji dinaikkan maka kos pengeluaran turut akan bertambah dan hasilnya harga barangan per unit akan meningkat atau menjadi lebih mahal. Gaji hanya boleh dinaikkan apabila produktiviti meningkat.

Sehubungan itu, industri automotif menjadi pilihan Dr. Mahathir untuk dibangunkan. Maka, pada 1985 Proton ditubuhkan supaya Malaysia tidak lagi bergantung kepada asas pertanian dan hasil bumi yang semakin berkurang.

Pada Julai 1985 ketika mula-mula kereta Proton Saga dikeluarkan hanya 30 peratus sahaja terdiri daripada bahan tempatan tetapi pada 1989 kereta Iswara berjaya menggunakan 65 peratus bahan tempatan dan apabila kereta Wira pula dikeluarkan, penggunaan bahan tempatan meningkat sebanyak 80 peratus dan selepas itu kereta buatan Malaysia berjaya menggunakan sepenuhnya bahan tempatan.

Namun begitu, industri global mempamerkan pertumbuhan yang lembab. Menyedari situasi ini, Dr. Mahathir menyusun strategi dengan merangka Dasar Automotif Nasional. Dasar Automotif Nasional ini bertujuan menghasilkan transformasi dan integrasi optimum industri nasional ini ke dalam jaringan industri serantau dan global bagi menjana nilai ekonomi yang berterusan serta menguntungkan pengguna Malaysia.

Pada 1993 pula, Dr. Mahathir melancarkan kereta kedua atau dikenali sebagai Perodua. Tumpuan Perodua adalah menghasilkan kereta mini yang tidak mempunyai model dalam segmen pasaran yang sama dengan Proton. Banyak model dikeluarkan seperti Kancil, Kelisa, Kembara, Viva, MyVi dan lain-lain. Apa yang membanggakan kita adalah apabila Perodua Myv menjadi model yang paling popular.

Hari ini, Perodua MyVi baharu telah mencatat kejayaan yang amat memberangsangkan apabila menerima tempahan sebanyak 70,000 unit bermula dari 8 November 2017 sehingga 30 April 2018. Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu melakukannya. Malaysia boleh.

Kini, Dr. Mahathir terus mengorak langkah dengan mencadangkan penubuhan kereta Nasional yang ketiga pada 2020. Memetik laporan Nikkei Asian Review yang menyatakan kerajaan Malaysia akan mendapatkan bantuan daripada pengeluar kereta Jepun seperti Nissan Motor dan Toyota Motor dalam usa­ha mewujudkan kenderaan nasional ketiga. Cadangan ini telah menimbulkan pelbagai reaksi sama ada positif atau negatif.

Cadangan penubuhan kereta nasional ketiga ini bukan hanya dilihat dari segi data keuntungan wang dan ringgit semata-mata tetapi faktor lain yang perlu diambil kira seperti pemindahan teknologi, menyediakan peluang pekerjaan sama ada tenaga buruh, separa mahir atau tenaga mahir. Setakat ini industri automotif telah pun menyediakan 120,000 peluang pekerjaan.

Peluang kepada vendor-vendor tempatan khususnya bumiputera untuk menceburkan diri sebagai pembekal komponen pembuatan plastik, logam, alat, bahagian elektrik dan alat ganti selepas pasaran yang bukan ha­nya di Malaysia tetapi di rantau ASEAN.

Menubuhkan institut latihan perindustrian automotif dengan mengadakan kerjasama dengan syarikat-syarikat Jepun yang berteknologi paling maju, menjalankan penyelidikan ber­terusan bagi membangunkan komponen-komponen kende­raan yang terdiri daripada bahan mesra alam, menghasilkan ken­deraan yang cekap tenaga seperti penggunaan tenaga elektrik.

Pada masa sama, mewujudkan pusat-pusat untuk mengecas ba­teri serta banyak lagi. Kesemuanya ini akan memberi impak ekonomi kepada rakyat Malaysia.

Akhir sekali, negara-negara seperti Indonesia, Vietnam dan Maghribi sanggup berjumpa dengan Dr. Mahathir bagi mendapatkan pandangan dan nasihat bagaimana mereka dapat membangunkan industri automotif demi untuk rakyat mereka.

Inilah makna industrialisasi yang sangat besar kepada negara terutama kepada negara Islam supaya dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan Islam yang menjadi sejarah silam dan Islam yang memberi rahmat kepada seluruh umat manusia.

PENULIS ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).