Di pusat bandar yang memiliki kepadatan penduduk seramai 37 juta orang ini, iaitu melebihi keseluruhan rakyat Malaysia, dikatakan hanya dua premis menyediakan makanan halal.

Itu pun sijil halal berkenaan bukanlah diiktiraf oleh mana-mana pihak berwajib sebaliknya mereka mengisytiharkannya sen­diri disebabkan pemiliknya beragama Islam.

Justeru boleh dibayangkan be­tapa sukarnya pelancong muslim yang akan ke negara itu. Apatah lagi apabila Tokyo bakal menjadi tuan rumah temasya Sukan Olim­pik pada 2020.

Maka sebab itu, persoalan di mana dan apa yang atlet, pegawai dan pelancong muslim akan makan pada masa tersebut kini menjadi topik hangat yang sedang dibangkitkan negara berkenaan ketika ini.

Dianggarkan 30 peratus daripada mereka terlibat semasa sukan itu nanti adalah orang Islam. Ini bukanlah satu jumlah yang kecil dan boleh dipandang ringan.

Namun begitu tidak boleh disa­lahkan negara itu lantaran penduduk beragama Islamnya hanyalah minoriti sehingga menyebabkan pengetahuan mereka tentang makanan halal begitu rendah.

Dalam hal ini, Malaysia menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berpengalaman luas dalam isu pensijilan halal telah tampil menawarkan bantuan dan lebih menarik apabila disambut baik oleh Jepun.

Apatah lagi tuntutan terhadap makanan halal menjadi semakin penting dan diberi perhatian oleh negara itu yang kini pada masa sama turut menerima jumlah pelancong Islam yang semakin meningkat.

Bukanlah tiada negara-negara lain yang ‘melobi’ untuk menawarkan perkhidmatan serupa seperti Brunei, Indonesia, Thailand dan Bangladesh tetapi Malaysia juga yang menjadi pilihan.

Terdapat beberapa faktor menyebabkan Jakim dipilih sebagai sebuah badan untuk menawarkan perkhidmatan itu. Antaranya disebabkan pensijilan halal kita diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan Malaysia.

Berbanding di negara-negara lain, pensijilan halal di bawah kuasa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ini sudah tentu menimbulkan kesukaran untuk mereka membuat audit dan penguatkuasaan.

Selain itu, Jakim lebih diyakini dalam isu-isu yang menimbulkan kekeliruan dalam agama dan pemahaman kita tentang sesuatu perkara tersebut lebih diterima.

Ini dibuktikan menerusi pene­rimaan sebanyak 41 buah negara terhadap sijil halal dikeluarkan agensi tersebut.

Sebagai contoh, jika Jakim menarik balik sijil halal dikeluarkan terhadap sesuatu produk di sebuah negara, ia bukan sahaja akan memberi kesan terhadap pasaran tempatannya, malah juga negara yang mengimportnya.

Begitu kepercayaan yang dile­takkan negara-negara Islam terhadap Jakim.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee pula ketika ditemui penulis semasa lawatan kerja ke Jepun baru-baru ini untuk menawarkan khidmat pensijilan halal, menyifatkan tidak sukar untuk para usahawan Malaysia menembusi pasaran halal di negara itu.

Kata beliau, ini berikutan Jepun memenuhi hampir kese­mua syarat piawaian halal ditetapkan iaitu daripada sudut keselamatan makanan, kebersih­an dan kualitinya.

“Untuk mendapatkan pengesahan halal sememangnya ketat tetapi itu tidak bermakna bahawa bukan muslim tidak boleh mendapat pengiktirafan (halal).

“Malah Jepun memenuhi hampir kesemua syarat toyyiban me­lainkan hanya ‘halalan’ sahaja iaitu bahagian agama (syarak),” katanya.

Tambah beliau, selain itu, di Jepun juga tiada masalah persepsi keterlaluan terhadap orang Islam dan produk halal seperti mana di negara-negara tertentu yang sengaja mengaitkan halal dengan ancaman militan Daesh.