Pemandangan sekumpulan penunggang motor besar ‘menguasai’ lorong paling kanan di jalan raya atau lebuh raya sudah menjadi perkara biasa. Habis semua kenderaan lain disuruhnya ke tepi.

Ada juga segelintir marsyal yang menyelia konvoi berkenaan siap berhenti di tengah-tengah jalan raya atau persimpangan lampu isyarat. Kereta dan kenderaan lain ditahan supaya berhenti atau memperlahankan kenderaan ma­sing-masing bagi memberi laluan kepada kumpulan mereka ‘memecut’ terlebih dahulu.

Lagak marsyal tersebut mengalahkan polis trafik.

Beberapa bulan lalu tersebar kembali satu klip video rakaman berita sebuah stesen televisyen negara jiran menceritakan pe­rangai jelik segelintir kumpulan penunggang motor besar dari Malaysia.

Kisahnya sama sahaja, masuk ke negara jiran, berlagak se­perti di negara sendiri. Di tengah-tengah lampu isyarat mereka berhenti menjadi ‘polis trafik’, menahan kenderaan lain, bagi mem­bolehkan konvoi lalu terlebih dahulu.

Khabarnya klip video itu rakaman lama yang dikitar semula oleh menerusi media sosial.

Lama atau pun baharu, klip video itu tetap relevan kerana kejadian dan pemandangan seum­pama itu kerap kali dapat ditonton di lebuh raya khususnya pada hujung minggu dan musim cuti.

Barangkali kerana setiap ming­gu atau setiap bulan berkonvoi ke negara tersebut, kumpulan penunggang motor besar ini sudah merasa seperti menunggang di tanah air sendiri. Jadi perangai hodoh itu terbawa-bawa ke negara jiran.

Netizen memberi reaksi kepada berita itu dengan menghentam dan mengecam perangai buruk tersebut, sehingga kumpulan itu yang dikatakan bernaung di bawah satu kelab pemotoran di sebuah negeri terpaksa meminta maaf. Ini hanyalah satu contoh yang kebetulan tular di media sosial. Penulis pasti ramai lagi yang pernah mengalami atau melihat kejadian yang sama.

Walaupun kebanyakan kelab pemotoran menjadikan pemanduan dan menunggang secara selamat, berhemah dan ber­tanggungjawab sebagai disiplin nombor satu mereka, keba­nyakan ahli lupa.

Sejurus mereka melabuhkan punggung di atas motosikal masing-masing, segala disiplin, motto, syarat dan ikrar ‘ke laut.’

Secara tiba-tiba mereka me­rasa hebat, amat besar, berkuasa dan persis raja. Maka bermulalah aksi seperti berlumba di litar, potong-memotong, cilok-mencilok ken­deraan lain. Mereka merasa sangat hebat, maklumlah di le­buh raya ramai penonton!

Penulis sendiri mempunyai pengalaman menyaksikan beberapa kali insiden seperti yang diceritakan itu. Perbuatan me­nunggang di lorong sebelah kanan sambil mengarahkan kenderaan-kenderaan lain ke tepi bagi memberi laluan kepada akan-rakan mereka memecut sangat tidak bertanggungjawab.

Ada juga dalam kalangan mereka yang sanggup memberikan isyarat lucah jari tengah kepada kereta lain yang tidak mengendahkan arahan mereka.

Insiden-insiden seperti inilah yang menambahkan lagi kebencian orang ramai kepada kumpulan penunggang ego dan perasan hebat ini.

Berdasarkan kepada reaksi yang dapat dibaca dalam laman media sosial, netizen mendakwa kes-kes seumpama itu melibatkan penunggang muda setahun jagung yang baru belajar ‘mengasah tayar.’ Mereka bukanlah hebat sangat tetapi mudah teruja untuk menunjuk-nunjuk ‘kehebatan’ menunggang di jalan raya atau lebuh raya. Apatah lagi kalau jentera yang ditunggang lebih hebat daripada pelumba litar profesional.

Tidak hairanlah ramai yang tidak menunjukkan rasa simpati sedikit pun apabila berlaku kemalangan maut yang melibatkan penunggang motor besar ini. Pada mereka kemalangan berpunca daripada kecuaian diri sendiri dan sikap buruk ketika berada di atas jalan raya.

Perbuatan segelintir mereka ini menjejaskan nama baik sebahagian besar penunggang motosikal berkuasa besar lain yang sentiasa menjadikan keselamatan sebagai keutamaan dalam aktiviti berkonvoi.

Mematuhi undang-undang dan peraturan selain menghormati hak pengguna jalan raya yang lain sentiasa menjadi keutamaan.

Walaupun kebanyakannya ada­lah penunggang hebat serta kaya-raya, mereka sentiasa menggunakan akal dan akhlak ketika berada di jalan raya. Kumpulan ini menggunakan motosikal masing-masing bagi kerja-kerja amal membantu golongan yang tidak bernasib baik.

Mereka juga menganjur dan menyertai pelbagai program ­khidmat masyarakat.

Kumpulan penunggang seperti ini bukan dalam kategori penunggang ‘syok sendiri.’ Mereka patut dicontohi.

Walaupun kebanyakan kelab pemotoran menjadikan pemanduan dan menunggang secara selamat, berhemah dan bertanggungjawab sebagai disiplin nombor satu mereka, kebanyakan ahli lupa. Sejurus mereka melabuhkan punggung di atas motosikal masing-masing, segala disiplin, motto, syarat dan ikrar ‘ke laut.’.