Kelemahan penguatkuasaan menyebabkan cili diimport dari Vietnam, China dan Thailand membanjiri pasaran negara dengan harga lebih murah berbanding produk tempatan. Dianggarkan bagi setiap empat hektar penanaman cili, petani boleh mengalami kerugian sehingga RM20,000 pada setiap musim.

Harga bagi sayur dan buah-buahan biasa telah naik sejak tahun lalu. Perkara ini perlu diberi perhatian segera memandangkan CAP begitu bimbang harganya yang mahal akan menghalang pengguna daripada mengambil sayur dan buah segar yang secukupnya dalam diet mereka.

Malaysia telah gagal dalam sektor pertanian kerana kita terlalu bergantung kepada hasil pertanian yang diimport. Terdapat perbezaan yang ketara antara kita dan Thailand, yang memajukan sektor pertaniannya pada 1960, dengan menggunakan tanah terbiar dan tenaga buruh yang ada.

Tumpuan kepada sektor pertanian, membolehkan kadar ke­miskinan di kawasan desa Thailand menurun daripada le­bih 60 peratus pada awal 1960-an kepada kurang daripada 10 peratus pada awal 2000. Kerajaan negara itu menyokong petani kecil de­ngan memberi kredit pertanian dan sektor itu berkembang maju seiring dengan perindustrian dan perbandaran.

Kemajuan pertanian di Thailand bukan sahaja menyumbang ke arah penurunan kadar kemiskinan di desa malah turut menyediakan jaminan makanan dan pemakanan berkhasiat kepada penduduk. Revolusi pertanian dikembangkan oleh rakyat Thai sendiri; lebih daripada 70 peratus penduduk melibatkan diri dalam sektor berkenaan pada 1980-an di mana sebahagian besar daripadanya adalah golongan miskin.

Sejak 1975, Bank of Thailand (menyamai Bank Negara Malaysia) mengarahkan semua bank supaya memperuntukkan sebahagian daripada pinjaman komersial kepada sektor pertanian. Pinjaman yang diberi itu pula dikenakan kadar faedah yang lebih rendah berbanding kadar pasaran.

Tetapi di Malaysia, sektor pertanian berdepan dengan pelbagai masalah sejak berdekad lamanya dan kini keadaan semakin buruk. Disebabkan terlalu bergantung kepada sayuran import, kita terpaksa membayar lebih untuk produk ter­sebut jika nilai ringgit lemah.

Malaysia dilaporkan membe­lanjakan kira-kira RM3.2 bilion bagi import sayur-sayuran dan buah-buahan pada 2016. Keuta­maan sektor pertanian disalah letak kerana pada 2012, Malaysia memiliki 5.1 juta hektar penanaman kelapa sawit berbanding 52,582 hektar untuk sayur-sa­yuran dan 205,467 hektar untuk buah-buahan. Keluasan tanah bagi kedua-dua sayuran dan buah­an adalah 258,049 hektar, atau cuma 5.1 peratus daripada tanah untuk penanaman kelapa sawit.

Keluasan tanah untuk penanaman buah-buahan di Malaysia telah menyusut dalam tempoh lima tahun (2009 - 2013) sungguhpun hasil tanaman sayur-sayuran kita telah meningkat, kecukupan bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan masih jauh berkurangan daripada yang kita perlukan.

Kedudukan ringgit yang lemah turut memberi kesan kepada kos pengeluaran, dalam bentuk penggunaan peralatan dan bahan kimia pertanian yang lebih mahal.

Pergantungan Malaysia kepada buruh asing turut memberikan kesan yang buruk kepada negara. Secara rasmi kita dianggarkan mempunyai 3.2 juta buruh asing atau kira-kira 10 peratus daripada jumlah penduduk pada 2017.

Untuk membendung kemasukan buruh asing tanpa dokumen, pihak berkuasa Malaysia sering menjalankan serbuan dan petani atau pemilik ladang menghadapi masalah untuk mengupah pekerja asing disebabkan masalah biro­krasi. Tambahan pula, sebahagian daripada ladang berkenaan telah digunakan untuk pemba­ngunan hartanah atau bukan untuk tujuan pertanian.

Pada 2012, saintis pertanian, Mohd. Peter Davis telah memberi amaran bahawa Malaysia akan berdepan dengan bencana kebuluran jika ia mengalami keme­lesetan ekonomi yang besar. Tidak seperti negara-negara pengeluar makanan iaitu Thailand dan Viet­nam, Malaysia tidak mempu­nyai pengeluaran makanan yang mapan. D alam masa terdesak, negara-negara tersebut mampu membekalkan makanan kepada penduduk mereka terlebih dahulu sebelum menjual makanan ke­pada negara lain seperti kita.

Kita mungkin tidak akan me­ngalami kebuluran tetapi perbezaan dalam kekayaan menentukan akses seseorang kepada kuantiti dan kualiti makanan. Deklarasi Sejagat mengenai Hak Manusia (PBB 1948) khususnya Perkara 25 menyebut, “Setiap orang berhak untuk mendapatkan standard kehidupan yang mencukupi untuk kesihatan dan kebajikan beliau serta keluar­ganya, termasuk makanan”.

Sehubungan itu, CAP mengulangi gesaannya supaya disemak semula strategi makanan pertanian sedia ada dengan dasar kerajaan yang tegas seperti:

• Membantu pekebun kecil memasarkan hasil pertanian mereka dengan menyediakan hubungan kepada sistem pemasaran yang menyeluruh.

• Memberi penekanan kepada pemasaran yang membantu me­ningkatkan pengeluaran pertanian.

• Sahkah pekerja asing yang bertukar menjadi ‘tidak sah’ di­sebabkan masalah teknikal mi­salnya majikan gagal memohon permit kerja mereka? Ini dapat membantu memperbaiki masalah kekurangan pekerja di ladang dan sektor-sektor lain.

• Kerajaan perlu membentuk pusat keselamatan dan kualiti makanan untuk hasil pengeluar­an demi memastikan hasil pertanian yang diimport dan produk keluaran tempatan memenuhi piawaian yang sedia ada, khususnya berhubung paras sisa racun makhluk perosak.

CAP berharap pihak berkuasa memperbetulkan segala masalah yang dihadapi sekarang yang menjejaskan jaminan bekalan makanan di negara kita.

PENULIS ialah Presiden CAP.