Tindakan tegas SPRM yang diterajui oleh Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad mendapat sokongan ramai. Mereka berpendapat ketegasan agensi itu penting bagi memastikan kelompok yang tamak untuk hidup mewah dengan menjamah wang haram dapat dibanteras.

Kelmarin pula, Mingguan Malaysia mendedahkan tindakan 10 syarikat gergasi ­melakukan pengelakan cukai melampau yang menyebabkan kerajaan kerugian beratus-ratus juta ringgit setahun. Pendedahan itu mendapat perhatian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah menegaskan, LHDN sama sekali tidak akan berkompromi dengan perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

Hasilnya, 10 syarikat terlibat diambil tindakan. Mereka dikehendaki membayar cukai penuh dan dikenakan penalti yang ­kesemuanya bernilai RM800 juta. Tidak cukup dengan itu, LHDN juga bertindak tegas dengan memburu 50 lagi syarikat korporat terkemuka kerana ter­libat dalam perbuatan sama. Daripada jumlah itu, 20 syarikat sudah dikenal pasti. Mereka juga akan dikenakan tindakan membayar cukai penuh dan penalti men­cecah RM1 bilion.

Sememangnya ketegasan dua agensi itu amat penting dalam menangani dua kelompok yang tamak ini. Kelompok pertama ialah mereka yang mahu hidup mewah dengan menerima rasuah dan salah guna kuasa manakala kelompok kedua pula ingin me­ngaut keuntungan lebih dengan melakukan manipulasi cukai.

Dalam memastikan kerajaan tidak terus mengalami kerugian, kedua-dua kelompok itu harus dibanteras habis-habisan. Perbuatan menerima rasuah sehingga sanggup menggadai maruah kepada sindiket atau menyalah kuasa bagi mengumpul kekayaan peribadi adalah pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan.

Golongan ini sanggup mengkhianati amanah yang diberikan semata-mata mahu senang lenang dengan sumber haram. Mereka tidak melihat kesan kepada rakyat dan negara. Akibat amalan rasuah itulah kerajaan terus menanggung kerugian berbilion ringgit termasuk dari segi kutipan hasil cukai dan ketirisan.

Justeru apabila Dzulkifli mengisytiharkan ‘perang’ ke atas pemberi dan penerima rasuah khususnya dalam kalangan penjawat awam, ia mendapat respon positif rakyat. Sebagai seorang yang pernah menangani isu ketirisan pendapatan negara ketika mengetuai Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Dzulkifli amat memahami bagaimana gejala rasuah berlaku dan cara mengatasinya.

Beliau tidak mahu ‘peperang­an’ ke atas gejala rasuah hanya sekadar retorik atau berkisar soal lafaz ikrar sahaja, sebaliknya mahu memastikannya benar-benar dibanteras di semua peringkat khususnya agensi penguat kuasa.

Tumpuan yang diberikan kepada penguat kuasa dan penjawat awam bukanlah untuk memalukan mana-mana jabatan tetapi bermatlamat ‘membersihkan’ daripada pembawa virus rasuah yang akhir­nya boleh meruntuhkan negara.

Begitulah juga dengan ke­tegasan Sabin menerajui LHDN memburu kelompok yang mahu mengaut keuntungan tetapi liat membayar cukai. Sepatutnya syarikat-syarikat gergasi terbabit tidak melakukan perbuatan itu kerana keuntungan mereka bukan sedikit malah ada yang mencecah berbilion ringgit setiap tahun. Malang­nya, mereka tidak mempunyai sema­ngat untuk mengembalikan­nya sedikit kepada kerajaan dalam bentuk cukai.

Kutipan cukai tersebut bagi membolehkan kerajaan membangunkan negara demi kesejahteraan rakyat, tetapi syarikat-syarikat itu yang ada antaranya bertaraf konglomerat dikuasai sikap tamak. Kalau boleh mereka tidak mahu membayar sesen pun cukai, sebab itulah ada antaranya sanggup memanipulasi perolehan sehingga boleh mencapai status LHDN perlu membayar balik kepada mereka.

Kini sikap tamak itu mula memakan diri. LHDN tidak akan duduk diam dalam memburu mereka. Syarikat-syarikat tersebut perlu dikenakan tindakan tegas termasuklah penalti paling tinggi. Langkah itu penting bagi memastikan syarikat lain tidak meniru perbuatan tersebut dan mengajar mereka erti membalas budi. Mereka mengaut keuntung­an kerana negara dan ada antaranya mendapat projek daripada kerajaan tetapi kelompok ini lupa daratan.

Tindakan tegas itu juga mampu menepis tanggapan masyarakat bahawa LHDN hanya memburu rakyat kecil sedangkan syarikat korporat atau gergasi tidak diapa-apakan dari segi pembayaran cukai. Sekarang Sabin sudah membuktikan tanggapan itu salah. Tidak kira mana pun kelompok, selagi mereka layak membayar cukai tetapi enggan berbuat demikian maka perlu berhadapan dengan LHDN.

Kesimpulannya, ketegasan Dzulkifli dan Sabin telah me­ningkatkan keyakinan rakyat terhadap sektor awam. Biarpun akan berhadapan dengan cabaran namun penulis percaya kedua-dua pejuang ini tidak akan menye­rah kalah dan rakyat pasti bersama mereka dalam ‘melenyapkan’ dua kelompok tamak berkenaan.