Ketika kes Zulfarhan baru dibawa ke mahkamah, polis terpaksa membuka kertas siasatan baharu kes pembunuh­an T. Nhaveen, 18, yang meninggal dunia selepas hampir seminggu koma.

Arwah Zulfarhan diseksa teruk lima pelajar universiti de­ngan belasan yang lain didakwa bersubahat sementara lima suspek ditahan setakat ini dalam kes kematian Nhaveen.

Seorang dibuli dalam kawasan yang dianggap ‘selamat’ sementara seorang lagi di kawasan ‘hitam’ yang didakwa penduduk setempat sebagai berbahaya pada waktu malam.

Kedua-dua kes melibatkan suspek yang dikenali mang­sa. Dalam kedua-dua kes, peranan guru atau tenaga pengajar turut dipersoalkan orang ramai kenapa tidak mengekang aktiviti buli? Dalam kes Nhaveen, penduduk setempat juga dicemuh kerana tidak pandai ‘jaga tepi kain’ jiran tetangga.

Ada juga suara mengkritik ibu bapa pembuli sebagai tidak pandai mendidik anak.

Tidak lama lagi pasti muncul kenyataan umum daripada pelbagai pihak bagi mengecam gejala ini dan mencadangkan bermacam cara untuk mengekang aktiviti buli di semua peringkat.

Tetapi akhirnya tiada apa yang berubah. Kes buli tetap berlaku bagaikan satu tradisi dan resam hidup, sehinggalah suatu hari video buli atau be­rita kematian mangsa kembali tular.

Jika di bangku sekolah lagi sudah berjinak-jinak dengan aktiviti buli, tidak pelik jika amalan ini terbawa-bawa ke universiti, tempat kerja malah mungkin menjadi anggota kental kumpulan samseng dan kongsi gelap.

Daripada pengalaman sendiri, saya merasakan tiada prosedur tetap mengekang aktiviti membuli, apatah lagi jika pentadbir institusi terlibat seboleh mungkin mahu menyorokkan insiden tersebut daripada pengetahuan umum.

Mereka boleh merekodkan sahaja kejadian tersebut dan memberi amaran kepada pembuli. Sekalipun mang­sa membuat laporan polis atau menyaman pelaku di mahkamah, hasilnya belum tentu memihak kepada mereka malah terpaksa pula menanggung kos dan beban emosi yang panjang.

Ini menyebabkan kebanyakan kes buli dibiar tergantung dan kaki buli terlepas daripada sebarang tindakan, malah lebih buruk lagi jika individu yang melaporkan kejadian buli pula dilabelkan sebagai ‘kaki report’ sehingga dipulaukan rakan sebaya.

Dalam hal ini, guru dan pihak sekolah tidak boleh dipersalahkan kerana mereka sudah tidak boleh lagi merotan mahupun ‘menghukum’ murid dan pelajar sekalipun untuk mendidik atau ‘mengajar’.

Sebagai bekas mangsa buli dan bapa kepada mangsa buli, saya berharap pihak berwajib dapat mewujudkan satu pangkalan data bagi merekodkan kes buli dan menyediakan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) untuk rujukan pentadbir sekolah, guru, polis, rukun tetangga malah kementerian berkepentingan dalam menanganinya.

Pada masa sama, pastikan tindakan sewajarnya dikenakan ke atas pembuli termasuk melibatkan ibu bapa mereka sebagai langkah jangka panjang untuk memastikan anak-anak ini tidak terus terjebak ke kancah samseng apabila dewasa kelak.

Jika gagal bertindak dari sekarang, lebih banyak kes kejam akan dilaporkan media malah dikhuatiri membawa kepada insiden lebih buruk seperti yang berlaku di Amerika Syarikat apabila mangsa buli dikatakan membalas dendam dengan melepaskan tembakan rambang di beberapa buah sekolah.

Bertindaklah segera, bukan sahaja demi melindungi mangsa buli tetapi ‘menyelamatkan’ kaki buli daripada menghancurkan masa depan mereka dan orang lain.