Sepatutnya dengan tanggapan sedemikian, setiap wakil rakyat khususnya yang berjawatan Exco mengambil peluang membangkitkan isu dan permasalahan rakyat yang banyak tergendala serta tertangguh sebelum ini.

Malangnya, perkara itu tidak berlaku kerana pada kebanyak­an masa, wakil-wakil rakyat bertaraf Exco ini tidak berada di dewan sehingga ditegur oleh Yang Dipertua Dewan.

Secara tidak langsung, ini memperlihatkan sikap wakil rakyat Kerajaan DAP Pulau Pinang yang seolah-olah memandang mudah peranan dan tanggungjawab mereka ketika mewakili rakyat di DUN.

Lebih daripada itu, sidang kali ini juga memperlihatkan dengan jelas sikap dwistandard wakil rakyat Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam tindak-tanduk dan pendirian mereka.

Dalam isu rasuah misalnya, beberapa wakil rakyat kerajaan negeri antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Su­ngai Puyu, Phee Boon Poh beberapa kali bangkit mendakwa ko­nonnya Barisan Nasional (BN) tidak mahu menolak rasuah.

Tetapi malangnya wakil rakyat kerajaan negeri seolah-olah memejam mata kepada pertuduhan rasuah yang sedang dihadapi ketuanya sendiri iaitu Lim Guan Eng.

Sepatutnya jika benar wakil rakyat Kerajaan DAP Pulau Pinang menentang rasuah, mereka awal-awal lagi mengambil pendirian bersetuju dengan usul yang dibawa wakil rakyat BN supaya Guan Eng bercuti sehingga kesnya di mahkamah selesai.

Isu ini sebenarnya lebih kritikal dan sangat dekat dengan penduduk negeri ini yang ketika ini hilang kepercayaan terhadap integriti kerajaan negeri kerana diketuai pemimpin yang sedang berdepan tuduhan rasuah.

Tetapi usul itu ditolak mentah-mentah sebaliknya wakil rakyat pembangkang lebih rela membahaskan usul mengecam Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya bersabit isu perkahwinan perogol dengan mangsa yang jelas di­salah tafsir menjadi modal politik pembangkang.

Ini adalah antara perkara yang membuatkan sidang DUN kali ini seolah-olah tidak membawa erti kerana tumpuan wakil rakyat kerajaan negeri hanyalah untuk menye­rang dan memburuk-burukkan Kerajaan Pusat.

Sekiranya penduduk negeri ini berpeluang mengikuti dengan rapat sidang DUN kali ini, pastinya mereka sangat kecewa kerana banyak masalah mereka langsung tidak mendapat perhatian kerajaan negeri.

Masalah banjir misalnya yang semakin serius setiap kali hujan lebat ketika ini tetap diletakkan di bahu Kerajaan Pusat kerana kononnya lambat menyalurkan bantuan.

Sedangkan krisis banjir kilat itu semakin memburuk selepas sembilan tahun DAP mengambil alih pentadbiran nege­ri ini dan sepatutnya merekalah yang perlu memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah tersebut.

Begitu juga dengan isu kekurangan rumah mampu milik yang sedang dihadapi majoriti penduduk negeri ini yang ke­salahannya diletakkan kepada Bank Negara kerana kononnya terlalu ketat syarat kelulusan pinjamannya.

Tetapi isu pokok dalam masalah rumah mampu milik ini adalah berapa banyak yang sudah dibina Kerajaan DAP Pulau Pinang? Jika ada, adakah pembinaannya dapat menampung permintaan penduduk negeri ini yang benar-benar memerlukan?

Daripada apa yang dapat diperhatikan, kebanyakan projek perumahan yang diluluskan ketika ini membabitkan rumah mewah yang harganya di luar kemampuan majoriti penduduk.

Usaha agensi Kerajaan Pusat membina rumah-rumah rakyat ini meskipun sudah mempunyai modal dan tempat juga dilengah-lengahkan kelulusannya oleh kerajaan negeri dengan pelbagai alasan. Jadi di mana kesungguhan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menyelesaikan masalah rakyat ini?

Sebab itu belum terlambat untuk penduduk negeri ini menilai semula keikhlasan wakil rakyat Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam benar-benar membela nasib mereka.

Jika majoriti mereka dari awal-awal lagi sudah membayangkan sidang DUN minggu lalu adalah yang terakhir sebelum PRU-14, maka penduduk negeri ini perlu memastikan ia benar-benar menjadi yang terakhir bagi wakil rakyat yang tidak sedar diri bukan hanya sebagai ADUN, tetapi juga sebagai kerajaan negeri.