Sebagai tanah jajahan British, Singapura ialah nama kedua selepas London yang wujud dalam imaginasi kebanyakan penduduk Malaya. Singapura menyerap minda saya melalui filem Singapura Di Waktu Malam, salah sebuah filem Melayu terawal dibikin di Singapura selepas Perang Dunia Kedua. Ia satu pengkisahan kehidupan ceria kota itu di waktu malam.

Selepas itu letusan tragedi Natrah dalam 1950 menumpukan orang Malaya ke sana. Natrah ialah anak Belanda yang menjadi anak angkat Cek Minah di Kemaman, Terengganu, selepas keluarga Belanda itu pulang ke Belanda sesudah Perang Dunia Kedua. Natrah diserahkan kepada Cek Minah, seorang peniaga.

Tidaklah begitu pasti di mana penyerahan itu berlaku, sama ada di Jakarta atau Singapura, mungkin juga Jakarta kerana Indonesia ialah tanah jajahan Belanda ketika itu. Bagi Cek Minah, Jakarta-Singapura-Kemaman berupa satu pelayaran kapal sahaja, baik mengambil masa satu malam atau lima malam.

Pada 1949, ketika Natrah berusia 12 tahun, ibu bapanya datang ke Singapura mencari Natrah (nama asalnya Bertha Herthog). Beritanya meluas tersiar dalam akhbar-akhbar Inggeris, terutama Straits Times. Apabila District Officer (DO) Kemaman, Lt. Col. Locke, ternampak seorang murid kulit putih pada hari sukan sekolah, beliau yakin budak itulah yang dicari-cari seperti dalam berita akhbar. Terbukti sahlah begitu.

Dipendekkan cerita, Natrah dibawa Cek Minah ke Singapura atas pujukan British dengan alasan hendak merasmikan pengambilan Natrah sebagai anak angkat. Yang lain-lainnya sudah menjadi sejarah berdarah.

Banyak yang mati dan cedera. Hakim Inggeris menjatuhkan keputusan memulangkan Natrah kepada ibu bapa asalnya. Kepulangannya ke bumi Belanda berlaku dengan alu-aluan pintu gerbang.

Sesiapa saja yang berkunjung ke Singapura membawa pulang cerita yang sedap didengar. Lalu terdapat anggapan sesiapa saja belum sampai ‘kelas’ jika tidak memijak kaki di Singapura.

Tidak cukup dengan semua itu, P. Ramlee yang menyertai Studio Shaw pada 1948 di Jalan Ampas, Singapura, berdentum menjadi bintang pujaan tua muda di kampung dan desa baik di Malaya, Singapura dan Indonesia.

Selaras dengan itu, dunia penulisan dan sastera melonjakkan nama-nama besar seperti Kamaludin Muhamad (Keris Mas), Usman Awang, A. Samad Ismail, Pak Sako, Harun Aminur-Rashid, Othman Wok dan ramai lagi.

Begitu kuat tarikan magis Singapura maka saya dan rakan sedarjah dalam usia 16 tahun telah berbasikal ke sana, melalui cabaran bukit tinggi di Genting dekat Bentong dan tanah tinggi Mantin dekat Seremban sebelum tiba di Singapura enam hari selepas bertolak dari Kuantan.

Bangunan Cathay yang tertinggi di sana, 12 tingkat, baru saja di atasi oleh sebuah bangunan Insuran, 16 tingkat, di seberang jalan dari Clifford Pier di birai pantai.

Rumah bapa saudara rakan saya di Geylang Serai menjadi persinggahan kami. Pada satu malam kami mendengar kempen pilihan raya Lee Kuan Yew, bakal Perdana Menteri Singapura. Beliau petah berbahasa Melayu sepertimana kebanyakan bukan Melayu Singapura waktu itu.

Nama tempat Siglap jadi terkenal sebab kugiran Siglap Five, pengiring Ahmad Jais. Di situ jugalah terletaknya rumah papan ahli keluarga saya. Persekitaran kekampungannya dulu sudah dipenuhi flat-flat tinggi.

Siglap datangnya dari Si Gelap yang dirujuk kepada nelayan-nelayan berkulit hitam akibat bahaman matahari yang berpindah di situ dari Pantai Timur Malaya, seperti halnya dengan juraian keluarga saya itu.

Moyang mereka berhijrah ke situ dari Kuala Terengganu lama sebelum Perang Dunia Kedua. Ketika itu Singapura dan Malaya tiada batasan. Masuk keluar seperti masuk Selangor keluar Pahang.

Apabila Singapura berpisah dari Malaysia pada 1965, berubahlah segala-galanya. Pasport dan keperluan-keperluan lain dipastikan. Jika pada 1959 penduduk Singapura kira-kira sejuta, sama dengan Perak.

Kini Singapura mencecah enam juga sedangkan Perak kira-kira tiga juta. Bagaimana boleh berlaku begitu hanya boleh dipercerahkan oleh dasar dan pelaksanaan imigresen di negara pulau itu.

Pada hakikatnya purata lebar (utara-selatan)Singapura ialah 17 kilometer (km), panjangnya (timur-barat) 36 km, sebesar metro Kuala Lumpur dari Kepong ke Kelang. Jika geografi ini dinukilkan, maka Singapura sama besar dengan Kuala Lumpur pada saiz dan jumlah penduduknya.

Biarlah Singapura dan Kuala Lumpur bersaing. Persaingan menghasilkan situasi ‘menang-menang’ demi kebaikan kedua-dua kota utama di sebelah sini dunia ini.

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.