Cara sitar dimainkan juga berbeza. Tidak duduk seperti lazimnya tetapi berdiri tak ubah pemain biola sambil anggota badan berinteraksi dengan rentak muzik.

Jadilah Give Me Some Sunshine, Give Some Rain dan Zoobi Doodi daripada filem Three Idiots serta Love Is A Waste of Time (PK), Nasha Yeh Pyaar Ka Nasha Hai (Maan) dan Tune Man Entri (Gunde) seperti terjelma di depan mata.

Yang lebih mengujakan pemain alat tradisional ini ialah pelajar tahun empat program Univesiti Sains Malaysia-Karnataka Lingayat Education Medical College, Nur ‘Athirah Faisal Sabri. ‘Athirah, pelajar tajaan Mara baru empat bulan belajar sitar. Itupun mencuri-curi masa terluang Sabtu dan Ahad.

Sejak dipindahkan dari universiti di Mesir, dia sentiasa mengintai peluang untuk belajar sitar. Kebetulan tempatnya belajar berdekatan dengan sekolah muzik. Cuma yang menjadi hambatan ialah waktu – berikutan beban pembelajaran sebagai pelajar perubatan.

Lalu Januari lalu dia tekad mendaftarkan diri. Dia ada masa enam bulan sahaja untuk mendalami seni sitar melangkaui kelaziman dua tahun bagi peringkat diploma. Kebetulan pula ‘Athirah mendapat peluang istimewa itu. Gurunya ialah Sanjay Deshpande, pemain sitar generasi baharu di India yang popular di peringkat antarabangsa bersedia untuk mengajarnya di rumah beliau dengan bayaran RM100 sebulan.

“Saya memang suka belajar perkara baharu. Saya memang menunggu-nunggu peluang untuk belajar sitar. Alat muzik ini unik yang pastinya nanti akan mengingatkan waktu-waktu saya di India,” katanya sambil mengosok-gosok hujung jarinya yang masih ada kesan luka tali sitar.

Bekas pelajar SMK Raja Perempuan Ipoh ini yang bermain piano sejak kecil dan turut berjinak-jinak dengan biola juga aktif dengan aktiviti kemanusiaan. Selain memenuhi keperluan kurikulum bagi beberapa projek komuniti di Belgaum, dia sentiasa ringan tulang dengan pernah menyumbang tenaga untuk misi kemanusiaan ke Aceh dan Kemboja.

Kini ‘Athirah dan rakan-rakannya sedang mengumpulkan dana untuk menjayakan Projek Bayu di Sabah yang dijadualkan Oktober ini. Antara yang mereka lakukan ialah dengan menjual sari di pasaran Malaysia.

Malam itu ‘Athirah telah membuktikan dirinya istimewa. Istimewa kerana malam itu turut dilancarkan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) India dengan ‘Athirah sendiri berperanan se­ba­­gai Timbalan Presiden, Pe­lan­­­caran itu dibuat sempena program interaksi dengan media yang turut dihadiri diplomat Ma­laysia dan pegawai Mara.

Sebenarnya bukan ‘Athirah seorang yang mampu me­ngem­bangkan bakat masing-masing se­lain bidang akademik. Dunia me­reka bukan sekadar berkisar anatomi, stetoskop dan ubat-ubatan semata-mata.

Presiden KULN, Mohammad Syahir Mohamad Isa contohnya adalah pemain dram. Dia dan sembilan rakannya telah membuat penampilan luar biasa dengan menjadi juara pertandingan Battle of Fusion Band sempena Festival Layang-layang Antarabangsa Belgaum pada akhir Januari lalu. Mengagumkan. Mereka menewaskan enam band tempatan di negara Bollywood ini.

Bertuahlah kerana bakal-bakal doktor ini mempunyai pensyarah berpengalaman dan berpandangan jauh, Prof. Dr. Kamaruddin Jaalam. Banyak kisah menarik tentang Dr. Kamaruddin yang sanggup ‘bersendirian’ di Belgaum selama tujuh tahun demi mendidik anak bangsa.

Walaupun baru bersara, beliau kini diberikan tugas untuk menjadi panel peperiksaan untuk tempoh kira-kira dua bulan. Reputasi Dr. Kamaruddin begitu dikagumi yang sentiasa menggalakkan anak-anak didiknya mengembangkan bakat selain akademik.

“Yang mula-mula saya tanyakan bukan gred akademik tetapi apa alat muzik atau permainan yang mereka suka,” katanya yang sentiasa percaya anak-anak Malaysia mempunyai kepintaran dan bakat yang hebat.

Dalam erti kata sebenar, mereka inilah wira-wira yang tidak didendang. Pelajar perubatan Malaysia di Belgaum, Karnataka ini dikenal oleh masyarakat tempatan sebagai kumpulan yang prihatin dan suka membantu.

Bahasa tidak menjadi penghalang. Selain bahasa Inggeris mereka juga boleh bertutur bahasa tempatan termasuk Hindi. Mereka adalah duta Malaysia.

Pelajar perempuan Malaysia malah dikagumi kerana mereka tidak diketepikan berdasarkan jantina. Mereka dilayan secara sama rata, tidak seperti rakan sebaya yang berkasta rendah di negara ini. Pada masa ini terdapat 602 pelajar di bawah tajaan Mara seramai 345 orang diikuti JPA (193 orang), persendirian (36 orang) manakala selebihnya pelajar tajaan yayasan negeri atau majlis agama Islam.

Mereka sudah membaur dan sebati dengan kehidupan masyarakat Belgaum. Masyarakat di Belgaum juga agak terbelakang. Kereta lembu boleh dilihat di jalan-jalan utama. Aktiviti utama pertanian juga menggunakan kaedah lama.

Belgaum dan keragaman India telah menjadikan pelajar-pelajar cemerlang ini cepat matang. ‘Athirah dan Syahir adalah contoh generasi baharu Malaysia yang sentiasa membuka minda mereka dengan perkara-perkara positif.

Ini termasuklah menyertai pertubuhan seperti KULN. Walaupun dijaja dengan pelbagai persepsi sempit tetapi realitinya parti yang telah menginjak usia emas 71 tahun itu tetap bertakhta di hati anak muda. Mereka bahkan menaruh keyakinan KULN mampu menjadi platform dinamik dalam melahirkan graduan yang mempunyai kebolehan kapasiti yang meluas serta holistik.