Sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas mengawal populasi kenderaan di jalan raya di Malaysia kerana tanpa satu dasar khusus mengenainya, setiap kereta yang dibeli seolah-olah boleh berada di atas jalan raya sampai bila-bila.

Saya juga amat menyokong kenyataan yang dibuat oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung perkara tersebut baru-baru ini.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam laporannya juga pernah menyatakan bahawa lebih 400,000 kenderaan baharu didaftarkan di Malaysia setiap tahun atau antara 35,000 hingga 40,000 kenderaan sebulan.

Dalam perkembangan berkaitan, saya ingin mencadangkan antara ciri-ciri yang perlu ada dalam dasar baharu itu, semua kenderaan yang berusia 20 tahun dan ke atas diwajibkan menjalani pemeriksaan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) setiap tahun untuk memastikan tahap kesesuaiannya berada di atas jalan raya.

Puspakom perlu mengeluarkan sijil dan hanya dengan sijil itu, insurans dan cukai jalan kereta terbabit boleh diperbaharui.

Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mewujudkan pangkalan data bagi memastikan semua kenderaan yang diisytiharkan dilupuskan oleh insurans akibat terbabit dalam kemalangan tidak kembali berada di atas jalan raya.

Turut dicadangkan Proton dan Perodua membeli semula kereta mereka yang berusia lima tahun dan melakukan kerja-kerja refurbishment sebelum mengeksportnya sebagai kereta recondition ke negara-negara dunia ketiga.

Turut difikirkan perlu ada satu mekanisme bagi menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan lama mereka secara sukarela iaitu dalam bentuk subsidi. Saya percaya langkah ini juga mampu membantu mengawal populasi kenderaan.

DINSPROONG

Kuala Terengganu