Kelahiran Siti Aafiyah Khalid pada 19 Mac lalu, menamatkan penantian "si jantung hati Malaysia" ini, seterusnya dikongsi dengan air mata kesyukuran ribuan masyarakat di luar sana.

Selepas sekitar 13 hari menjadi ibu, Mingguan Malaysia melalui wartawan TENGKU KHALI DAH TENGKU BIDIN berpeluang mewawancara beliau.

Ketika ditemui, Siti Nurhaliza sedang menjalani rawatan mengurut badan bagi melengkapkan sesi berpantang di rumah agamnya yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Sesekali, bicara kami terhenti dek kerana si bayi mahu menyusu dan Siti memohon untuk wawancara dihentikan seketika untuk memberi ruang kepada isteri Datuk Seri Khalid Jiwa ini menyusukan bayinya.

Ironinya, bagai disusun dan diatur tarikh 1 April hari ini, adalah ulang tahun ke-22 Siti Nurhaliza berada di dalam industri muzik negara ini.
 

MINGGUAN: Dari sudut dalaman dan kejiwaan, bagaimana perasaan Siti Nurhaliza sendiri setelah lebih 10 hari bergelar seorang ibu?

SITI: Bercakap soal dalaman, sudah tentulah rasa nikmat. Bahagia ini cukup indah dan susah untuk diceritakan. Mana tidaknya, selama ini saya selalu saja berangan-angan, selalu berdoa untuk ada pengalaman menyusukan bayi, menjaga anak sendiri.

Dan sekarang mimpi itu sudah menjadi kenyataan dengan kelahiran Siti Aafiyah. Ini pengalaman baharu buat saya apabila setiap hari celik sahaja mata, saya mesti hendak lihat muka anak terlebih dahulu.

Walaupun ada juga cabarannya apabila malam hari kena selalu berjaga, setiap dua jam sekali Aafiyah mahu menyusu dan saya memilih untuk memberikan dia susu badan. Tetapi, penat itu semua hilang begitu sahaja apabila saya dapat menyusukan dia sendiri. Itulah nikmat menjadi seorang ibu.

Barangkali Aafiyah akan jadi satu-satunya anak kandung Siti Nurhaliza atau bagaimana?

SITI: Sejujurnya, kalau ada rezeki lagi, memang Siti hendak lagi seorang, anak lelaki pula. Dapatlah sepasang anak. Tetapi, buat masa sekarang tidak mahu tergesa-gesa sangat sebab masih baharu dan saya hendak ‘memanjakan’ Aafiyah terlebih dahulu sepuas-puasnya.

Kami hendak raikan dia sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluarga ini. Apapun, kalau ada rezeki, saya terima. Tetapi kalau ditakdirkan hanya Aafiya sahaja, pun memadai kerana Allah sudah bagi apa yang saya idamkan selama ini.

Kerisauan utama wanita selepas bersalin adalah berat badan, apakah Siti juga sama?

SITI: Oh, bercakap pasal gemuk, memang Siti akui. Lebih-lebih lagi kita sebagai selebriti yang selalu tampil di televisyen dan di pentas, sudah tentu mahu dilihat lebih terampil. Memang Siti akan menjalani rutin kena bersungguh-sungguh untuk kembali kepada berat badan asal.

Insya-Allah, dengan berpantang, ikut pelan diet yang sihat, tidak akan ada masalah. Sekarang pun sudah banyak kilogram yang turun, syukur kepada Allah.

Sedar atau tidak, mahu atau tidak, Siti dianggap sebagai ikon yang menyumbang semangat positif kepada wanita lain yang sudah lama berkahwin tetapi belum ada zuriat. Kepada mereka ini, apa yang ingin Siti sampaikan sekarang?

SITI: Mereka kena ingat, selain faktor kesihatan diri, kesihatan mental kita sangat penting dalam usaha untuk hamil. Saya sendiri, sebelum ini pernah mengandung tetapi keguguran, tetapi saya tidak pernah jemu berusaha dan cuba menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Jangan pernah mempersoalkan takdir Allah sebaliknya percaya bahawa Allah akan mendengar doa kita yang baik. Tanam dalam hati jangan putus asa, selalu berdoa dan berusaha, jangan mengalah.

Dalam hati kita kena selalu ada sangka baik dengan Allah SWT kerana apa yang kita doa, apa yang kita sangka itulah yang akan kita terima. Faktor lebih penting lagi adalah sokongan suami. Ia tidak akan menjadi kalau hanya isteri sahaja yang berusaha.

Ada juga suami memilih poligami sebagai penyelesaian kepada isu ketiadaan zuriat. Adakah Siti melihat ini langkah yang betul untuk sebuah institusi keluarga?

SITI: Tak dinafikan, ketiadaan zuriat boleh jadi punca masalah dalam rumah tangga. Ia berbalik kepada matlamat perkahwinan, banyak penyelesaian yang lebih baik sebenarnya. Kalau tidak ada sebarang penyakit tetapi belum dikurniakan zuriat, kita perlulah terus berusaha.

Buat pemeriksaan kesihatan tu bukan hanya kepada kaum wanita sahaja, tetapi suami juga. Dalam rumah tangga kita dan pasangan perlu menerima seadanya seandainya tahu matlamat utama dalam kehidupan berumahtangga.

Macam Siti sendiri, masa belum ada anak dulu pernah juga berbincang dengan suami, bagaimana kalau kami terus tidak ada zuriat sepanjang pernikahan ini? Kami bersetuju untuk meneruskan kehidupan seperti biasa atau mungkin ambil anak angkat.

Jadi, kita kurang stres dan melalui kehidupan dengan baik sahaja. Seharusnya perkara seperti poligami difahamkan oleh pihak suami dengan baik kerana kita hidup bersama, ada cabarannya.

Ada poligami yang bahagia, ada juga yang bermasalah. Jadi, tepuk dada tanya iman kehidupan bagaimana yang kita mahukan.