Sikap reaktif ini lebih cenderung kepada negatif; orang buat kita sikit sahaja pun kita sudah berkecil hati atau marah, malah mungkin kita akan membalas dengan tindakan yang sama atau lebih teruk lagi daripada yang kita rasa atau kena.

Proaktif bermaksud merangka melakukan sesuatu tindakan (setelah difikirkan masak-masak) jauh lebih awal daripada berlakunya sesuatu perkara yang sememangnya memerlukan tindakan berkenaan (tindakan tidak dilakukan hanya setelah sesuatu hal itu berlaku. Iaitu melibatkan proses programming pemikiran (berfikir dan bertindak secara positif bagi mengelakkan sesuatu perkara buruk berlaku).

Responsif pula bermaksud segera dan mudah memberi kerjasama atau reaksi yang bersifat membantu terhadap sesuatu. Ini juga sifat-sifat orang yang positif. Orang yang responsif, walau macam mana sekalipun orang lakukan kepadanya, dia tidak terjejas dari segi hati dan perasaan, pemikiran serta dapat mengawal tindakan fizikal.

Orang yang responsif tidak bertindak negatif, sebaliknya berfikir positif dan sentiasa bersangka baik terhadap apa yang orang kata atau lakukan kepadanya itu. Sehingga mereka akan menerima setiap kejadian buruk yang berlaku ke atasnya dengan berlapang dada dan menganggap mungkin balasan atau respons daripada Allah kepada kita yang pernah berbuat sesuatu yang buruk kepada orang lain.

Contohnya kita dijemput dalam satu majlis perkahwinan; apakah kesannya kalau kita datang, dan apakah kesannya kalau kita tidak datang ke majlis tersebut?

Biasanya ada dua jenis respons daripada orang yang terlibat dalam kes tersebut. Orang yang pertama, dia jenis yang akan lekas berasa kecil hati dan bersangka buruk. Dia menganggap dia telah dilupakan, padahal orang yang menjemput itu, anaknya sudah empat orang yang berkahwin, semua jemputan itu dipenuhi oleh orang yang diundang, kecuali jemputan yang satu ini.

Tetapi, cuma kerana terlepas satu jemputan ini, kita sudah berkecil hati. Dalam hal ini, orang jenis ini, dia tidak lihat apa orang telah lakukan kepadanya selama ini, tetapi dia hanya lihat apa orang tidak buat terhadap dirinya.

Dia juga tidak lihat apa dia tidak lakukan, tetapi dia hanya lihat apa dia telah lakukan untuk orang itu. Orang macam ini senang berkecil hati, tersinggung dan merajuk dengan orang di sekelilingnya. Sikap negatif ini melemahkan tenaga, emosi dan semangatnya untuk hidup bahagia dalam masyarakat.

Jenis orang yang kedua, ialah kita tidak mudah terasa dan berprasangka. Kalau kita seorang yang berjiwa besar, kita tidak mudah berkecil hati, sebaliknya kita bersangka baik mungkin orang yang dijemput itu berhalangan dan bukan disengajakan atas alasan tertentu.

Kerana matlamat hidup kita untuk mencari reda Allah dan menjaga silaturahim. Oleh sebab itu, jom audit diri kita. Kita berada dalam golongan orang bersikap apa, reaktif, proaktif atau responsif? Perbaiki diri agar menjadi orang yang berjiwa besar.

Hari-hari fikirkan apa yang boleh diberikan kepada orang di sekeliling kita, bukan apa akan diperoleh daripada mereka. Masyarakat tentu akan dapat menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu permata.

Ingat, gunakan formula, “ADA – BERI – DAPAT”. Orang yang dalam dirinya “ada” kebaikan akan mampu “memberi” kebaikan kepada orang lain, dan kerana kebaikannya dia akan “dapat” balasan kebaikan daripada orang di sekelilingnya. Kita sukar untuk mengubah sikap orang, tetapi kita boleh mengubah sikap sendiri. Apabila kita berubah orang di sekeliling juga turut berubah.

Hikmah

Perkataan gagal, kecewa, kesal, hampa, berkecil hati, merajuk dan marah tidak boleh ada dalam emosi kita. Orang yang tenang, emosinya penuh dengan kesyukuran, kasih sayang dan murah hati. Kita rasa kita hendak sangat sesuatu yang kita hajati itu, tetapi Allah kata perkara yang kita harapkan sangat itu tidak baik untuk kita, maka Allah tidak sampaikan hajat kita. Ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian itu.

Orang yang berada dalam kelompok “sebelah kanan” atau “orang yang jernih”, akan boleh melihat hikmah dalam apa-apa jua suasana, dan menunjukkan mereka memiliki akidah yang sangat kuat. Setiap hari kalau kita bersyukur, tengok fikiran, tabiat kita dan berniat untuk membuat satu tindakan baharu yang positif, pasti akan mengubah diri dan hidup kita.

Apabila kita sibuk bersyukur dengan apa yang dimiliki hasil kurniaan Allah berbanding dengan orang lain yang tidak miliki apa kita ada, akan menghilangkan rasa kecewa. Ubahlah sikap kita dengan sentiasa bersyukur dan reda dengan segala ketentuan Ilahi.

Semua kehidupan negatif kita berpunca dari hati, hatilah raja, dan jangan jadikan nafsu raja kita. Orang yang payah maafkan orang, mudah marah, mudah merajuk dan berkecil hati bermakna, “nafsu” menjadi rajanya. Ingat, makanan hati yang baik ialah ilmu, bukan berita.

Makanan nafsu ialah berita. Sesiapa yang suka mendengar berita yang tidak elok tentang orang dan suka mengumpat, buanglah jauh-jauh sifat itu. Kita hendak memaafkan orang dengan hati. Kita mesti ingat sifat Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang serta Maha Pengampun.

Kita mesti tamak dua perkara. Pertama, tamak akan keampunan Allah. Kedua, tamak akan ilmu. Kalau kita hendak Allah mengampunkan kita, mengapakah kita tidak boleh memaafkan hamba Allah dan makhluk Allah yang sama tarafnya dengan kita? Analoginya begini, apabila kita dipatuk ular, kita mati bukan kerana patukan ular tetapi sebab racun ular yang menjalar ke seluruh tubuh kita.

Orang yang berbuat salah (yang membuatkan kita marah, hampa, kecewa, merajuk dan berkecil hati) itu umpama patukan ular, patukannya hanya sekali, demikian jugalah orang yang berbuat salah dengan kita, dia menyakitkan hati kita hanya sekali. Tetapi racun ular itu meresap ke seluruh tubuh kita dan jika dibiarkan kita akan mati.

Begitu jugalah kita, adakah kita akan membiarkan emosi marah kita dan seumpamanya, yang analogi seperti racun ular itu, terpendam dalam hati sekian lama hingga membinasakan kehidupan kita?

Ingatlah bahawa apa-apa yang berlaku terhadap kita, kita tidak boleh kawal, tetapi kita boleh kawal respons atau tindak balas terhadap sesuatu perkara yang berlaku.

Cuba ampunkan semua orang dan fokuskan kepada kebaikan orang sahaja. Kita buat senaman jiwa, senaman minda, senaman keimanan. Hal ini bermaksud, jika orang berbuat jahat kepada kita, kita biarkan sahaja, cuba bersabar dan reda, serta kesian akan dia kerana berperangai jahat.

Orang yang paling tidak bijak ialah orang yang berbuat jahat. Sebab tidak ada kejahatan yang kita buat, tidak berbalik semula kepada kita, sama ada di dunia atau di akhirat kita akan dapat balasannya.

Kalau tidak kena kepada kita, mungkin akan kena kepada anak cucu dan keturunan kita, akibat kejahatan kita itu. Kalau kita ingat balasan dan pusingan kehidupan itu, kita tentu akan menjadi seorang yang penyabar. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.