Didahulukan, de­ngan menyebut kalam suci, gema takbir membesarkan keagungan Ilahi, seraya lafaz tahmid disusuli, bagi menandakan bahawa telah datangnya saat kemenangan, meraikan Aidilfitri, Hari Lebaran yang dinanti-nantikan. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

Sesungguhnya, fajar Syawal itu akhirnya datang menyingsing, setelah terbenam mentari Ramadan, bulan yang dipenuhi de­ngan pakej kemuliaan dan sinar keberkatan, padanya diturunkan al-Quran serta dikurniakan laila­tulqadar, yakni malam yang lebih baik lagi afdal keberkatannya dari­pada seribu bulan.

Justeru, setelah sebulan berpu­asa, tidak hanya setakat me­nahan lapar dan dahaga, malah kita telah bermujahadah melawan nafsu, sambil menye­mai sifat keinsafan serta belas kasihan, terhadap golongan yang kurang bernasib baik lagi serba kekurangan, yang acapkali dihimpit kesusahan hidup.

Maka, tatkala sampai ketikanya, seperti saban tahun, umat Islam di Malaysia serta serata pelosok du­nia, menyambut Hari Kemena­ngan, yakni perayaan Aidilfitri yang mulia, dengan penuh rasa syukur dan suasana keriang­an.

Merujuk kepada mafhum firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 60, yang mengajak umat Islam supaya bersiap-siaga dengan sepenuh kekuatan dalam setiap perkara dan melalui pedoman cendekiawan pula bahawa, tidak berjaya sesuatu kebenaran, jika tidak diatur dengan baik.

Begitulah ajaran Islam yang sentiasa menekankan tentang peri-pentingnya perencanaan dan ketertiban sama ada urusan duniawi mahupun soal ukhrawi, terutama bagi berdepan dengan realiti dunia kontemporari.

Mengambil ibrah dan pengaja­r­an itu, pada perutusan hari raya tahun ini, saya ingin menyentuh lima risiko dan cabaran baharu yang perlu kita hadapi:

Pertama: Isu geopolitik.

Dalam hal ini, Malaysia sedang berdepan dengan cabaran risiko geopolitik baharu dunia yang serius antaranya membabitkan krisis di antara negara-negara Islam di Teluk, program nuklear Korea Utara dan implikasi Brexit.

Sudah tentu, kesemua perkembangan ini perlu diteliti dengan sebaik-baiknya, kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan kemakmuran negara serantau dan antarabangsa.

Kedua: Soal keselamatan dan keamanan.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, berlakunya beberapa kes letupan dan pengeboman di tempat-tempat awam oleh kumpulan pengganas dan ekstre­misme di seluruh dunia.

Antaranya Manchester, London, letupan di Jakarta dan letupan bom kereta di Kabul serta pertempuran dahsyat di Marawi, Filipina.

Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat di negara ini, agar mengelakkan diri daripada terpe­ngaruh dengan fahaman atau ideologi ektremisme dan terorisme seperti kumpulan IS serta militan Daesh, yang telah menyalah­tafsirkan konsep jihad dalam Islam, selain menjauhi apa jua ancaman anasir luar yang boleh menggugat keselamatan negara.

Kerana, Islam itu adalah agama yang damai dan sejahtera. Lantas, bagi menjunjung kesuciannya, berpegang teguhlah dengan, The Authentic Islam, yakni ajaran Islam sejati dalam pengertian yang sebenar-benarnya.

Di samping itu, di era siber dan meluasnya media sosial ini, umat Islam perlu bijak menyaring maklumat dan ancaman fitnah serta tohmahan palsu, disebarkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dengan bertabayyun, yakni menyelidiki dahulu sesuatu berita secara teliti, sebelum membuat keputusan untuk mempercayainya.

Namun begitu, saya berasa bersyukur kerana negara ini masih terus mengecapi nikmat keamanan. Malah, berdasarkan Indeks Keamanan Global 2017, Malaysia telah berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia dan ke-29 daripada 163 negara paling aman di dunia.

Sehinggakan, (Raja Arab Saudi) Raja Salman Abdulaziz Al-Saud sendiri pun telah berkenan dan memberi sokongan penuh kepada usaha penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Malaysia.

Serentak itu, selain Malaysia dijadikan contoh dalam kal­ang­an negara Islam, baginda Raja Salman, turut memuji negara ini yang mengamalkan wasati­y­yah, yakni kesederhanaan, yang berteraskan pula maqasid syariah, dengan begitu berjaya sekali.

Pada sisi lain, atas nama ukhuwah Islamiyah dan kemanusiaan sejagat, Malaysia akan terus beristiqamah dalam memperjuangkan nasib golongan tertindas di serata dunia, sambil menawarkan bantuan sewajarnya khusus kepada rakyat Palestin, etnik pelarian Rohingya dan penduduk di Syria.

Lantaran itu, pada kesempa­t­an ini, marilah sama-sama kita be­rikan penghargaan dan san­ju­ng­an kepada semua perajurit serta anggota keselamatan negara, yang telah menabur bakti dan berkorban siang serta malam, bertugas di seluruh ceruk rantau tanah air, sama ada di perbatasan mahupun Esszone.

Tatkala menyambut kemeriahan perayaan ini, saya cukup bersimpati dan bagi pihak kerajaan ingin merakamkan takziah kepada keluarga mangsa serta dua juruterbang TUDM iaitu Mejar Mohd Hasri Zahari dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, yang menjadi korban dalam tragedi nahas pesawat Hawk 108, terhempas di Kemaman Terengganu baru-baru ini.

Ketiga pula adalah di bidang iktisad atau ekonomi.

Meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, Alhamdulillah, mutakhir ini, ekonomi kita telah berkembang pada kadar yang di luar jangka iaitu pada 5.6 peratus untuk suku pertama tahun 2017, berbanding pertumbuhan 4.5 peratus pada suku keempat 2016.

Malah, pada Mac 2017, buat pertama kali dalam sejarah, nilai eksport telah mencecah RM80 bilion, yang mana eksport me­ningkat sebanyak 24 peratus kepada RM82.63 bilion, pencapaian tertinggi eksport secara bulanan. Pencapaian eksport ini telah turut mencatatkan pertumbuhan angka berganda empat bulan berturut-turut sejak Disember 2016.

Kita bersyukur, kerana Malaysia telah diiktiraf oleh firma antarabangsa iaitu, BAV Consulting & Wharton School dari Amerika Syarikat bahawa, kita adalah negara yang terbaik untuk para pelabur bagi tahun 2017.

Manakala, pada beberapa ming­gu lepas pula, majalah Forbes meletakkan Malaysia di kedudukan paling atas dalam kalangan semua negara Asia untuk pelaburan asing.

Bahkan, tahun 2017 ini juga telah diserikan lagi dengan peng­umuman pelaburan oleh Saudi Aramco yang bernilai RM31 bilion, dalam Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor, iaitu merupakan, pelaburan asing tunggal terbesar yang pernah berlaku, dalam sejarah Malaysia setakat hari ini.

Namun demikian, kita tidak akan cepat berpuas hati dan mudah berasa selesa dengan kejayaan-kejayaan itu, sebaliknya kerajaan akan terus membawa Malaysia menjalankan aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah bagi memastikan negara kekal berdaya saing dalam ekonomi global.

Tidak lama selepas Syawal berlalu, tibalah musim haji. Alhamdulillah, hasil daripada perbincangan saya dengan Raja Salman sebelum ini, baginda telah berke­nan untuk meningkatkan kadar kuota rasmi haji Malaysia daripada 27,900 orang kepada 30,200 orang jemaah.

Selain itu, baginda juga akan mempertimbangkan secara mendalam permohonan Malaysia untuk menyewa tanah, bagi tujuan pembinaan kompleks penginap­an bagi kemudahan jemaah haji Malaysia pada masa hadapan.

Keempat: Mendahulukan Kepentingan Rakyat.

Bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya kepada golongan B40 dan M40, kerajaan telah berusaha gigih menyalurkan pelbagai bantuan dan inisiatif seperti BR1M, Projek-projek Perumahan Rakyat, Rumah Mampu Milik, PPA1M, PR1MA, Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, pengangkutan awam dan bermacam-macam lagi subsidi, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Dalam memberi keselesaan dan kesinambungan yang lebih bersepadu kepada masyarakat, projek-projek Infra Rakyat se­perti My Rapid Transit (MRT), Lebuhraya Pan Borneo, High Speed Rail, LRT Extension, Landasan Kereta Api Pantai Timur atau ECRL, turut sedang rancak dilaksanakan. Malah, ketika di awal Ramadan ini, kerajaan te­lah membayar peringkat kedua BR1M, yang memanfaatkan tujuh juta penerima pada tahun 2017.

Selain itu, kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam pula, saya juga telah mengumumkan bantuan khas Aidilfitri RM500 dan RM250 untuk pesara kerajaan.

Begitu juga kepada para pene­roka Felda yang turut menerima bantuan Lebaran sebanyak RM500 dan RM280 dividen daripada FGV.

Mudah-mudahan dengan se­ga­la bantuan ini, sedikit-seba­nyak, dapat meringankan beban dan menambahkan keceriaan semua, untuk menyambut ketibaan Syawal.

l Kelima: Masa depan dan TN50. Menjengah masa depan, dunia kontemporari kini berada di ambang Revolusi Industri Keempat.

Seiring itu, demi mewajah masa depan negara menuju TN50, saya mahu melihat akan lahirnya generasi Khayra Ummah yang cemerlang lagi berwibawa, kukuh jati diri individu, jati diri bangsa dan jati diri negara, selaras dengan gerakan Ekspresi Negaraku Malaysia.

Sekali gus mendoakan, agar kita sama-sama akan berjaya menjulang Malaysia yang makmur, pada kedudukan 20 negara termaju di dunia kelak. Insya-Allah.

Bersempena hari mulia di Aidilfitri yang saadah lagi penuh kegembiraan ini, eratkan perpaduan dan perkukuhkanlah ukhuwah serta persaudaraan sesama kita, ketepikan segala perbezaan, nikmatilah keharmonian sedia ada di bawah lembayung silaturahim 1Malaysia.

Semestinya, kegirangan ini terbukti, apabila The World Happiness Report 2017 telah mengiktiraf Malaysia sebagai, negara kedua memiliki penduduk paling gembira di Asia dan ke-42 daripada 155 buah negara di dunia.

Jadinya di hari kebesaran ini, ziarahilah ayah dan ibu, yang mungkin sudah lama menahan rindu, menanti kepulangan anak-anak di perantauan.

Kunjungilah sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga, jemputlah pula rakan taulan berbilang bangsa, berkunjung ke kediaman untuk menjamu selera serta saling maaf-bermaafan sesama kita.

Bagi mereka yang berkende­raan dan memandu pulang ke kampung halaman masing-ma­sing, berhati-hati di jalan raya, pandulah dengan cermat dan berhemah, semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Akhir kalam, saya dengan tawaduk dan penuh budi di hati, menyusun sepuluh jari, memohon ampun bagi pihak diri, isteri serta seisi keluarga tercinta, jika ada sebarang kesalahan, janganlah disimpan-simpan, bak kata pan­tun Melayu lama;

Kalau ada jarum yang patah,

Jangan disimpan di dalam peti,

Jika ada khilaf dan salah,

Bersamalah kita saling memaafi.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd. Wabillahi Taufik Walhidayah Was­­­salamualaikum WBT.