Tetapi maklumat paling menakjubkan ialah anggaran jumlah wang yang telah dibelanjakan oleh calon dan parti dijangkakan menjangkau sehingga AS$5 bilion (RM20.8 bilion) yang membuatkan pilihan raya kali ini termahal dalam sejarah AS. Kos perbelanjaan yang agak melampau ini banyak digunakan untuk menyiarkan iklan kempen dalam media televisyen, radio dan akhbar.

Tidak dinafikan jika calon atau parti politik di AS tidak mempunyai dana kewangan yang kukuh maka agak sukar untuk mereka turut serta dalam proses demokrasi seperti pilihan raya. Tetapi tidak memeranjatkan kerana kebanyakan calon terutama sekali daripada parti Demokrat dan Republikan dikatakan mampu meraih dana berkempen yang agak lumayan. Bayangkan untuk pilihan raya separuh penggal yang baru sahaja berakhir parti Demokrat dan Republikan masing-masing berjaya meraih sumbangan sebanyak AS$1.3 bilion (RM5.4 bilion) dan AS$1 bilion (RM4.17 bilion).

Sebab itu kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengumumkan Majlis Presiden PH akan menganjurkan satu Majlis Makan Malam bagi mengutip dana untuk parti tersebut pada 9 Disember ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dianggap perkara lazim kerana setiap parti politik memerlukan dana untuk kelangsungan aktiviti politik.

Dr. Mahathir juga menegaskan PH tidak akan memberi layanan istimewa kepada individu, kumpulan atau syarikat yang menderma dan penegasan seperti ini amat dialu-alukan kerana PH pada ketika ini adalah kerajaan yang memerintah. Ini adalah kerana tidak keterlaluan jika diandaikan berkemungkinan ada pihak yang akan mengambil kesempatan dengan harapan derma yang disumbangkan akan memberi tiket keistimewaan kepada penderma.

Ada kebenarannya apabila Dr. Mahathir menegaskan pada ketika ini ramai rakyat Malaysia berasa was-was untuk menderma kepada parti politik kerana wujud stigma kaitan rasuah dan politik yang begitu mendalam dan senario sebegini akan membuatkan ramai yang akan sangsi untuk turut serta dalam majlis makan malam tersebut.

Sebab itu juga berkemungkinan demi menghapuskan perasaan bimbang rakyat dengan persepsi bahawa wang derma kepada parti politik dikaitkan dengan rasuah, Majlis Presiden PH juga membuat keputusan untuk tidak menghebahkan nama penderma majlis makan malam kerana dikhuatiri akan dieksploitasi oleh pihak tertentu. Secara dasarnya keputusan ini bakal menghilangkan stigma rasuah tetapi apa yang dikhuatiri akan timbul kegusaran lain kerana PH boleh dituduh sengaja ingin merahsiakan nama penderma.

Memang benar menjadi hak parti politik untuk tidak mendedahkan nama penderma kerana Malaysia buat masa ini tidak mempunyai perundangan yang berkaitan tetapi sebaik-baiknya nama penderma tidak dirahsiakan demi mempamerkan tadbir urus parti yang telus. Oleh kerana PH juga adalah kerajaan memerintah, maka ketelusan dalam tadbir urus parti akan mencerminkan tadbir urus dalam kerajaan.

Tambahan pula setiap negara yang mempunyai perundangan kawal selia dana politik seperti AS, Perancis, United Kingdom dan jiran Malaysia iaitu Singapura, kriteria yang pasti ujud adalah keperluan untuk mendedahkan nama penderma. Perundangan AS umpamanya amat teliti dalam hal sumber derma kerana wujud kumpulan pelobi yang membuat derma kepada parti politik hanya bertujuan menjaga kepentingan kumpulan yang mereka wakili.

Umpamanya Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang sering menyalurkan dana kepada ahli politik AS adalah kumpulan pelobi dasar luar demi menjaga kepentingan Israel. Bukan menjadi rahsia lagi ahli kongres yang menganggotai Jawatankuasa Hal Ehwal Luar adalah sasaran AIPAC kerana kumpulan ini selain daripada Presiden yang menentukan hala tuju dasar luar AS.

Menjadi harapan Majlis Presiden PH memikirkan kembali keputusan merahsiakan nama penderma demi mengelak persepsi tidak baik dan mencegah isu ini dieksploitasi pihak tertentu untuk meraih kepentingan politik. Jika kerajaan berani menolak derma RM100 juta untuk Tabung Harapan kerana sangsi dengan motif pihak penderma, maka sudah pasti pendedahan nama penderma tidak akan merencatkan majlis makan malam tersebut.