Sifir mereka, setiap apa yang datang daripada kerajaan adalah tidak bagus. Apa yang datang daripada mereka pula adalah kesempurnaan. Se­siapa yang menyertai atau me­­nyokong mereka pula auto­matik menjadi bersih dan suci.

Kadang-kadang mereka seperti lupa sedang men­tadbir dua kerajaan negeri berstatus kaya. Tidak da­pat tidak, orang akan mem­bandingkan realiti dan apa yang dilakukan di negeri kekuasaan mereka.

Dalam keghairahan mem­per­lekehkan Bajet 2018 dan keangkuhan mem­­­bandingkan apa yang beliau telah buat di Se­langor, tanpa diundang Azmin menjerat diri sen­diri. Benar-benar satu sen­tuhan kecundang.

Tweet Azmin tentang TVET dalam Bajet 2018 itu mendapat ba­nyak res­pons. Azmin ber­siul “Pro­gram TVET @NajibRazak mem­per­untukkan RM4.5 juta sahaja mana­kala di Selangor me­nyediakan lebih RM50 juta untuk 2018. Inilah Selangor.”

Kesilapan tweet Azmin kemudian ditegur oleh netizen yang turut mengepilkan keratan Bajet 2018 di bawah tajuk Memartabat Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang se­benarnya berjumlah RM4.9 bilion. Peruntukan RM4.5 juta itu dikhususkan untuk biasiswa pelajar cemerlang TVET sahaja.

Seperti mengundang bahana, netizen turut meminta Azmin menyelesaikan banyak masalah di Selangor. Antara yang kerap disebut ialah masalah air selain jalan raya. Ada netizen malah membandingkan pinjaman PTPTN yang lebih mesra peminjam berbanding pinjaman pendidikan untuk anak Selangor.

Bagaimanapun setakat semalam Azmin belum menarik balik tweet yang silap itu mahupun memohon maaf walaupun ada netizen yang memintanya berbuat demikian. Seorang netizen mencadangkan “Bila nak betulkan fakta ini? Come on berjiwa besarlah mengakulah kekhilafan tuan RM4.9 bilion tu jauh benar bezanya dengan RM4.5 juta,”

Yang turut mendapat 'getah' kesilapan Azmin ini ialah Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Individu yang dijulang sebagai pendebat terbaik Asia yang baru-baru ini menolak tawaran belajar di Oxford University seperti bangga dapat mengulang tweet Azmin.

Begitulah yang selalu diperagakan oleh politikus parti ini, apabila buat silap terus senyap.

Azmin bahkan terus berbangga dengan men-tweet aktiviti hariannya yang lain. Malanglah, kita terus disuguhkan dengan pendidikan politik daripada parti yang selalu berbangga mahu membawa politik baharu kepada Malaysia.

Azmin memang antara pemimpin Pakatan Hara–pan yang aktif dalam me–dia sosial. Jika diikutkan waktu tweet beliau yang silap itu dibuat pada pukul 4.58 petang. Maksudnya beliau masih berada di dalam dewan mengikuti pembentangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara langsung dari tempat duduknya selaku Ahli Parlimen Gombak.

Barangkali itu balasannya jika terlalu mendabik dada tentang apa yang dibuat. Hukum karma, kata orang. Tak pasal-pasal mendapat malu sendiri.

Memang tercium aroma bongkak dalam deretan tweet Azmin itu. “Selangor Brain Bank telah saya laksanakan 3 tahun tetapi @NajibRazak baru tadi lancar Malaysian Brain Bank. Selangor terus jadi model.”

Azmin terus bersiul “Selangor sudah lama berjaya melaksanakan TAWAS. Malangnya, @NajibRazak baru teringat nak lancar ADAM50. Ayuh mari Selangor pimpin Putrajaya.”

Tweet itu kemudiannya disusuli dengan “Helo @NajibRazak. Penang dan Selangor telah lama menabung untuk setiap anak baru lahir. You lambat 5 tahun.”

Tetapi begitulah resam media sosial apa yang dinyatakan tidak boleh dipadam begitu sahaja. Apa yang dinyatakan boleh disanggah serta-merta.

Selain fakta TVET yang meleset, netizen juga membetulkan fakta bahawa Kementerian Pengajian Tinggi telah terlebih dahulu melancarkan MyBrain15. Program itu dilancarkan pada Disember 2010 sedangkan Selangor Brain Bank pada 2014.

Program kerajaan Persekutuan itu bertujuan untuk meningkatkan jumlah graduan ijazah Doktor Falsafah (PhD) menjelang 2015. Jadi, wahai Datuk Menteri Besar sapa tiru siapa sebenarnya?

Begitu juga apabila gagal untuk menjawab tentang lawatan ke China adakah bertujuan untuk menjual Selangor (sebagaimana Najib dituduh menjual Malaysia kepada China apabila menerima pelaburan dari negara itu), Azmin menjawab “Saya ke China unruk mencari Jho Low.”

Barangkali benarlah analisis banyak orang. Azmin ini licik orangnya. Apabila salah dan mencetuskan kontroversi beliau boleh bersikap bersahaja. Beliau boleh beraksi senyap dalam keanggunan.

Azmin juga sentiasa pantas mengambil kesempatan. Menyedari Najib yang bakal memperoleh keuntungan politik apabila mengumumkan pemansuhan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Azmin mengalih perhatian dengan tweet “Tahniah rakyat Selangor. Atas keberanian rakyat maka @NajibRazak batal tol Batu 3.”

Benar-benar lembu punya susu, sapi dapat nama. Begitulah impak Bajet 2018 menjelang pilihan raya umum ini menjadikan fikiran politikus Pakatan Harapan nampak berkecamuk. Tanpa dapat diselindung, masing-masing pun mempamerkan kegusaran mereka. Memuji tidak boleh, kenalah hentam mana yang ada.

Pakatan Harapan pun terperangkap dengan bajet alternatif yang diumumkan dua hari sebelum bajet sebenar. Terlalu banyak pusingan U. Terlalu banyak perkara yang tidak konsisten.

Bukan sahaja rakyat tetapi mereka sendiri yang sebenarnya terkeliru. Sekali lagi mereka gagal menunjukkan wibawa sebagai sebuah parti yang boleh diberikan harapan untuk memimpin negara.