Bagaimanapun, secara jelas­nya al-Quran dan hadis tidak menentukan secara jelas bentuk ketatanegaraan Islam sehingga menimbulkan pelbagai polemik pemikiran dalam kalangan umat Islam sendiri sepanjang sejarah.

Dalam kalangan pemikiran tokoh-tokoh ketatanegaraan Islam, doktrin politik berkembang berdasarkan anggapan bahawa agama mempunyai dimensi politik secara lurus atau seiring de­ngan ritual beragama atau al-Islam huwa ad-din wa ad-daulah.

Doktrin ini membawa kepada satu rumusan bahawa tidak ada pemisahan antara kekuasaan politik dan agama. Agama dan politik bukan sahaja saling memerlukan bahkan tidak bertentangan - politik melindungi agama dan agama me­ngawal kuasa politik.

Perkembangan selanjutnya mem­bawa kepada istilah kekuasaan yang mana umara dan ulama berada dalam kedudukan yang paling asas. Umara dan ulama melaksanakan fungsinya masing-masing.

Umara berperanan sebagai pe­­milik autoriti politik, ekonomi dan ketenteraan manakala ulama mempunyai peranan se­ba­gai pemilik autoriti hukum dan sosial.

Bagaimanapun, berdasarkan per­jalanan sejarah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, autoriti hukum telah dipindahkan kepada umara yang mana ulama diberikan tanggungjawab sebagai pemegang autoriti sosial dan moral.

Doktrin ini kemudiannya mula disanggah oleh perjalanan sejarah apabila segelintir pemikir Islam terpengaruh dengan doktrin Kristian yang memisahkan secara radikal konsep negara dan agama - milik Tuhan serahkan kepada Tu­han, milik Kaisar serahkan ke­pada Kaisar, ma lillah wa ma liqaishar liqaishar.

Atas asas pemikiran itulah menyebabkan lahirnya satu bentuk penolakan terhadap khalifah sebagai institusi agama. Ali Abdul Raziq (1888-1966) dianggap sebagai penganjur sekularisme atas percubaannya untuk memisahkan politik dan agama.

Dengan mengemukakan hujah sejarah dan dalil syari’e, beliau memberi amaran bahawa Islam tidak boleh campur tangan dalam urusan kenegaraan dengan me­ngaitkan perjuangan kumpulan salafi.

Idea ini kemudiannya berkembang di dunia Arab dan antara tokoh-tokoh yang lantang mengkritik pembentukan kesepaduan agama dengan politik ialah Farah Antun, Shibli Shumayyil, Salamah Musa, Lutfi al-Sayyid dan Taha Hussayn.

Pertembungan idealisme politik itu telah menyebabkan kekuatan umat Islam di Malaysia dan Nusantara semakin sukar untuk disatukan apatah lagi bila beberapa falsafah pemikiran yang sama sekali meminggirkan pandangan agama.

Kehidupan berpolitik semakin dipengaruhi oleh ragam kepercayaan kepada pelbagai doktrin yang tidak berpijak kepada asas agama, termasuklah doktrin politik yang membawa kepada penyelesaian tidak bermoral, matlamat menghalalkan cara.

Bagi menyahut cabaran untuk membina semula asas ketatanegaraan yang berlandaskan prinsip Islam, maka Simposium Siyasah Sariyyah Dalam konteks Peradaban Politik Masa Kini yang akan berlangsung di Hotel Sri Pacific Kuala Lumpur esok akan menjadi titik tolak pen­ting kepada kekuatan umat Islam untuk mengekalkan perpaduan dan menolak politik bobrok yang boleh menghancurkan ummah.

Dari segi visi dan objektif Simposium anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) ini bertujuan membudaya pemikiran dan pemahaman masyarakat Islam terhadap kewajipan bermuamalah dengan asas-asas ke­tatanegaraan Islam berdasarkan sudut pandangan al-Quran dan al-Sunnah, serta menjawab persoalan permasalahan ummah me­­ngenai cabaran peradaban po­litik semasa.

Ia juga akan membina semula asas-asas ketatanegaraan Islam berdasarkan pemahaman proses sejarah dan membantu meluruskan salah faham terhadap etos politik dan budaya politik dalam konteks ketidaksehaluan kognitif (cognitive dissonance).

Di samping itu juga, ia memberi kefahaman secara menyeluruh dan percernaan semula imej politik Islam yang dipengaruhi oleh pelbagai herotan imej akibat tindakan radikal, fahaman sektarian dan mistik.

Di antara tajuk-tajuk yang akan menjadi medan perbincangan dalam simposium ini ialah Bahaya Pemikiran Khawarij Dalam Konteks Kenegaraan Islam oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Wan Zahidi Wan Teh; Doktrin Politik Sunni Dalam Bingkai Kesatuan dan Keutuhan Umat di Rantau Melayu (Profesor Alaudin Koto dari Universiti Sultan Sharif, Pekan Baru, Riau); Politik Dalam Islam dan Pedoman Kepada Ummah (bekas Menteri Agama Indonesia, Profesor Dr. Aid Agil Husin al-Munawar) dan Siasah Sariaah Dalam Pranata Sosial Politik Masyarakat Melayu Malaysia (Profesor Dr. Sudirman M Johan dari Universiti Sultan Sharif I Pekan Baru, Riau Indonesia).

Penganjuran seminar ini sudah tentu dapat membina hubungan yang berkesan antara prinsip ketatanegaraan Islam dalam amalan budaya politik masa kini atau sekurang-kurangnya berupaya membentuk pola pemikiran yang bersesuaian dengan aliran pemikiran politik berdasarkan siyasah syar’ieyah terutamanya etika politik al-Ghazali berhubung de­ngan peranan umara, ulama dan ahli masyarakat dalam kerangka negara maslahah.

PENULIS ialah Setiausaha Analisis 
dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah 
Islamiah Malaysia (Yadim).