Sebenarnya penubuhan badan khas ini sangat diperlukan oleh Tun Mahathir, Perdana Menteri Kerajaan PH, yang kemudiannya melantik anggota Kabinetnya berperingkat-peringkat.

Ada beberapa sebab mengapa ia perlu ditubuhkan. Namun banyak lagi sebab lain kenapa ia terus diperlukan.

Mengapa badan ini ditubuhkan secepat mungkin?

PH dan khususnya Tun Mahathir tidak menjangkakan PH akan menang PRU-14. Beliau hanya berharap PH boleh mengurangkan majoriti BN supaya UMNO menyingkirkan Datuk Sri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri, seperti apa yang berlaku terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika Najib ambil alih selepas BN menang pada PRU-12.

Dalam kata lain, pada PRU-14 Tun Mahathir hanya mengharapkan hujan lebat tetapi yang turun adalah ribut taufan yang menumbangkan Kerajaan BN. Ini menimbulkan beberapa kesukaran besar kepada Tun Mahathir dalam melaksanakan tugas beliau sebagai Perdana Menteri.

Pertama, beliau telah meninggalkan jawatan PM kira-kira 15 tahun. Tidak dinafikan segala ketajamannya yang lepas sudah agak tumpul dan mungkin juga berkarat. Beliau perlukan bantuan untuk mengasah kembali ketajamannya dan membersihkan yang berkarat. Ini kerja yang amat sukar untuk dilaksana dalam tempoh singkat. Beliau perlu bantuan dan sokongan para pakar.

Kedua, dengan umur yang lanjut, iaitu 92 tahun ketika PH menang, kekuatan mentalnya mungkin masih perkasa namun kemampuan fizikalnya untuk menari sepantas gerak geri mentalnya adalah terbatas atas sebab alamiah. Semua doktor tahu akan keterbatasan ini, termasuk isterinya Tun Siti Hasmah juga seorang doktor dan anak-anaknya beliau.

Itu sebabnya beliau berulang kali menyatakan di khalayak umum bahawa selepas dua tahun, bila umurnya mencecah 95 tahun, beliau akan menyerahkan jawatan PM kepada Datuk Sri Anwar Ibrahim. Dikatakan ini termaktub dalam perjanjian antara pimpinan PH sebelum PRU-14. Rasanya ini juga adalah permintaan keluarga Tun Mahathir yang pastinya disokong oleh para doktor yang senantiasa mengiringi beliau setiap hari.

Dalam kata lain MPK yang dilantik Tun Mahathir dengan diketuai oleh Tun Daim sangat diperlu untuk menyeluk sedalam-dalamnya lubuk masalah dan menggali sehingga ke lubang cacing segala perkara yang kait mengait yang didakwa telah dilakukan dengan niat dan tindakan salah oleh Najib dan kerajaan BN yang diterajui UMNO.

Ditubuhkan juga beberapa jawatankuasa sokongan untuk membantu MPK dalam bidang tertentu, seperti untuk mencadangkan reformasi institusional dan menyiasat kembali kes 1MDB. Setiap jawatankuasa ini adalah dianggotai para pakar bidang masing-masing daripada kalangan pesara kerajaan, ahli NGO dan juga tokoh korporat.

Semenjak 2015 Najib telah dijadikan sasaran demonisasi target of demonization oleh Tun Mahathir dan kumpulan yang sepemikiran dengan beliau. Najib diibaratkan bak hantu raya yang menyedut darah rakyat Malaysia. MPK mempunyai tanggung jawab makro memburai segala lipatan rahsia DS Najib dan kerajaan BN serta syarikat-syarikat yang berkaitan.

Di samping MPK yang memberatkan tanggungjawab makro perlu dilengkap genap dengan penyiasatan dan tindakan bersifat mikro, khususnya terhadap individu penting.

Gunanya untuk meneliti individu yang disyaki bersalah atau bersubahat dengan Najib. Kerana itu Tun Mahathir telah memanggil kembali untuk bertugas sekali gus melantik Datuk Abdul Hamid Bador, menjadi Pengarah Cawangan Khas, atau Special Branch (SB), sebuah instrumen penting dalam pemerintahan semenjak zaman kolonial lagi. Ringkasnya, SB adalah sebuah alat utama warisan kolonial yang masih bernafas segar bugar memenuhi tugasan kerajaan semasa.

Bukan hanya yang bersubahat dan bersalah sahaja yang perlu disediakan fail peribadi masing-masing untuk diketahui senarai kesalahan yang boleh dibawa kependakwaan mahkamah. Malah setiap nama bakal calon Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Politik, dan Setiausaha Sulit pun diperlukan latar belakang peribadi masing-masing dan setiapnya melalui satu proses vetting (penapisan) supaya mereka ini ‘bersih’ sama ada dari segi pribadi, keluarga dan kesalahan rasuah.

Beberapa hari yang lalu Tun Mahathir telah melantik seorang penasihat ekonomi kepada PM, yang bidang kepakaran akademik penasihat tersebut adalah ‘ekonomi politik’ bukan ‘ekonomi totok.’ Secara rasmi diberi nama Penasihat Ekonomi. Secara tersirat beliau juga memerhati dan melapor cuaca politik negara. Dari segi ini perlantikan penasihat tersebut bolehlah dianggap sesuai.

Perlantikan penasihat ekonomi ini memberi makna bahawa Tun Mahathir terus memerlukan nasihat dan panduan daripada pelbagai pihak, secara individu atau kolektif dalam sebanyak bidang, khususnya untuk memerintah Malaysia dengan selicin mungkin untuk dua tahun lagi. Apatah lagi dalam tempoh ini beliau ingin ‘memperbetul kekurangan dan kesalahan lepas.’

Pada 1 September 2018 ini sebuah kongres akan berlangsung di Kuala Lumpur, iaitu, Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018.

Apakah ini dianjurkan akibat perbincangan yang dianggap negatif dalam kalangan komuniti Melayu di Semenanjung terhadap kegelisahan mereka tentang masa depan bahasa Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, mengenai Perkara 152 dan 153 dan apa saja perkara berkait Melayu, sama ada ditimbulkan oleh bukan Melayu atau sesama Melayu sendiri.

Untuk itu Majlis Raja-Raja Melayu, dengan kelulusan Kabinet Kerajaan Malaysia, telah menubuhkan pula suatu “Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam (JKTIHEI) ” dianggotai oleh lima orang ternama dalam bidang teologi, pentadbiran Islam dan negara. Apakah badan ini sama taraf atau mengatasi MPK?

Bahasa

Kalau kita lihat terjemahan Majlis Penasihat Kerajaan yang digunak pakai dalam Bahasa Inggeris bukan “Government’s Advisory Council” tetapi “Council of Eminent Persons (CEP).” Kepada mereka yang menguasai dwi-bahasa (BM dan BI), label dalam BI ini adalah lain maksudnya bila diterjemah ke BM, iaitu “Majlis Orang Ternama.” Yang mana lebih ternama, CEP atau JKTIHEI?

Apakah yang hendak dicanai dan digarap daripada Kongres 1 September 2018 ini oleh CEP atau JKTIHEI?

Diharap kongres ini tidak melupakan input daripada lima Kongres Bumiputera sebelum ini, iaitu: Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama, Jun 1965; Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua, September 1968; Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga, Januari 1992; Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat, September 1999 dan Kongres Ekonomi Bumiputera dalam Model Ekonomi Baru, Mei 2010.

Tun Mahathir sendiri terlibat dalam kesemua Kongres Ekonomi Bumiputera tersebut kecuali yang berlangsung pada Mei 2010. Mungkin kongres yang bakal berlangsung nanti dapat memberikan beliau pengetahuan mengenai evolusi ekonomi Melayu semenjak 1965 sehingga 2017.

Beliau menyatakan bahawa MPK/CEP akan dilanjutkan tempoh khidmat tetapi sampai bila - tidak jelas. Mungkin sehingga beliau tidak lagi menjadi PM setelah cukup 95 tahun umurnya.

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam senyap-senyap rakyat Malaysia bersetuju untuk semua badan khas ini dilanjutkan tempoh khidmat kerana ia boleh membantu Tun Mahathir melaksanakan segala tugasan yang digariskan oleh beliau sendiri kerana gabungan para menteri kabinetnya sekarang, seperti dinyatakan oleh beliau sendiri baru-baru ini, mereka tidak banyak pengalaman dan belum faham sepenuhnya selok beluk dan tanggungjawab ‘kementerianan’ masing-masing, bak kata pepatah Melayu mereka masih lembut ubun-ubunnya.

Badan-badan khas penasihat ini sama ada yang ditubuhkan oleh Kerajaan PH atau oleh Majlis Raja-Raja Melayu setiapnya perlukan diteruskan kehadiran masing-masing untuk sekian lama lagi agaknya, sehingga selepas Tun Mahathir bersara, mungkin sehingga ubun-ubun pemimpin dalam Kabinet Malaysia itu keras, bukan untuk jadi ‘keras kepala’ tetapi untuk jadi lebih waras dan matang dari segi kepimpinan.

  • Penulis adalah Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia.