Sepatutnya dalam menempuh azam Tahun Baharu 2019, ungkapan-ungkapan berbaur provakatif dan sinikal perlu dielakkan.

Dengan kerajaan PH diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri telah menzahirkan kehadiran 2019 akan lebih bermakna untuk mendorong rakyat Malaysia terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih tinggi. Menteri-menteri dalam kerajaan seharusnya bersama-samalah beriltizam untuk berusaha lebih kuat merealisasikan impian Perdana Menteri.

Ini tidak. Masuk sahaja 1 Januari, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah sudah bikin ‘gempak’ mengatakan tempoh Dr. Mahathir menjadi ketua kerajaan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

Sebaliknya kata Ketua Sekretariat PH itu, ia cuma membuat perjanjian dan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diangkat ke jawatan itu selepas Dr. Mahathir.

Si mangkuk tambah?

Kemudian masuk pula ‘si mangkuk tambah’, Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan yang merasakan ‘cadangan supaya Dr. Mahathir mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri untuk tempoh sepenggal (lima tahun) ini adalah wajar’.

Eh! Semua pun kenal siapa Mohamad Ezam kan? Buka google, susur perjalanan politiknya. Bukankah kenyataan-kenyataan ‘mempersoalkan kedudukan orang nombor satu kerajaan’ hanya ‘mencurah minyak dalam api’ yang tidak enak di mata pelabur asing?

Dan baru sahaja Ahad lepas Dr. Mahathir menyatakan beliau tidak akan melanggar janji biarpun ramai perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bangun berdiri menyatakan sokongan kepadanya ketika perwakilan mencadangkan supaya beliau terus kekal Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Kalau diikutkan, beliau tidak akan melanggar janji untuk memegang jawatan itu selama dua tahun seperti dipersetujui sebelum ini, tempoh maksimum itu kelak akan jatuh pada 9 Mei 2020. Jadi, tunggu sajalah wahai Saifuddin dan Mohamad Ezam.

Lagipun dah letih benar dengar Dr. Mahathir berjanji pasal penggantinya. Pada 27 September lalu semasa menjawab satu soalan pada Forum Tahunan Kedua Perniagaan Global Bloomberg yang dikendalikan wartawan, Fareed Zakaria di New York pun beliau telah menyebut Anwar akan menjadi Perdana Menteri Malaysia seterusnya.

Tuah

Jadi, kalau Dr. Mahathir pegang pada janji, siapa pula yang akan memungkirinya?

Adakah orang di sekeliling Anwar dalam PKR yang akan menabur duri terhadap laluan Presiden PKR itu untuk melangkah ke Putrajaya?

Apabila Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan beberapa jawatan utama kepemimpinan parti itu menerusi lantikan termasuk melibatkan musuhnya, bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dilantik sebagai Naib Pre­siden, bukankah itu mempersoalkan kuasa Presiden (Anwar)?

Itu belum lagi spekulasi yang dicetuskan warganet terhadap gambar keluarga Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang bercuti di sebuah resort percutian di Marrakesh, Maghribi baru-baru ini - yang menjadi tanda tanya sama ada mereka cuba memberi isyarat mengenai pakatan kerjasama politik pada masa depan.

Cuma, bacaan politik seperti itu begitu mudah. Hanya dilayangkan sekeping gambar percutian, begitu mudahkah ditafsir ‘telah terjadi kemelut dalaman PKR dan berlaku satu pakatan politik’? Apakah semudah itu?

‘Drama’ seperti ini pastinya bijak dianalisis oleh kerajaan PH sendiri. Jangan ada ‘gunting dalam lipatan’ hanya untuk merebut kuasa ketika rakyat mendambakan harapan cukup tinggi kepada kerajaan dalam mengurangkan kemelut kos hidup yang tidak pasti titik noktahnya.

Dalam politik, selain kebolehan, mesti ada nasib dan ‘tuah badan’. Walau macam mana bergeliga sekalipun seseorang itu, tanpa nasib dan alur tangan yang tertentu, seseorang itu sukar menang untuk naik ke atas.

Bagi Dr. Mahathir, tuah atau luck itu sudah mendatang kepadanya susulan tenaga dan kekuatan peribadinya. Orang Melayu menyebut tuah badan ini sebagai bulan jatuh ke riba.

Pujangga Inggeris Shakespeare memanggilnya sebagai greatness being enstrusted upon. Peluang begini sudah tidak ada lagi dalam politik selepas ini.

Dan tiada siapa yang akan ‘kempunan’ jika sabar menunggu sehingga 9 Mei 2020. Bukan begitukah?