Sejak awal penubuhan lagi, PPBM tidak mempunyai hala tuju. Ia adalah parti serpihan UMNO yang ditubuhkan akibat dendam politik bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sekian lama menjadi ‘duri dalam daging’ kepada UMNO.

PPBM bukanlah ditubuhkan atas dasar perjuangan suci untuk bangsa, agama dan negara. Ia diwujudkan mata-mata kerana dendam politik yang disirami api kebencian kepada pemimpin-pemimpin UMNO khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dari semasa ke semasa, perjuangan PPBM semakin bercelaru manakala organisasinya semakin berkecamuk sehingga penggunaan Armada yang merujuk kepada ­Angkatan Bersatu Anak Muda juga diisytiharkan tidak mengikut Perlembagaan parti itu oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sebelum itu, sebanyak lapan bahagian parti tersebut mendakwa pucuk pimpinan gagal mengadakan mesyuarat agung peringkat bahagian dan cawangan sehingga menyebabkan ahli-ahli tidak mengetahui status kesahihan penjawat jawatan dan kedudukan parti sehingga kini.

Apa yang berlaku membuktikan inilah akibatnya apabila pemimpin-pemimpin utamanya lebih banyak mahu berpolitik sehingga terlupa menjaga hal ehwal parti sendiri. Ia ibarat bak kata orang dok menyibuk urusan orang lain, rumah tangga sendiri kacau-bilau.

Begitulah juga PPBM, pemim­pin-pemimpin parti itu khususnya 3M iaitu Dr. Mahathir, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir lebih banyak menghabiskan masa untuk mengkritik dan melemparkan tohmahan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sehingga terlupa parti mereka sendiri bagaikan kapal yang hampir tenggelam.

Tetapi ketiga-tiga pemimpin tersebut masih berada dalam sindrom ‘syok sendiri’, maklumkan kehadiran mereka disambut gembira oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan khususnya DAP yang amat memahami bahawa ia peluang terbaik untuk memperalatkan pengaruh pemimpin-pemimpin PPBM bagi meraih sokongan orang Melayu.

Namun begitu, pendekatan politik pemimpin-pemimpin PPBM tidak menguntungkan parti tersebut. Mereka terlalu sibuk dengan urusan mahu menyerang kerajaan sehinggakan pemimpin dan ahli-ahlinya berasa muak dan melihat pengorbanan mereka selama ini meninggalkan UMNO untuk bersama pemimpin 3M hanyalah sia-sia.

Oleh itu mereka membuat keputusan meninggalkan PPBM kerana merasakan tiada gunanya menghabiskan masa untuk sebuah parti yang dianggap ‘indah khabar dari rupa’. Dari segi pencapaian tiada apa yang membanggakan apabila orang bercakap soal PPBM selain ‘kejayaan terbesar’ memecahbelahkan lagi orang Melayu dan sekali gus akan memungkinkan kuasa politik Melayu menjadi lemah.

Namun itu tidak menjadi perhitungan Dr. Mahathir yang konon­nya bergelar negarawan tetapi dilihat semakin tidak keruan dalam tindak-tanduk politiknya. Beliau lebih selesa dengan politik menye­rang kepemimpinan negara, seolah-olah PPBM tidak mempunyai apa-apa masalah dalaman.

Apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan BN semuanya tidak betul dan diperlekehkan sedangkan PPBM sendiri tidak mempunyai visi yang jelas. Lebih buruk lagi, pemimpin-pemimpin PPBM lebih selesa untuk menuduh mereka yang meninggalkan parti itu menerima ‘dedak’. Sedangkan kalau dikaji alasan mereka bertindak demikian segalanya di­sebabkan mereka semakin sedar bahawa PPBM tidak ada matlamat perjuangan dan penubuhannya semata-mata mahu memuaskan nafsu politik Dr. Mahathir sahaja.

Walaupun hanya menjadi Pen­ge­rusi tetapi Dr. Mahathir menguasai segala-galanya dalam menentukan corak politik dan hala tuju PPBM. Muhyiddin pula hanya mengikut sahaja, begitu juga Mukhriz. Mereka tidak ada kuasa apa-apa biarpun memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Keadaan itulah memungkinkan PPBM yang menggunakan lambang Bunga semakin layu akibat krisis dalaman. Tetapi Dr. Mahathir peduli apa! Apa yang penting bagi beliau ialah kehadirannya diterima oleh parti-parti pembangkang lain khususnya DAP.

Atas sebab itulah PPBM mem­biarkan sahaja apa juga mahu dila­kukan oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan kerana kalaupun bersuara tiada siapa di dalam pakatan itu akan mempedulikannya. Ini memandangkan PPBM yang terhegeh-hegeh mahu mengadakan kerjasama dengan pakatan.

Seperkara lagi yang turut menjadi persoalan kepada pemimpin dan ahli-ahli PPBM di peringkat akar umbi ialah apakah kedudukan parti itu dalam pilihan raya umum akan datang. Setakat ini belum ada kata putus kerusi mana yang mahu ditan­dingi parti tersebut. Hakikatnya, PPBM perlu ‘mengemis’ daripada sekutunya dalam Pakatan Harapan untuk mendapatkan kerusi.

DAP sudah pasti tidak akan memberi peluang kepada PPBM untuk dominan kerana dalam kalangan ahli-ahli DAP sendiri pun mereka tidak begitu selesa dengan Dr. Mahathir. Sebab itulah ada antara mereka meninggalkan parti tersebut kerana tidak dapat menerima kehadiran bekas Perdana Menteri itu dalam barisan pembangkang. PKR pula tidak akan mengorbankan kerusinya untuk diserahkan kepada PPBM.

Semua keadaan itu memungkinkan kedudukan dan hala tuju PPBM semakin bercelaru serta tidak menentu. Segala-galanya disebabkan parti tersebut sepanjang masa sejak penubuhannya hanya melayani nafsu politik Dr. Mahathir.

Oleh itu daripada Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin kanan PPBM asyik mahu mencari salah kerajaan BN adalah lebih baik ­betulkan dulu keadaan dalaman parti itu. Kalau parti sendiripun kelam kabut macam mana mahu memerintah negara, kalau sekadar menjadi ‘pak turut’ bolehlah!