Norasshikin Datuk

 

Ketua Sekretariat SL1M, NORASHIKIN ISMAIL yang juga tulang belakang program itu berkongsi pengalaman beliau kepada wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI mengenai masalah kebolehpasaran graduan dan bagaimana SL1M membantu mereka melalui program khusus.

 

 

UTUSAN: Apakah asas penubuhan SL1M?

NORASHIKIN: SL1M diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pengamatan beliau dalam keberkesanan Graduates’ Programme (GP) yang dijalankan dengan jayanya oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2009-2011 dalam membantu mengurangkan pengangguran dalam kalangan graduan tempatan. Dari situ terbukti memang ramai graduan menganggur dan yang sedihnya mereka terdiri daripada graduan bumiputera universiti awam dan berasal daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Apakah faktor menyebabkan graduan bumiputera menganggur?

Faktor utama adalah kurang mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Inggeris amat penting apatah lagi de­ngan arus perkembangan ekonomi negara sedang pesat mem­bangun telah membuatkan semakin ba­nyak pemain industri bertaraf global bertapak. Oleh itu, lingua franca tersebut penting bagi memudahkan graduan mendapat tempat dan memperoleh daya saing yang tinggi. Selain itu, mereka juga kurang berminat mendalami isu semasa dunia dan sukar untuk berfikir secara strategik. Para gra­duan juga menurut majikan, tidak mempunyai keterampilan dan jati diri yang kompeten.

Bagaimanakah bentuk program dijalankan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan?

SL1M membahagikan program latihan ini kepada dua bahagian iaitu Soft-Skills Training dan On-The- Job Training. Untuk Soft-Skills Training, graduan akan didedahkan dengan maksimum dua bulan latihan dengan modul-modul teknikal oleh pihak syarikat serta SL1M. Bagi On-The-Job Training pula, setiap pelatih SL1M akan ditempatkan di jabatan atau sek­syen tertentu di bawah syarikat terlibat untuk diberikan pendedahan hands-on bekerja di dunia industri yang sebenarnya.

Apa perbezaan antara pelatih SL1M dan graduan yang baru menamatkan pengajian?

Pemain industri mudah me­nge­nal pasti pelatih SL1M yang berbeza keterampilannya dengan graduan yang baru menamatkan pengajian. Pengetahuan dan keyakinan mereka sangat berbeza apabila ditemu duga. Sesiapa yang menyertai SL1M jika dia buat de­ngan ikhlas untuk memajukan diri, insya-Allah akan dapat pekerjaan yang diidamkan.

Adakah selepas menyertai SL1M masih wujud pelatih gagal mendapatkan pekerjaan?

Kalau gagal mendapatkan pe­ker­jaan, itu sebenarnya berpunca daripada sikap negatif pelatih sen­diri. Ada yang ingin bekerja hanya di kampung sendiri atau dekat dengan rumah keluarga atau mahukan kerja di bidang yang diminati. Namun majoriti pelatih SL1M telah memperoleh pekerjaan. Jika belum dapat pekerjaan, kita akan terus bantu mereka asal­kan mereka positif dan tidak berputus asa. Kita sudah bantu secara langsung dan tidak langsung 97,000 graduan dari 2011 hingga ke hari ini.

Apakah kesukaran dihadapi SL1M?

Antaranya ada sesetengah gra­duan yang tidak berdisiplin, bersikap negatif dan tidak komited se­­telah mendapat tawaran untuk mengikuti program ini. Kita terpaksa latih dan bentuk semula pe­­­­mikiran dan jati diri mereka. Se­­­bagai contoh, apabila diminta datang temu duga, mereka harus buat penyelidikan atau analisis latar belakang syarikat. Datang tepat pada waktunya. Datanglah de­ngan berpakaian kemas dan jangan lupa membawa dokumen asal. Ini me­nunjukkan mereka betul-betul ber­minat dan bersedia. Jati diri yang kental penting supaya graduan ini dapat mengharungi pelbagai cabaran.

Apakah faktor menyebabkan graduan kadang-kala berfikir ku­rang rasional?

Sebabnya mereka ada ego yang tinggi yang tanpa sedar mendominasi fikiran bahawa mereka adalah graduan universiti yang bertauliah. Tetapi mereka tidak sedar realiti dunia pekerjaan tidak begitu. Jadi, bila dimarah dan ditegur majikan, mereka terus patah sema­ngat lalu menghilangkan diri pulang ke kam­pung. Mana-mana syarikat kalau ditanya, mereka akan beritahu jika tidak bijak boleh diajar, bakat boleh diasah, tetapi apa yang mereka mahukan adalah sikap positif, ingin belajar sesuatu yang baharu serta berterusan memperbaiki diri. Bila graduan gagal mendapatkan pekerjaan mereka akan menuding jari menyalahkan kerajaan sedang­kan peluang sa­ngat banyak dan apa yang penting ja­ngan bersikap terlalu cerewet.

Bagaimanakah bentuk program SL1M?

Pelbagai bentuk program yang SL1M jalankan antaranya Program OutreachSL1M, Temu Duga Terbuka bersama pihak swasta serta program motivasi. Sebagai contoh, kita menjalankan Temuduga Terbuka SL1M dan Outreach dengan menjelajah ke setiap zon. Kita buka untuk semua peringkat daripada ijazah sehinggalah PhD, malah mereka yang ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga kita tawar peluang pekerjaan untuk mereka. Selain itu, SL1M juga mengadakan Temu Duga Eksklusif bersama-sama pihak syarikat terlibat yang mencari graduan khas untuk program SL1M mereka. SL1M juga bekerjasama dengan universiti tempatan dalam memberikan motivasi kepada graduan dan ke­sedaran tentang Program SL1M dan Sesi Dialog Terbuka agar mereka menjadi lebih realistik dalam me­nempuh alam pekerjaan.

Bagaimana sambutan terhadap program SL1M yang diadakan di zon selatan pada bulan lepas?

Sambutan sangat menggalakkan yang mana 16,000 pengunjung hadir di Persada Johor dengan le­bih 10,000 jawatan dan peluang latihan telah ditawarkan. Apabila kita melaksanakan program temu duga SL1M, setiap syarikat diberikan bilik khas serta booth percuma untuk terus menemu duga pencari kerja. Surat tawaran kerja juga boleh diberikan pada masa itu juga. Namun apa yang amat menyedihkan kita, adalah apabila ada graduan yang telah mendapat tawaran, rata-rata­nya tidak gigih merebut peluang keemasan tersebut dengan memberikan ribuan alasan yang sukar diterima pakai pihak industri.

Maknanya sikap memilih pe­ker­jaan masih wujud?

Benar, isu pengangguran dalam kalangan graduan khasnya bumiputera ini berpunca daripada sikap memilih dan juga banyak faktor bersifat peribadi. Salah satu adalah faktor takut untuk keluar dari zon selesa. Contohnya tidak mahu berhijrah jauh dari kampung halaman. Graduan wajar mengubah ca­­ra pemikiran dan sikap untuk menyahut cabaran, berani berdikari untuk keluar dari kepompong keselesaan dari sentiasa dipayungi ibu dan ayah. Peluang telah diberikan. Usah menuding jari kepada orang lain sekiranya kita enggan berubah.

Bagaimana dengan penyertaan syarikat swasta dalam program SL1M?

Setakat ini, syarikat milik kerajaan (GLC) telah menjadikan SL1M sebagai Program CSR mereka. Saya berharap lebih banyak syarikat swasta tampil bersama-sama mem­­bantu anak bangsa dalam memperbaiki taraf sosioekonomi mereka. Ketepikan persepsi negatif mengenai graduan tempatan yang sering dianggap industri tidak memiliki kualiti yang bagus. Pelatih SL1M khususnya, jika diberi peluang telah membuktikan mereka juga sebenarnya setaraf dan mampu bersaing hebat dengan graduan lulusan luar negara yang gah namanya.