Abdul Malik DastHigeer
ABDUL MALIK DASTHIGEER

Siapa? Kali ini bukan Rajinikanth seorang. Bukan juga hanya Kamal Haasan tetapi sebahagian besar hero dan heroin Ko­llywood - bintang-bintang besar yang mewarnai industri perfileman selatan India.

Tumpang lalu dikhabarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., Datuk Abdul Malik Dasthigeer, 34, kerana damainya bumi bertuah Malaysia ini termasuk kestabilan politiknya, kira-kira 250 artis Kollywood akan ‘berkampung’ di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 6 Januari nanti - suntikan semangat pembukaan tahun baharu 2018.

“Mereka enjoy dan berasa selamat berada di Malaysia, malah Rajinikanth sudah beberapa kali datang ke sini.

“Kali ini dia akan disertai antaranya bukan sahaja Kamal Haasan tetapi Vijay, Surya, Vishal, Danush, Arya, Vikram, Vijaysethutaphy, Jayam Ravi dan Sivakarthiyan.

“Heroinnya pula seperti Samantha, Amalapaul dan Kusboo.

“Ini satu impak positif kepada imej negara ini kerana belum pernah seramai ini bintang-bintang filem Tamil popular ini serentak berada di sini,” kata Abdul Malik yang juga pengedar dan penerbit filem-filem Bollywood menerusi WhatsApp kepada Tumpang lalu dua hari lalu.

Tumpang lalu membawakan topik kelibat artis-artis Tamil popular ini ke persembahan konsert Natchathira Vizha 2018 dalam ruangan ini kerana teruja dengan pandangan orang luar kepada negara ini.

Padahal, orang dalam negara ini pandang sinis sebelah mata sahaja pada nikmat keharmonian dan kestabilan yang dikecapi hari ini. Bahkan, sanggup pula mengadu-domba konon berlaku penyusutan kedatangan pelancong asing dan lebih teruk lagi menguar-uarkan negara telah bankrap.

Mereka di sebelah pembangkang sana kena faham, jika Rajinikanth sekali dia tweet ‘saya berada di Malaysia’ nanti, 10 juta peminatnya akan respons atau melihatnya dalam konsert ber­kenaan yang akan menyaksikan persembahan nyanyian, komedi serta perlawanan persahabatan kriket sehari sebelumnya, di Bukit Jalil nanti.

Itu belum lagi artis-artis Tamil lain yang masing-masing dikatakan memiiki antara sejuta hingga lima juta pengikut di laman sosial.

Tumpang lalu dikhabarkan, kira-kira 50,000 hingga 60,000 peminat filem Tamil disasarkan akan membanjiri stadium nanti dengan harga tiket antara RM10 hingga RM30.

Sejak Abdul Malik membawa masuk penggambaran filem-filem Tamil dan Hindustan termasuk yang paling diingati ramai Kabali tahun lalu, ramai kalangan penerbit dan produser filem India telah buka mata dengan potensi Malaysia sebagai hab penggambaran filem.

Antara lokasi shooting pilihan mereka ialah KLCC, Little India di Brickfields, Dataran Merdeka, Putrajaya, Cyberjaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Carey dan Pulau Langkawi.

Sebelum ini mereka cuma nampak Thailand, Singapura, Australia dan Eropah.

Dengan minat mendalam ini, dianggarkan impak ke­untungan yang dijana daripada industri perfileman India kepada Malaysia boleh mencapai antara RM50 juta hingga RM100 juta setahun.

Hanya yang Tumpang lalu boleh lihat, sekiranya artis-artis filem Tamil itu buat persembahan pada 6 Januari nanti, kita sudah boleh bayangkan nilai promosi negara yang bertebaran di laman sosial antarabangsa.

Hashtag SayangiMalaysia atau apa sahaja ayat yang artis-artis berkenaan paparkan, akan mempromosikan Malaysia untuk sekadar India pun memadai yang mempunyai populasi lebih satu bilion penduduk.

Inilah yang diingini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang April tahun ini telah memberi komitmen membuka pintu kepada India - negara pembikin filem terbesar di dunia - untuk menjadikan negara sebagai lokasi pilihan mereka menghasilkan lebih banyak filem dan siri televisyen.

Industri filem India adalah terbesar di dunia dari segi angka filem dihasilkan, antara 1,500 dan 2,000 filem setiap tahun dalam lebih daripada 20 bahasa.