'Pertempuran' kali ini dikatakan jauh lebih mencabar memandangkan UMNO akan turut ditentang parti serpihannya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Ia ditubuhkan oleh seorang pemimpin yang pernah diberi nikmat oleh UMNO menjadi Presiden parti itu dan Perdana Menteri selama 22 tahun.

Kini tokoh berkenaan memimpin PPBM mewujudkan kerjasama dengan 'musuh-musuh politiknya’ sebelum ini iaitu PKR dan DAP. Mereka bergabung dalam Pakatan Harapan yang turut disertai PAN – parti serpihan Pas.

Antara PPBM dan PAN tiada bezanya. Kedua-duanya ditubuhkan selepas usaha menyingkirkan pucuk pimpinan parti asal mereka tidak berjaya. Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan PPBM kerana gagal menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala Mohamad Sabu mewujudkan PAN selepas tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Pas.

Pada masa ini kerjasama dalam Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP masih kabur. Walaupun nampak mereka bersatu tetapi hakikatnya mereka berpecah belah kerana masing-masing mempunyai agenda politik sendiri.

Bagaimanapun ia bukanlah khabar gembira untuk UMNO dan BN. Atas sebab itulah pemimpin dan ahli UMNO yang mengadakan mesyuarat bahagian perlu mendengar nasihat Najib supaya mempersiapkan jentera pilihan raya dan merancang strategi bagi menghadapi PRU-14.

Hakikatnya, dari segi rekod, UMNO jauh lebih baik daripada semua parti pembangkang yang ada di negara ini. Malah jasa dan rekod UMNO dalam membangunkan negara serta mensejahterakan rakyat tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Tetapi kenapakah dari semasa ke semasa, masih ada kebimbangan sejauh manakah keupayaan UMNO untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang.

Berdasarkan pemerhatian, penulis yakin UMNO masih mendapat tempat di hati rakyat khususnya orang Melayu. Mereka percaya UMNO masih boleh disandarkan harapan untuk terus menerajui negara dan memperjuangkan nasib bangsa.

Tetapi pemimpin-pemimpin UMNO khususnya di peringkat bahagian serta wakil rakyat parti itu tidak kira di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu memperbaiki kelemahan. Ia bukannya berkaitan dengan soal jentera pilihan raya semata-mata tetapi lebih penting sikap dan pendekatan bagi memenangi hati rakyat.

Sama ada mahu diakui atau tidak, salah satu sikap buruk yang ada kepada sesetengah pemimpin di peringkat bahagian ialah tidak mahu melepaskan jawatan atau memberi laluan kepada calon lebih berpotensi untuk mewakili parti dalam pilihan raya.

Ada ketua bahagian yang kalau boleh mahu memegang jawatan tersebut sampai mati dan paling buruk perangai, bila tidak dipilih sebagai calon, mulalah mahu melakukan 'kerja-kerja kotor’ untuk memastikan calon dipilih oleh pucuk pimpinan parti kalah.

Pemimpin seumpama ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah boleh dianggap pengkhianat kerana sanggup mengorbankan parti demi kepentingan peribadi.

Begitu juga dengan sesetengah ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO. Ada antara mereka sudah sampai masanya untuk bersara dan memberi laluan kepada calon lebih muda untuk bertanding. Penulis tidak menafikan ada antara mereka banyak berjasa kepada parti dan kerajaan, tetapi senario politik sudah berubah.


Menyekat

Dalam kalangan mereka, dilihat sudah tidak lagi relevan untuk bertanding dalam pilihan raya. Oleh itu pucuk pimpinan perlu bertegas dalam berhadapan dengan situasi ketua bahagian yang merasakan dia sahaja paling layak dan wakil rakyat yang mahu 'menongkat langit’.

Ia memandangkan PRU-14 adalah perhitungan yang amat getir kepada UMNO dan BN. Calon yang dipilih mestilah diterima oleh rakyat. Hakikatnya, UMNO mempunyai ramai calon-calon muda yang layak bertanding pilihan raya.

Jika parti-parti komponen lain sudah bersedia untuk membariskan antara 40 peratus hingga 50 peratus calon muda kenapakah UMNO tidak boleh melakukan tindakan sama?

Tetapi calon muda itu mestilah memenuhi kriteria paling penting iaitu disukai oleh rakyat. Penulis diberitahu ramai pemimpin muda di sesetengah bahagian tidak dapat berfungsi dengan baik biarpun mereka disukai rakyat. Segalanya berlaku kerana ada ketua bahagian yang menyekat peruntukan kepada mereka.

Tindakan itu sebenarnya boleh mengundang bencana kepada parti memandangkan ketua bahagian terlibat mahu menjaga kedudukan politiknya bukan mahu memastikan kemenangan parti. Kriteria seorang calon mestilah paling disukai pengundi di sesuatu kawasan seperti mana ditegaskan oleh Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamid adalah 'senjata’ terbaik bagi menghapuskan perangai buruk sesetengah ketua bahagian atau mereka yang mempunyai jawatan di peringkat bahagian.

Begitu juga dengan wakil rakyat UMNO yang tidak pandai-pandai untuk bermuhasabah bagi menilai adakah dia masih relevan untuk bertanding atau tidak.

Selain itu, satu lagi sikap yang perlu ada kepada pemimpin dan ahli UMNO ialah keberanian mempertahankan kepemimpinan parti dalam berhadapan serangan daripada parti-parti pembangkang. Sikap ini penting dalam usaha UMNO menyakinkan rakyat untuk terus menyokong parti itu.

Kalaulah dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO sendiri teragak-agak untuk menjadi barisan paling hadapan mempertahankan kepemimpinan parti, siapa lagi yang mahu melakukannya?

Sebab itulah istilah 'anak jantan’ yang ditegaskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Bagan Datuk baru-baru ini , bukan sahaja sesuai untuk Pergerakan Pemuda UMNO tetapi juga semua pemimpin dan ahli parti tersebut.

Dakyah dan pembohongan Pakatan Harapan perlu ditangkis. Rakyat perlu diberi penjelasan berhubung sesuatu isu dengan pembentangan fakta sebenar. Kalau semangat 'anak jantan’ tidak ada dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO, ia akan memungkinkan rakyat terpengaruh dengan tohmahan dan fitnah pembangkang terhadap kepemimpinan parti dan negara.

Kesimpulannya, mesyuarat bahagian yang sedang berlangsung amat penting bagi mewujudkan kesedaran supaya pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi bukan sahaja membuat persediaan tetapi lebih penting bersedia membuang segala perangai buruk jika benar mereka mahu melihat UMNO terus berkuasa di negara ini.