Lebih mengejutkan, ada di antara ibu terbabit terdiri dalam kalangan berpendidikan tinggi, namun merasakan mereka lebih arif dan bijak berhubung dunia perubatan setelah menelaah maklumat daripada internet dan media sosial.

Menurut Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Nur Azura Abd. Ghani (gambar) beliau pernah didatangi pasangan yang sudah mempunyai rancangan dan pelan melahirkan anak sepenuhnya dengan menggunakan khidmat doula.

“Saya sendiri tidak pasti daripada mana mereka mendapat idea sedemikian, seperti tidak mahu sebarang campur tangan jururawat dan doktor ketika proses bersalin kecuali jika berlaku komplikasi.

“Sikap pesakit yang seolah-olah lebih ‘pandai’ ini ibarat khidmat pegawai perubatan tidak efisien dan lebih berisiko,” katanya.

Sambil memberi contoh, Nur Azura memaklumkan, ada wanita yang sudah melahirkan anak secara pembedahan (caesar) sebanyak dua kali tidak dibenarkan untuk bersalin secara normal buat kali ketiga kerana rahim berisiko untuk pecah yang boleh membawa maut.

“Apabila tidak lagi berpeluang melahirkan anak secara normal lalu timbul rasa tidak puas hati, ambil keputusan lahir anak cara sendiri. Ini amat berbahaya,” tegasnya.