Jika beberapa tahun lalu Amerika Syarikat (AS) dianggap sebagai kambing hitam dalam semua hal termasuk ekonomi se­perti tentangan terhadap penyertaan Malaysia dalam Perkongsian Trans Pasifik (TPP) dengan alasan AS akan menggunakan kuasa ekonomi mereka untuk menjajah negara, tetapi pada ketika ini ­peranan kambing hitam AS telah diambil alih oleh China.

Jika tidak lama dahulu Malaysia sering dituduh terlalu rapat dan bergantung dengan AS tetapi kini tuduhan tersebut beralih kepada China kerana sejak ­kebelakangan ini negara ber­kenaan mudah dipergunakan untuk menggambarkan niat tersirat yang tidak baik besar kemungkinan ekoran tindak tanduk kuasa besar itu di Laut China Selatan yang dianggap begitu rakus.

Sebab itu, apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam rangka lawatan ke China beberapa hari lalu mengumumkan penubuhan jawatankuasa Peringkat ­Tertinggi Malaysia-China yang akan mengeratkan hubungan diplomatik dan pertahanan kedua-dua negara, berita sebegini akan menyemarakkan lagi tuduhan Malaysia terlalu bergantung dengan China.

Berita penubuhan jawatankuasa yang disusuli pula dengan pemeteraian perjanjian subkontrak antara Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) dan China Shipbuilding & Offshore International Co. Ltd (CSOC) yang berkait dengan pembinaan Kapal Misi Pesisir (LMS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menambahkan spekulasi Malaysia terlalu akrab dengan China bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga merentasi sektor pertahanan yang lazimnya amat sensitif.

Jika begitu mudah kumpulan yang menggunakan China sebagai kambing hitam untuk mempengaruhi rakyat supaya sangsi dengan niat China yang membuat pelaburan dalam jumlah yang besar, maka lebih mudah lagi untuk kumpulan yang sama menjual strategi mereka mengguna isu pertahanan pula.

Tetapi sebelum rakyat Malaysia menjadi curiga dan musykil dengan keakraban pertahanan dengan China, kita perlu membacanya dalam ruang lingkup yang lebih luas iaitu kaitannya dengan percaturan geopolitik di antara kuasa besar terutama sekali yang berlaku di Laut China Selatan.

Jika sedekad lepas hanya AS yang hadir di rantau ini sebagai kuasa besar yang mampu mewarnai senario geopolitik tetapi hari ini China muncul sebagai pesaing AS dan keadaan seperti ini perlu diambil kira Malaysia dalam me­laksanakan dasar luar negara.

Carat, Keris dan Cobra adalah antara latihan ketenteraan yang melibatkan Malaysia dan AS yang sering dilaksanakan sama ada di Selat Melaka atau Laut China Selatan dan kekerapan latihan se­perti ini menggambarkan keakraban organisasi angkatan tentera antara dua negara di samping ia juga membawa isyarat yang tersirat.

Seperti mana latihan ketente­raan pada ketika ini di antara AS, Korea Selatan dan Jepun yang antara lain melibatkan armada kapal perang Carl Vinson dan kapal selam nuklear USS Michigan berhampiran Semenanjung Korea yang memberi isyarat tertentu kepada Pyongyang, tidak dinafikan setiap latihan ketenteraan membawa maksud yang begitu kuat.

Dengan kemunculan China yang disifatkan lebih rakus tetapi pintar dalam menggunakan kekuatan ketenteraan mereka, Malaysia yang sememangnya mempunyai hubungan dagang yang sihat dengan China perlu meneroka strategi baharu supaya negara tidak ketinggalan dan tersepit dalam percaturan antara AS dan China di perairan Laut China Selatan.

Apabila Presiden Donald Trump mengarahkan Syria di­serang de­ngan 59 peluru berpandu baru-baru ini, Rusia sebenarnya meraih manfaat geopolitik kerana tindakan Trump telah mengukuhkan pengaruh dan cengkaman Rusia bukan sahaja terhadap Syria tetapi rantau Asia Barat.

Begitu jua apabila Trump me­ngarahkan armada perang Carl Vinson dan USS Michigan menuju ke Semenanjung Korea, strategi sebegini memperkuatkan pengaruh China di rantau sebelah sini. Seperti mana Rusia yang tidak bertindak balas melalui ketenteraan untuk meredakan keadaan tetapi menggunakan saluran diplomasi untuk me­merangkap AS, China juga guna pakai strategi yang serupa untuk meredakan ketegangan di antara AS dan Korea Utara.

Tidak keterlaluan dianggap bahawa China telah menyelamatkan maruah AS dalam pertembungan dengan Korea Utara kerana tindakan AS dianggap sebagai gertakan semata-mata kerana strategi menyerang yang digunakan terhadap Syria tidak boleh digunakan terhadap Korea Utara.

Adalah dijangkakan pada masa hadapan AS mengendurkan kehadiran mereka di Laut China Selatan walaupun retorik Trump terhadap perairan tersebut begitu kritikal terutama sekali terhadap China. Ini adalah jika China berjaya mengawal tindak tanduk Korea Utara maka tidak syak lagi Trump akan mendabik dada bahawa strategi ugutan beliau telah berjaya dan sebagai balasan tersirat kepada peranan China, AS akan kurangkan kehadiran mereka di Laut China Selatan.

Sebab itu dihujahkan keakraban Malaysia dan China dalam hal pertahanan adalah keputusan strategik mengambil kira senario masa hadapan geopolitik Laut China Selatan kerana pertikaian di perairan sensitif ini hanya dapat diselesaikan secara adil apabila saluran komunikasi dan diplomasi dijalinkan atas dasar ketelusan antara pihak yang bertelagah.