Malah Azhar Azizan tenang dan menjawab soalan yang ditanya tanpa keraguan. Beliau juga kelihatan lebih ‘stylo dan segak’ dari kami walaupun dari segi usia kami lebih muda. 

Namun di sebalik semua itu Azhar Azizan juga merupakan peguam pertama menjadi Pengerusi SPR, yang memperlihatkan ketajaman dan kefahaman meluas beliau dalam isu melibatkan perundangan dan pilihan raya.

Dalam wawancara lebih sejam dengan wartawan, ZULKIFLI JALIL, HAFIZAHRIL HAMID dan NIZAM YATIM serta jurugambar GAIE UCHEL, beliau menjelaskan keazaman untuk melenyapkan tohmahan yang menganggap suruhanjaya itu tidak telus.

UTUSAN: Bagaimana mahu pastikan SPR nonpartisan?

AZHAR AZIZAN: Sebagai peguam selama 30 tahun, saya telah berpegang kepada prinsip ini iaitu di luar saya menjaga kepentingan anak guam saya tetapi apabila mengendalikan kes dalam mahkamah tugas saya adalah kepada mahkamah.

Oleh itu, amalan ini akan saya teruskan iaitu untuk sentiasa akur bahawa saya dan SPR yang saya ketuai sekarang perlu bebas. Saya tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Saya rasa sejak saya dilantik, dari segi pelaksanaan kerja belum pernah lah saya dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Apa perubahan yang mahu dibawa oleh SPR sepanjang menjadi Pengerusi?

Oleh kerana saya berada dalam SPR dan mempunyai maklumat maka segala perubahan adalah lebih realistik berbanding cadangan dibuat ketika berada di luar.

Contohnya, aktivis tidak pernah faham bagaimana alamat yang tidak wujud boleh ada 300 pengundi di situ. Isu itu aktivis timbulkan dahulu, tak ada jawapan. Bila tiada jawapan, maka timbullah persepsi bahawa benda ini dimanipulasi dan disalahgunakan. Sebenarnya sesetengah alamat tersebut ada penjelasannya.

Contohnya ada satu alamat Sulaiman Court yang kini tapak pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur. Pangsapuri ini sudah dirobohkan tetapi masih ada pengundi di situ kerana penghuni yang telah berpindah tidak menukar alamat mereka. Itu penjelasannya.

Selepas beberapa bulan di SPR saya membuat kesimpulan secara peribadi sebahagian besar daripada persepsi yang tidak baik terhadap SPR ini berlaku kerana kurangnya ketelusan (ketika itu), itu sahaja.

Oleh sebab itu, prinsip saya di sini adalah kita kena telus. Saya rasa apabila kita telus orang akan tahu apa yang kita buat, orang akan tahu bagaimana kita buat sesuatu benda dan oleh itu persepsi yang tidak baik ini lama kelamaan hilang dan tahap kepercayaan akan naik.

Adakah perubahan ini bermula di PRK Cameron Highlands?

Masa PRK Cameron Highlands kita telah membuat perubahan dengan memperkenalkan live feed (siaran langsung) setiap proses perjalanan pilihan raya termasuk pengiraan undi, penamaan calon, pengundian secara pos dan keputusan secara langsung melalui media sosial SPR. Ini supaya orang boleh tengok, kita tiada apa yang hendak disembunyikan.

Ketika PRK Semenyih pun kita akan laksanakan perkara sama. Pada masa depan, kita juga bercadang untuk menjemput pihak-pihak seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membuat live feed, tetapi kita akan semak pandangan undang-undang terlebih dahulu. Kalau kita telus tahap kepercayaan akan lebih naik.

SPR juga akan mewujudkan dasar baharu tentang aktiviti kempen yang akan dibuat setelah mendapat maklum balas daripada semua parti politik. Terdapat persepsi tidak baik sekarang bahawa peti undi pengundian awal yang disimpan di lokap polis, pada malam-malam akan ada pihak yang memasukkan kertas undi lain.

Sekarang semua proses itu akan dibuat secara live feed termasuk siapakah yang menyimpan kunci. Kita juga sedang mencari cara untuk memastikan peti undi lebih selamat, barangkali dengan meletak kunci tambahan yang akan dipegang ejen calon.

Adakah ini bermakna label pengundi hantu yang dicap SPR akan lenyap?

Mengenai isu pengundi hantu yang berkaitan dengan daftar pemilih, ini kita akan kemas kini tiap-tiap tiga bulan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Dalam Negeri. Itu satu proses yang berterusan.

Kita juga akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan mendapat bantuan teknikal dan khidmat nasihat untuk membersihkan daftar pemilih dengan memuaskan. Perlu saya katakan bahawa daftar pemilih kita ini bukanlah dalam tahap sampai tidak boleh digunakan.

Kita mempunyai satu daftar pemilih agak baik, cuma terdapat beberapa bahagian yang perlu dibaiki dan perlu diperhalusi, itu sahaja. Tak macam sesetengah negara itu, daftar pemilih mereka ada 10 juta pengundi hantu. Itu pun telah berjaya dibersihkan dengan bantuan PBB dalam tempoh sembilan bulan. Insya-Allah dengan bantuan semua pihak, kita akan bersihkan daftar pemilih ini.

Mengenai penukaran had umur mengundi dari 21 ke 18 tahun, itu sudah ada keputusan Kabinet (yang bersetuju) dan saya pun menyokong kerana umur mengundi di negara Komanwel dan rata-rata negara lain telah turun ke 18 atau 17 tahun. Tinggal beberapa negara sahaja yang belum berbuat demikian seperti Singapura, Lebanon dan Malaysia.

Saya rasa tahap pendidikan di Malaysia sekarang adalah amat tinggi dan remaja berumur 18 tahun sudah boleh membuat keputusan untuk mengundi calon mereka. Bagaimanapun, perkara ini memerlukan pindaan Perlembagaan dengan sokongan majoriti dua pertiga.

Ada pihak ragu-ragu SPR boleh bertindak secara adil apabila individu yang pernah berjuang bersama Pakatan Harapan (PH) dari Bersih 2.0 dilantik ahli baharu SPR?

Saya rasa itu persepsi yang perlu diperbetulkan. Memang terhadap saya pun, persepsi sedemikian juga. Saya tak menyalahkan sesiapa, memang kalau tengok aktiviti saya sebelum ini, tulisan-tulisan sebelum ini, dan sudah tentu temu bual Prof. Madya Dr. Azmi Sharom dan Zoe Randhawa, memang nampak macam kita cenderung terhadap PH.

Saya tak salahkan sesiapa mengenai persepsi itu. Tetapi sebagai bekas aktivis, saya ingin tekankan bahawa aktivis, kita tak pernah terdorong kepada mana-mana pihak.

Sebagai aktivis kita mengenal pasti isu yang kita hendak perjuangkan, bagi saya hak asasi manusia, kebebasan dan Perlembagaan Persekutuan, itu isu yang saya yang menarik minat saya. Saya rasa Azmi pun macam itu. Zoe pula dari segi pilihan raya.

Sudah tentu bila kita terdorong kepada sesuatu isu yang kita suka, dan kita akan take position. Bagi saya Perlembagaan kita kena macam ini, hak asasi manusia kita kena macam itu. Jadi itu yang kita tumpukan.

Semua aktivis memang macam itu. Tapi dalam berbuat demikian, kita sebenarnya tak ada terdorong dengan mana-mana pihak, kalau benda itu betul, kita betullah. Tak kiralah mana pihak pun.

Semasa saya jadi aktivis terdapat isu-isu yang saya timbulkan, di mana pihak kerajaan (BN) pada masa itu pun bersetuju. Sudah tentu terdapat pegangan-pegangan kita secara kebetulannya disetujui oleh PH, tetapi tak semestinya kita terdorong dengan PH. Sebenarnya apa terjadi adalah PH bersetuju dengan sesetengah ataupun kebanyakan daripada pegangan kita. Jadi itu hakikatnya.

Jadi bila kita dekat sini (SPR), sudah tentu kita akan tumpukan kepada apa yang kita percaya sebagai adil dan saksama serta mengikut lunas undang-undang. Saya amat strict dengan peruntukan undang-undang, saya tak mahu buat apa-apa yang menyalahi undang-undang.

Jadi kita akan ikut undang-undang dan bagi saya kalau kita ikut undang-undang itu, maka kita akan nampak bebas lah. Apa undang-undang yang ada, kita ikut. Itu menjadi pegangan kita (SPR).

Difahamkan antara undang-undang yang diberi tumpuan adalah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954?

Seksyen-seksyen yang terdapat dalam akta ini sama seperti yang terdapat di United Kingdom dan India. Tetapi kita ada masalah sekarang, kerana akta ini tidak pernah dikuatkuasakan sebelum ini. Berapa orang pernah dengar mengenai akta ini yang sebenarnya wujud sejak 1954.

Saya mahu akta ini dihormati, saya tak nak jadi macam akta trafik. Orang boleh melanggar lampu merah, potong barisan dan garisan berkembar. Orang tak hormati akta trafik kerana tiada penguatkuasaan yang cukup. Kita kuatkuasa, keluar saman, lepas dua tahun kita bagi diskaun. Saya bukan nak kritik tetapi itu hakikat.

Dari segi kriminologi, kita jenayahkan sesuatu perlakuan seperti bunuh, sebab kita tak suka orang membunuh. Bila sesuatu perlakuan itu tidak dicemuh oleh masyarakat walaupun dianggap satu jenayah dalam akta, tak akan ada kesan. Kita langgar lampu isyarat merah, itu satu jenayah, tetapi akta yang ada tidak berkesan sebab kita tidak cemuh perlakuan itu.

Serupa dengan kesalahan pilihan raya, bila kesalahan itu tidak dicemuh, undang-undang itu tidak akan dihormati. Jadi sekarang kita hendak orang hormati Akta Kesalahan Pilihan Raya. Kita mula di PRK Cameron Hinglands dan sekarang Semenyih.

Saya percaya kepada perubahan organik (perlahan-lahan) dan saya tidak suka perubahan steroid (cepat). Kita akan perlahan-perlahan meningkat kesedaran dan lama kelamaan orang akan mula menghormati akta ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dikatakan membuat kenyataan berunsur perkauman. Adakah ia di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya?

Perkara ini termasuk sebagai kesalahan di bawah Seksyen 4A, Akta Kesalahan Pilihan Raya berkaitan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.

Seksyen itu menggariskan mana-mana orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan dengan tujuan atau dengan kecenderungan untuk mengembang perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara orang terdiri daripada kaum sama atau kaum yang berlainan.

Jika disabitkan boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya. Selain Seksyen 4A ini, ada satu lagi seksyen agak serupa tetapi orang tak pernah dengar sebelum ini. Ia adalah Seksyen 9 berkenaan pengaruh tidak wajar. Ini penting kerana sebelum ini orang tak tahu kewujudan seksyen ini.

Ia menyebut sesiapa yang membuat kenyataan yang mengugut atau mengancam untuk menggunakan apa-apa kekerasan, keganasan atau halangan terhadap pengundi untuk memaksa pengundi itu mengundi atau tidak mengundi seseorang calon, memaksa atau mendorong merupakan satu kesalahan.

Yang menarik adalah apakah ancaman itu? Dalam Seksyen 9(2) dinyatakan seseorang hendaklah disifatkan telah mengganggu seseorang daripada menjalankan hak pemilihannya dengan bebas mengikut pengertian seksyen ini jika dia mendorong atau cuba mendorong orang itu supaya mempercayai bahawa dia, atau mana-mana orang yang mengenainya dia mempunyai kepentingan, akan menjadi atau akan dijadikan seorang yang dimurkai Tuhan atau yang dicela kerohaniannya.

Kalau saya pergi buat ucapan, saya kata tak undi saya Tuhan murkai, itu adalah pengaruh tak wajar. Tak kiralah agama apa. Saya bukan nak cakap parti mana-mana. Tetapi saya cuma nyatakan undang-undangnya.

Ada pihak menyifatkan penghapusan tol dari pukul 11 malam hingga 5 pagi juga untuk menarik sokongan pada PRK Semenyih?

Perkara seperti ini boleh di bawa ke mahkamah pilihan raya. Contohnya, semasa saya membuat petisyen pilihan raya sebelum ini bagi pihak Datuk Zaid Ibrahim, kita timbulkan kerana Perdana Menteri ketika itu berjanji memberi RM3 juta kepada sekolah Cina.

Kesalahannya adalah di bawah seksyen korupsi dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya, apabila seseorang itu memberi sesuatu imbuhan untuk mempengaruhi orang lain mengundi atau tidak mengundi untuk seseorang calon.

Itu definisinya. Sama ada janji RM3 juta itu kepada sekolah Cina itu adalah satu kesalahan dalam seksyen tersebut, itu memerlukan interpretasi dan hujah.

Seperti isu tol, mahkamah akan tengok dan membuat keputusan sama ada itu adalah satu perbuatan rasuah untuk PRK itu. Sudah tentu pihak kerajaan akan mempertahankan diri dengan menyatakan itu bukan rasuah kerana diberi kepada rakyat seluruh negara.

Sebenarnya, rumit perkara ini dan bukan senang. Sebab itu saya selalu kata, kalau ada maklumat laporkan dan biar pihak berkuasa siasat.

‘Malu apa bossku’ okey... hamper, baiki rumah tak okey

Boleh komen pihak yang menawarkan hamper dan janji membaiki rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) ketika kempen PRK Semenyih?

Berkenaan hamper itu setakat yang saya tahu belum ada laporan polis. Isu janji membaiki rumah pula telah ada laporan polis, jadi pihak berkenaan akan menyiasat, membuka kertas siasatan (IP) dan menyerahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada akan mendakwa atau tidak.

Selain itu pihak yang kalah PRK terbabit boleh timbulkan perkara ini, sebagai alasan dalam petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan pilihan raya.

Ini bermakna terdapat dua kaedah iaitu pertama laporan polis atau melalui petisyen pilihan raya atau menggunakan kedua-kedua kaedah itu secara serentak.

Jika diadakan petisyen pilihan raya, hakim akan memutuskan sama ada perkara ini satu kesalahan atau tidak mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Kita kena ingat cuma hakim sahaja boleh putuskan (salah atau tidak), sama ada hakim pilihan raya atau hakim mahkamah jenayah yang berkenaan. Oleh sebab itu, saya amat berhati-hati dalam kenyataan saya. Ini kerana saya tidak boleh kata ini salah atau rasuah, sebab pendapat saya tidak relevan.

Kalau saya kata benda itu salah, orang akan petik kenyataan saya menga­takan itu salah. Bila benda itu terjadi, ia mungkin akan mem­pengaruhi pola pengundian.

Saya amat sensitif terhadap perkara itu. Atau saya kata benda itu tidak salah, pun boleh mem­pengaruhi pola pengundian. Padahal apa yang saya katakan itu tidak relevan.

Bagaimana pula pihak yang memaparkan logo tertera ungkapan ‘Malu apa bossku’ pada hari pengundian PRK Semenyih?

Sebenarnya perkara ini bukan satu kesalahan. Asalkan tidak ada logo parti, nama calon atau bendera parti. Gambar Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) pun tidak apa kerana beliau bukan calon.

Pada hari pengundian, yang tidak boleh ada hanyalah bahan berkempen yang mempunyai nama calon, logo parti atau bendera parti dalam kawasan 50 meter pusat pengundian.

Luar 50 meter itu okey.Saya kena tekankan. Slogan itu, asalkan tidak ada perkara yang dilarang ia adalah okey.