Yang lebih malang, ada yang ‘sengaja’ pilih masa berjalan kaki ke masjid dan surau, ketika itulah dia merokok. Ada yang sanggup ‘tawaf’ jauh sedikit daripada laluan biasa agar cukup masa untuk menghabiskan sebatang rokok. Dalam isu merokok ini, yang menjadikannya haram adalah kesan mudarat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-kulliyatul khams) atau maqasid syariah yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.

Selain itu, merokok turut menimbulkan suasana kurang selesa jemaah lain. Sebabnya bagi orang yang tidak merokok, asapnya yang busuk itu melekat pada tubuh penghisapnya. Jadi apabila kita solat jemaah berse­belahan perokok, kita akan terganggu dengan bau busuk itu sehingga boleh menjejaskan khusyuk.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Daripada Ibn Omar, sesungguhnya Nabi SAW berkata dalam peperangan Khaibar, barang siapa yang makan daripada ini – iaitu bawang putih – maka dia dilarang menghampiri masjid kami. (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW melarang makan bawang merah dan bawang muda. Oleh kerana terpaksa memakannya lalu kami makan. Kemudian baginda ber­sabda: Sesiapa yang makan dari pohon yang tidak sedap ini iaitu berbau busuk maka janganlah dia mendekati masjid kami kerana para malaikat juga akan terhidu bau busuk sebagaimana manusia. (Riwayat Muslim)

Mengikut kedua-dua hadis di atas, baginda SAW melarang makan bawang kerana baunya. Maka berdasarkan kepada qias awla, terlebih laranglah oleh nabi SAW daripada menghisap rokok kerana baunya lebih busuk berbanding bawang. Demikian juga makan petai, jering atau buah kerdas dan sambal belacan atau yang sewaktu de­ngannya. Segala makanan yang berbau busuk termasuk dalam larangan menghampiri rumah Allah. Perbuatan merokok pula menyebabkan bau mulut berubah, pakaian turut berbau bahkan orang lain juga terkesan termasuk di dalam larangan ini. Selain hukumnya sendiri haram, do­sanya bertambah apabila menyakiti orang lain.

Satu lagi ‘pot’ yang digemari perokok adalah tandas. Sepatutnya perokok gunakanlah ruang atau tempat yang disediakan di pejabat-pejabat untuk melepaskan gian. Janganlah merokok dalam tandas kerana ia melemaskan ‘jiran-jiran’ yang tidak merokok. Selain ini, bau asap rokok juga melekat pada pakaian yang juga menyebabkan gangguan emosi.

Makruh makan bawang putih bukan kerana ia tidak ada khasiat tetapi baunya yang sangat kuat dan boleh mengganggu orang lain yang berada bersamanya. Sebalik­nya, rokok itu pula jika dilihat kepada kotak-kotak rokok, tertulis pesanan tentang bahaya merokok. Namun, manusia tetap menghisap rokok.

Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok.

Memang Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud menjelaskan me­rokok itu hukumnya makruh (jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan) namun ia adalah haram jika ia mendatangkan mudarat kepada kesihatan. Ini sebagaimana dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan... (al-Baqarah: 195)

Bagi perokok ikhtiarkan bersugi dahulu sebelum da­tang solat berjemaah di masjid. Ia sebagaimana hadis nabi SAW yang bermaksud: Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku, akan ku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk. (Riwayat Ahmad). Ungkapan akan ku suruh dalam hadis ini menunjukkan, bersugi atau membersihkan mulut, adalah suatu amalan yang hampir-hampir diwajibkan.