Kebanyakan bekas tentera itu adalah veteran Perang Dunia Kedua (1939-1945), Perang Korea (1950-1953) dan Perang Vietnam (1955-1975).

Sebahagian besar bekas tentera itu dikerah untuk berperang dan tidak mendapat pendidikan formal di Akademi Tentera Amerika Syarikat (USMA) di West Point, New York, yang menawarkan pe­ngajian secara sinergi antara ilmu akademik dan ketenteraan.

Tidak didedahkan dengan ilmu akademik dan ketenteraan secara seiring menyebabkan bekas tentera yang menjadi CEO kedekut untuk membelanjakan wang ba­nyak untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk baharu.

Sedangkan R&D cukup penting untuk survival syarikat seperti yang dibuktikan oleh Samsung Electronics Co. Ltd. yang berjaya menghasilkan pelbagai telefon pintar canggih mengatasi pesaing lain seperti Nokia Corporation.

Kajian juga mendapati bekas tentera yang dilantik sebagai CEO bersikap terlalu yakin pada diri sendiri dan agresif membuat pelaburan tanpa mengkaji secara mendalam tentang risiko yang bakal dihadapi sehingga akhirnya syarikat mengalami kerugian.

CEO terbabit sudah pasti tidak bertindak sedemikian sekiranya mempunyai pengetahuan akademik khususnya kaedah-kaedah pengurusan terkini.

Walaupun kajian majalah itu hanya melibatkan sektor korporat, sinergi kedua-dua bidang ilmu itu sebenarnya cukup ­penting untuk semua kerjaya termasuk ketika menjadi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berperanan sebagai benteng pertahanan negara.

Itulah kesimpulan yang boleh dibuat ketika program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang diadakan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur, kelmarin.

Moderator program advo­ka­si berkenaan ialah Suhaimi ­Mo­hamed dari RTM.

Ahli panel program itu ialah Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Senator Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor; Timbalan Naib Canselor (Aka­­demik dan Antarabangsa) UPNM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Tengku Mohd. Tengku Sembok dan Dekan Pengajian Siswazah Ghazali Shafie Universiti Uta­ra Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd. Kamarulnizam Abdullah.

Bagi Mohd. Anwar kepen­tingan kedua-dua bidang tidak boleh dinafikan dan beliau ber­syukur apabila UPNM ditubuhkan pada 2006 ketika beliau menjadi Panglima Angkatan Tentera.

“Landskap pertahanan antarabangsa berevolusi selepas Perang Dunia Kedua yang melihatkan ancaman bukan lagi datang daripada sesebuah negara tetapi oleh kumpulan atau gerakan dengan agenda tertentu.

“Tujuan utama UPNM diwujudkan adalah membentuk pemimpin tentera yang bukan hanya mahir mengendalikan aset ketenteraan, malah meningkatkan kemahiran berfikir dan rasionalisasi apabila berhadapan senario pe­perangan bentuk baharu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Anwar berkata, walaupun kerajaan menekankan untuk melahirkan tentera berkebolehan dalam ilmu akademik dan ketenteraan supaya dapat menjadi benteng pertahan negara, rakyat tidak boleh bersikap lepas tangan.

“Soal pertahanan negara tidak wajar diletakkan sepenuhnya kepada ATM atau pasukan keselamatan lain, tetapi perlu mendapat kerjasama daripada masyarakat.

“Berdasarkan konsep pertahanan menyeluruh (Hanruh), rakyat juga memainkan peranan menjaga kedaulatan negara termasuk menjadi mata dan telinga kepada pasukan risikan tentera,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Tengku Mohd. berkata, UPNM dari semasa ke semasa akan menawarkan kursus-kursus baharu bagi memastikan ilmu yang dipelajari pelajar relevan dengan perkembangan terkini.

Menurut beliau, antara kursus baharu yang akan ditawarkan pada tahun depan adalah Sarjana Muda Penyelidikan Operasi dan Sarjana Muda Data Raya.

Jelas beliau, penekanan terhadap ilmu akademik seperti bahasa dan budaya asing, pengajian strategi serta pengurusan sumber manusia pertahanan adalah selaras dengan hakikat fungsi anggota ATM bukan untuk berperang semata-mata.

“Mereka juga terlibat dalam menjalin hubungan diplomasi dengan tentera-tentera dari negara lain serta terbabit dalam misi pengaman,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Kamarulnizam pula menekankan mengenai perlunya lepasan UPNM mengamalkan segala apa yang dipelajari apabila berkhidmat nanti.

“Apabila kita amalkan perkara-perkara ini, kita akan mem­peroleh pengalaman yang juga satu aspek penting.

“Tentera masa hadapan perlu ada elemen kepemimpinan, rohani dan jasmani serta intelektual. Itu hanya 50 peratus sahaja dan selebihnya adalah pengalaman. Bagaimana dia mengaplikasikannya,” kata beliau.

Sejajar dengan pandangan yang diberikan oleh Mohd. Kamarulnizam, sudah sampai masanya kadet di UPNM berusaha mengamalkan segala apa yang dipelajari sejak masih menuntut lagi.Sebagai permulaan mereka boleh mengamalkan perkara asas seperti mementingkan ketepatan masa dan sentiasa menjaga kebersihan persekitaran.

Pelajar yang ­menuntut di peringkat menengah sepatutnya menjadikan UPNM sebagai pilihan utama kerana menjadi satu-satunya universiti di negara ini yang menawarkan ilmu akademik dan ketente­raan secara seiring.

Walaupun ketika sesi dialog program berkenaan ada kadet merujuk singkatan UPNM sebagai ‘Universiti Penat Nak Mati’, anggaplah itu sebagai satu cabaran yang wajib disahut oleh individu yang cintakan bangsa, agama dan tanah air.