Soalan tersebut berkait pasal pertemuan Najib dengan Pre­siden Amerika Syarikat (AS) Do­nald J. Trump di White House baru-baru ini yang tidak di­nafikan seperti mana yang diandaikan juga oleh Wan Azizah itu sebagai agak luar biasa kerana lazimnya Trump tidak akan menjemput pemimpin luar melawat White House jika tiada kepentingan Amerika yang mahu diraih.

Tapi bagi Wan Azizah yang menyimpulkan peristiwa tersebut sebagai asas berlakunya perubahan dasar luar Malaysia dianggap agak tersasar sedikit kecualilah beliau mempunyai niat tersirat apabila mengajukan pertanyaan tersebut sebagai soalan tambahan ekoran daripada pertanyaan asal oleh Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) berhubung hasil lawatan kerja Najib ke AS.

Mengapa pertanyaan tersebut dianggap sedikit tersasar kerana asas yang digunakan oleh Wan Azizah untuk membuat interpretasi langkah Malaysia membuat pelaburan ke AS sebagai perubahan dasar luar negara kerana seperti semua maklum AS adalah rakan niaga ketiga terbesar bagi Malaysia dengan jumlah daga­ngan kedua-dua negara mencecah hampir RM136 bilion pada 2016.

China adalah rakan niaga ­kedua terbesar Malaysia dan ada kemungkinan juga soalan dari Wan Azizah itu cuba mencungkil jawapan dari Najib bahawa jika sebelum ini banyak perhatian diberi kepada pelaburan yang berasal dari China, maka kemungkinan juga lawatan Najib adalah isyarat bahawa Malaysia sedang beralih angin kepada AS pula.

Sebenarnya jika diteliti jawapan kepada kemusykilan Wan Azizah sudah terjawab apabila Najib memberi penerangan me­ngenai lawatan beliau ke Wa­shington ekoran kepada soalan asal dari Ahli Parlimen Bintulu.

Apabila Najib antara lain me­negaskan aspek pelaburan dan perdagangan dua hala adalah antara komponen utama lawatan beliau ke AS dan aspek ini dititikberatkan memandangkan pentadbiran AS yang diketuai Trump dilihat mempunyai pandangan berbeza berhubung dasar ekonomi, perdaga­ngan dan pelaburan yang diamalkan sebelum ini, jawapan seperti ini sebenarnya mempunyai maksud yang begitu dalam.

Berhadapan dengan pe­mimpin seperti Trump memerlukan strategi yang agak khusus terutama sekali pentadbiran beliau yang begitu taksub de­ngan ungkapan MAGA iaitu untuk me­ngembalikan kegemilangan dan kehebatan AS seperti satu masa dahulu.

Pada pemikiran Trump setiap keputusan dan dasar yang dibuat oleh beliau asasnya adalah mendahulukan kepentingan negara dan rakyat Amerika.

Tidak menghairankan me­ngapa Trump menarik keluar AS daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana pada pendapat beliau perjanjian tersebut tidak bertepatan dengan matlamat MAGA kerana rakyat Amerika bakal kehilangan banyak pekerjaan.

Begitu juga apabila AS keluar dari Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim kerana pada pandangan Trump untuk mematuhi perjanjian tersebut, syarikat yang beroperasi di AS akan berhadapan dengan kos yang lebih tinggi.

Sebab itu dari segi strategi­nya, agenda pembukaan semasa pertemuan Najib dengan Trump mesti memberi persepsi ia selari dengan ungkapan MAGA Trump.

Ini kerana sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia dan Malaysia yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka akan terkesan jika Trump mengamalkan dasar perlindungan yang berlebihan seperti menyukarkan lagi syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran AS.

Ketiadaan TPPA menyukarkan lagi keadaan bagaimana untuk mencapai sasaran pengguna Amerika seramai 300 juta orang.

Sebab itu apabila Najib membuat tawaran kepada Trump menerusi peningkatan pelaburan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd. serta kerjasama antara Malaysia Airlines Bhd. (MAB) dan Boeing, ketiga-tiga tawaran tersebut merupakan strategi licik bagaimana untuk berbincang dengan Trump. Ini kerana dalam pemahaman Pre­siden AS kesemua tawaran perdagangan tersebut adalah selari dengan ungkapan MAGA beliau.

Perlu difahami bahawa pe­rancangan pelaburan oleh KWSP, Khazanah dan perolehan pesawat oleh MAB bukan dilakukan khusus untuk memenuhi agenda pertemuan kedua-dua pemimpin tetapi adalah strategi perniagaan masing-masing.

KWSP dan Khazanah um­pa­manya sering membuat pe­la­buran di luar negara kerana itu adalah sebahagian daripada strategi pelaburan jangka panjang kedua-dua agensi berkaitan kerajaan.

Tetapi jika soalan tambahan Wan Aziziah itu berniat untuk memastikan bahawa tawaran pelaburan tersebut sengaja dijadikan agenda utama oleh Najib, maka telahan tersebut mempu­nyai kebenarannya kerana seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri ketika menjawab soalan asal tawaran pelaburan itu dianggap sebagai tindakan proaktif.

Ahli politik Malaysia perlu menghayati strategi bagaimana untuk berhadapan dengan pe­mimpin asing terutama dari negara kuasa besar seperti Trump dan juga Presiden Xi Jinping dari China kerana matlamat akhirnya adalah perolehan manfaat untuk negara.

Mungkin pada asasnya kelihatan keakraban Najib dan Trump dibaca oleh Wan Azizah sebagai anjakan dasar luar negara memandangkan sebelum ini keakraban di antara Najib dan Xi begitu menonjol sekali. Tetapi hakikatnya, semua itu adalah strategi dalam percaturan geopolitik antarabangsa.