Baginda dan sahabat terpaksa berdepan bukan hanya jumlah musuh yang ramai, bahkan pasukan tentera yang memiliki alatan perang mencukupi dan bilangan sekutu yang ramai.

Walaupun Islam menang dalam peperangan itu tetapi seorang pendakwah kelahiran Amerika Syarikat (AS), Abu Ammaar Yasir Qadhi (Dr. Yasir Qadhi) menyifatkan ia bukan sekadar kemenangan biasa.

“Ia bukan satu kemenangan fizikal semata-mata tetapi turut membabitkan kemenangan dalam mengakui kebesaran dan kekuasaan Allah SWT sebagai pemilik mutlak alam dan segala isinya.

“Lebih penting, kekuatan iman tentera Islam sepanjang mengharungi peperangan berat sebelah itu boleh dijadikan panduan (doa) kepada Muslimin hari ini dalam menempuh cabaran dan dugaan hidup,” kata pensyarah tetap di Pusat Islam Memphis, AS, baru-baru ini.

Ikutilah temubual beliau di bawah:

Boleh jelaskan tentang ‘bukan sekadar kemenangan biasa’ itu?

Yasir Qadhi: Al-Quran ada menyebut, bila Rasulullah SAW dan para sahabat dikepung oleh 10,000 tentera musyrikin Quraisy pada perang al-Ahzab (Khandaq) dalam Surah al-Imran: 173 bermaksud:

“Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya.

“Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami)”.

Jika dikaitkan dengan suasana perang tersebut, kita dapat melihat dengan jelas tahap keimanan tentera Muslim kepada Allah SWT tetap utuh walaupun menyedari kelebihan pihak musuh.

Ayat “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami)” terakhir itulah menjadi pegangan tentera Muslim dan ia turut dilafazkan oleh Nabi Ibrahim a.s.

Apa kena mengena dengan Nabi Ibrahim a.s.?

Menurut Ibn Abbas, tindakan Nabi Ibrahim merosakkan patung-patung berhala dan tidak mahu menyembah benda berkenaan, walaupun dipujuk oleh ayahnya sendiri menyebabkan Baginda bakal dihumbankan ke dalam api.

Apa menakjubkan adalah Nabi Ibrahim ketika itu bukan hanya berusia remaja, bahkan hanya Baginda seorang sahaja yang mengakui keesaan dan menyembah Allah SWT.

Malah, keutuhan iman Nabi Ibrahim tidak terjejas walaupun menerima seksaan fizikal secara berterusan selama beberapa hari sebelum pemerintah pada masa itu mengambil keputusan untuk menghumbankannya ke dalam api.

Semua itu dilakukan agar Baginda kembali kepada agama asal nenek moyang mereka. Tetapi, Baginda tetap dengan pendiriannya sambil membaca barisan terakhir ayat al-Imran: 173 itu.

Akhirnya Baginda dihumbankan ke dalam api tetapi dengan kuasa-Nya, api itu menjadi sejuk dan nyaman sehingga langsung tidak mencederakannya.

Kenapakah ayat itu bernilai?

Ini kerana, ia akan menjadi penentu sejauh manakah kita sebagai umat Islam mengetahui dan mengenali siapa Allah SWT sebenarnya.

Apa tidaknya, tanpa pengetahuan sedemikian pasti sukar untuk meletakkan kepercayaan tanpa ada rasa sangsi kepada-Nya bagi mengurus hal-hal dunia serta akhirat kita.

Malah, ia juga sekadar menjadi satu lafaz di mulut sahaja. Roh dan hati kita tidak terikat dengan kuat kepada Allah SWT.

Boleh ulas lebih lanjut?

Bila lafazkannya, kita mengesahkan tentang kekuasaan Allah SWT atas muka bumi ini. Tidak ada mana-mana kuasa atau seseorang yang boleh menghalang apa yang telah Allah SWT putuskan.

Kita juga pastinya tidak akan mempedulikan siapa lawan, termasuklah kaum keluarga sendiri jika kita percaya dan yakin bahawa Allah SWT berada di sisi kita.