Pelbagai isu akan dibincangkan, dibangkitkan dan diputuskan demi kepentingan rakyat tetapi apa yang berlaku di Selangor baru-baru ini amat mengecewakan. Kerajaan negeri memutuskan untuk mengadakan sidang DUN hanya dua hari walaupun sepatutnya bersidang selama 10 hari.

Akibat tindakan itu, ia menyebabkan daripada 297 soalan hanya 36 soalan yang sempat dijawab dalam sidang tersebut. Adalah sesuatu yang pelik apabila sidang yang dianggap amat pen­ting itu seolah-olah tidak menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Pas.

Sebelum ini rakan-ra­kan mereka di negeri lain akan mengkritik dan mengecam kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila sesuatu sidang DUN diadakan dalam tempoh singkat. Mereka menuduh BN tidak telus, takut untuk menjawab soalan dan tidak memperjuangkan nasib rakyat.

Tetapi sekarang, me­reka sendiri me­lakukannya walaupun menyedari banyak isu yang harus diselesaikan ketika sidang DUN diadakan. Keadaan itu membuktikan kerajaan negeri Selangor melihat sidang DUN suatu ancaman kepada mereka. Ini kerana di situ segala kepincangan mereka boleh terdedah dan didedahkan. PKR, DAP dan Pas amat memahami bahawa BN mempunyai banyak bukti yang menunjukkan pentadbiran kerajaan negeri ‘cakap tak serupa bikin’.

Dari semasa ke semasa, semakin banyak kelemahan dipaparkan dan semakin banyak kepincangan serta penyelewengan berkaitan kerajaan negeri didedahkan di media-media. Oleh itu cara terbaik bagi mengelakkan rakyat mengetahuinya, maka mereka memendekkan sidang DUN.

Inilah retorik politik terbesar kerajaan negeri Se­langor. Mereka mendabik dada memperjuangkan nasib rakyat tetapi apabila merasakan ada soalan-soalan berkaitan rakyat yang boleh mendedahkan kelemahan pentadbiran mereka di DUN, mereka cuba mengelak.

Penulis percaya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semakin panas dengan pelbagai isu yang kini melumuri pentadbiran kerajaan ne­geri. Walaupun di permukaan nampak cantik tetapi di bawah arus semakin deras yang boleh menampakkan ‘wajah sebenar’ kepemimpinannya.

Bagi penulis, tindakan memendekkan tempoh sidang DUN adalah satu strategi atau taktik politik yang amat tidak beretika kerana ia menutup peluang kepada wakil-wakil rakyat tidak kira BN mahupun Pakatan Harapan untuk bertanyakan soalan atau mendapat penjelasan berhubung sesuatu isu.

Sebagai sebuah kerajaan negeri yang kononnya bersih, telus dan terbuka serta memperjuangkan nasib rakyat, Mohamed Azmin seharusnya bersedia menjawab apa juga soalan atau isu di sidang DUN. Mungkin alasan diberikan ialah ramai ADUN termasuk Mohamed Azmin dan ADUN Kajang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terlibat dengan sidang Parlimen. Tetapi apakah ini bermaksud mereka lebih mengutamakan sidang Dewan Rakyat memandangkan ia boleh dijadikan platform untuk menyerang kerajaan BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding menyelesaikan isu demi kesejahteraan rakyat Selangor?

Penulis sebagai anak jati Selangor berasa sedih dan kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang mempolitikkan sidang DUN. Ini kerana penulis memahami sidang DUN amat penting dalam usaha semua ADUN berpadu tenaga tanpa mengira fahaman politik bagi memakmurkan Selangor dan mensejahterakan rakyat. Tetapi ia tidak termasuk dalam pertimbangan kerajaan negeri kerana mereka lebih khuatir segala kepincangan pentadbiran mereka terdedah. Mereka mengetahui di sidang DUN, segala fakta perlu dibentangkan dan segala isu perlu dijawab.

Oleh itu, cara terbaik adalah memendekkan sidang DUN supaya ADUN-ADUN BN tidak berpeluang membangkitkan isu yang bukannya bertujuan bagi meraih keuntungan politik tetapi demi kepentingan rakyat.

Mungkin bagi mereka, isu yang dibangkitkan oleh ADUN BN di luar dewan tidak begitu berkesan berban­ding di sidang DUN. Inilah strategi politik mereka tetapi malangnya yang akan menjadi mangsa ialah rakyat!

Kalaulah Mohamed Azmin dan barisan Exco serta wa­kil rakyat mereka berani dan sentiasa yakin mereka tidak mempunyai apa-apa kelemahan serta tidak terjadi sebarang kepincangan sepanjang mentadbir kerajaan negeri, maka biarlah DUN bersidang selama 10 hari seperti mana dijadualkan.

Melalui sidang itu juga segala permasalahan rakyat dapat diselesaikan. Namun kerajaan negeri memahami pentadbiran mereka mempunyai masalah banyak masalah dan lebih daripada itu mereka tidaklah ‘sebersih’ atau sehebat mana.

Ini terbukti kerana di sidang DUN, ADUN BN sudah bersedia untuk mendedahkan semua kepincangan yang melibatkan kepentingan rakyat sama ada dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan kesihatan.

Namun hasrat itu tidak tercapai apabila DUN kini menjadi ‘mangsa politik’ mainan kerajaan negeri Se­langor yang kononnya memperjuangkan kesejahteraan rakyat.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.