Banyak pihak menyambut baik langkah ini. Mesej yang diterima menunjukkan operasi ini mendapat perhatian kebanyakan rakyat. Kecu­ali sesetengah pihak yang melihat dari sudut berbeza. Ini lumrah ke­rana ada yang akan menyokong dan ada yang tidak menyokong tindakan tegas pihak berkuasa.

Menurut laporan yang dibuat beberapa wakil rakyat pihak pembangkang, ada yang mendakwa tindakan SPRM membekukan akaun sebagai menyalah guna kuasa dan menganiaya ahli perniagaan. Mereka mendakwa ini bukannya satu langkah memerangi rasuah.

Tindakan ini wajar sebagai amaran tegas kepada mana-mana syarikat yang terlibat dalam industri pembalakan dan perkayuan di seluruh Malaysia bahawa SPRM serius menangani gejala rasuah, pembalakan dan penebangan hutan secara haram serta mereka yang cuba mengelak membayar cukai kerajaan.

Jika pembalakan haram tidak serius, tidak mungkin Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem juga meminta syarikat-syarikat pembalakan mengelak daripada terlibat dalam pembalakan haram. Pendirian beliau telah ditegaskan pada tahun lalu.

Bertitik tolak daripada pendirian tegas Ketua Menteri itu, pemilik-pemilik syarikat balak harus terus menjalankan aktiviti secara sah dan bertanggungjawab. Konsesi balak yang diberikan seharusnya tidak disalah guna untuk kepentingan dan keuntungan sendiri yang meng­akibatkan ketirisan dana kerajaan.

Mereka yang didapati bersalah mesti dikenakan hukuman tegas yang setimpal. Ini termasuk menarik balik lesen dan menyenarai hitam syarikat terbabit. Ini membuktikan bahawa SPRM tidak berkompromi dengan jenayah rasuah.

Akaun dibekukan adalah bagi membolehkan aliran wang keluar masuk syarikat dapat disiasat dan dikenal pasti sekiranya terdapat sebarang unsur rasuah dan penyelewengan.

Sementara itu, ada Ahli Parlimen parti pembangkang menyifatkan tindakan SPRM sangat keterlaluan. Mereka menggesa agar SPRM menyiasat menteri, timbalan menteri dan keluarga terdekat serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang kononnya pada pandangan wakil rakyat pembangkang didapati memiliki kekayaan yang melampau.

Perkara ini sering kali dikaitkan oleh pihak pembangkang dan SPRM juga senantiasa menegaskan bahawa sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang ra­suah, agensi itu bertindak adil, bebas, te­lus dan profesional dalam menjalankan siasatan terhadap dakwaan kes-kes rasuah.

Jadi, mengapa menggesa SPRM menyiasat anggota pentadbiran dan keluarga mereka, tetapi tindakan ke atas ahli perniagaan dipertikai oleh pihak pembangkang? Ini menunjukkan pendirian berat sebelah wakil rakyat pembangkang.

Pada hemat saya SPRM sentiasa berpegang pada dasar akan meneliti dan menyiasat setiap aduan. SPRM juga tidak pernah bersikap selektif dan pilih kasih dalam menyiasat sesuatu kes berkaitan rasuah.

Namun, saya berpendapat bahawa salah satu kekangan yang dihadapi SPRM adalah untuk menyiasat pemilikan kewangan dan harta individu yang mempunyai kekayaan berlebihan dan disyaki rasuah.

Justeru, pelbagai pihak telah menyarankan agar pindaan kepada peruntukan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 dibuat bagi membolehkan SPRM memaksa individu mengisytiharkan aset mereka. Yang terbaharu, sebuah badan bukan kerajaan National Oversight and Whistleblowers telah menggesa agar peruntukan ini dipinda.

Badan bebas yang memantau SPRM seperti Jawatankuasa Mengenai Rasuah dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah juga telah beberapa kali turut memberi saranan yang sama.

SPRM juga telah meminta supaya pindaan kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 disegerakan. Ini adalah untuk memastikan bahawa penjawat awam tidak memanipulasi sebarang kelemahan yang terdapat dalam ketentuan undang-undang, khususnya yang melibatkan pemberian tender, kontrak, projek-projek kerajaan dan pemberian milik tanah.

Pindaan lain yang dicadangkan ialah memasukkan peruntukan mengenai salah laku penjawat awam dan korporat liabiliti bagi meme­rangi rasuah.

Jelas sekali SPRM bertindak secara profesional sejajar dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Justeru, orang ramai perlulah memberi kerjasama dan menyokong usaha SPRM dalam membanteras rasuah.

Persepsi yang positif terhadap kewibawaan SPRM akan memudahkan usaha meraih sokongan dan kerjasama masyarakat dalam membanteras jenayah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Ahli Parlimen Kuala Selangor.