Tahiyat bermaksud penghormatan. Oleh itu, tahiyatul masjid ertinya penghormatan kepada masjid. Sembah­yang sunat tahiyatul masjid adalah bagi menghormati masjid. Ini antara adab yang mesti kita lakukan apabila memasuki masjid. Beberapa permasalahan berkaitan solat tahiyatul masjid:

1. Jika seseorang itu masuk masjid dan terus duduk dengan sengaja, maka tiada lagi solat tahiyatul masjid baginya.

2. Jika duduk itu kerana terlupa ada dua keadaan.

a. Terlupa yang sekejap kemudian ingat kembali, maka dibolehkan bangun dan terus solat.

b. Jika terlupa yang panjang waktunya, kemudian teringat, luputlah sudah tuntutan solat.

3. Sekiranya masuk masjid dan azan sedang berkumandang, maka perlulah menjawab azan tersebut sambil berdiri, kemudian melakukan solat sunat rawatib yang dikira sudah memadai sebagai memenuhi tuntutan solat sunat tahiyatul masjid. Demikian juga jika masuk masjid untuk solat duha atau solat sunat wuduk maka tidak perlu dimulai dengan solat tahiyatul masjid. Sebabnya, ia sudah dikira sebagai tahiyatul masjid (penghormatan kepada masjid)

4. Jika masuk masjid, khatib sedang berkhutbah atau ada majlis ilmu, hendaklah solat tahiyatul masjid dua rakaat, sebelum duduk. Cuma ia hendaklah dilakukan secara ringkas dengan mengambil yang wajib sahaja. Malah Rasulullah SAW pernah menegur orang yang masuk ke masjid kerana tidak solat tahiyatul masjid semasa khutbah Jumaat.

Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a., dia menyatakan: Sulaik al-Ghifani pernah datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah lalu dia terus duduk. Baginda SAW pun berkata kepadanya: “Wahai Sulaik, berdiri dan rukuklah dua rakaat serta pendekkanlah dalam melaksa­nakannya. Kemudian baginda bersabda: Jika salah seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dengan seringkasnya. (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, hendaknya janganlah para ustaz marah jemaah yang masuk masjid menunaikan solat tahiyatul masjid ketika kuliah mereka berlangsung. Jemaah ber­kenaan pula janganlah solat di hadapan meja kuliah ustaz. Carilah lokasi yang sesuai supaya tidak menjejaskan tumpuan jemaah lain selain mengharmonikan keadaan.

5. Jika seseorang sedang dalam rakaat pertama solat tahiyatul masjid dan para jemaah mendirikan solat fardu, maka wajib baginya membatalkan solat tersebut dan me­nyertai solat fardu. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila didirikan solat fardu, maka tiada solat ketika itu melainkan solat fardu. (Riwayat Muslim). Namun, jika dia berada di rakaat kedua, maka hendaklah dia meringkaskan solat itu untuk menyertai jemaah solat fardu.

6. Tiada tuntutan solat tahiyatul masjid di luar masjid, contohnya di padang atau kaki lima. Sekiranya datang semasa imam berkhutbah, hendaklah duduk diam mende­ngar khutbah. Jika tiba sebelum imam membaca khutbah dan selepas azan pertama, maka boleh solat sunat qabliyah Jumaat.

7. Bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah, apabila memasuki Masjidilharam hendaklah melakukan Tawaf sebagaimana yang diamalkan Rasulullah SAW dan bukannya solat tahiyatul masjid. Kata Ibn Abbas r.a., “Tahiyat Kaabah ialah tawaf”.

Bagaimanapun, bagi yang telah bermukim di Mekah dan datang ke masjid untuk solat, menuntut ilmu dan seumpamanya, hendaklah melaksanakan solat tahiyatul masjid dan bukannya melakukan tawaf.

8. Kepada mereka yang tidak dapat mengerjakan solat tahiyatul masjid kerana solat jemaah sudah bermula atau dia telah duduk atau dia sekadar masuk sebentar untuk sesuatu keperluan, maka dianjurkan membaca ‘Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahailallah Wallahu Akbar’ sebanyak tiga kali.

Justeru, marilah kita sama-sama memelihara adab semasa memasuki rumah Allah iaitu dengan melakukan solat tahiyatul masjid yang tidak sampai pun tiga minit menunaikannya.