Malah, beberapa kenyataan dangkal dikeluarkan oleh beberapa pihak yang kononnya tidak faham kenapa masih perlu berhimpun walaupun kerajaan telah membuat keputusan. Sebenarnya, tidak sukar untuk memahami mengapa situasi ini berlaku. Sepanjang tujuh bulan mengambil alih Putrajaya, entah berapa kali tindakan flip-flop dan pusingan U berlaku mengenai beberapa keputusan dan polisi awam.

 

Sejak 7 Disember lalu lagi, pergerakan rakyat dari seluruh negara mula dapat dilihat. Dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu UMNO dan Pas beberapa kali mengeluarkan arahan kerahan untuk turun padang kepada ahli-ahlinya. Mewakili akar umbi, seluruh jentera di setiap bahagian, cawangan dan kawasan digerakkan dengan pelbagai cara. Malahan, ramai juga yang mengambil inisiatif sendiri untuk memobilisasi massa bagi memastikan jumlah kehadiran mencapai sasaran seperti ditetapkan.

Pergerakan masuk ke Kuala Lumpur berjalan lancar dan media sosial sekali lagi menjadi platform terbaik untuk rujukan warga yang lain bagi mengatur perjalanan masing-masing. Ucapan terima kasih dan penghargaan harus diberikan kepada kerajaan kerana memberi kebenaran untuk berhimpun dan memudahkan pergerakan rakyat menggunakan sistem pengangkutan awam, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).

#DaulatHimpunan812 bukanlah sebuah himpunan sia-sia. Ia telah memberi mesej dan hikmah sangat jelas kepada semua pemimpin dan mereka yang dipimpin.

Pertama

Agenda penyatuan ummah antara UMNO dan Pas sangat diperlukan dan menjadi harapan tinggi umat Islam. Ia jelas menunjukkan bahawa hanya dengan ‘wehdatul fikr’ iaitu kesatuan pemikiran jika diiringi dengan ‘wehdatul amal’, pasti akan membuahkan hasil dan impak cukup tinggi kepada umat islam itu sendiri. Perpecahan yang melanda umat Melayu selama ini terbukti mampu diselesaikan sekiranya kita berbalik semula kepada Islam dan berpegang kepada kalimah tauhid ‘lailahaillallah Muhammad rasulullah’.

Melihat kepada kesatuan dan perpaduan yang ditunjukkan dalam himpunan aman ini, marilah kita sama-sama berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar memakbulkan doa kita semua, insya-Allah.

UMNO dan Pas tidak perlu menangguhkan lagi agenda penyatuan ummah ini. Mereka harus mengambil pendekatan politik yang lebih realis dan pragmatik selagi mana ia tidak bertentangan humum dan syariat Allah SWT. Pas pernah bertahaluf dengan DAP, dan tidak mustahil Pas bertahaluf dengan UMNO kali ini. Malah, sekiranya tahaluf ini tidak berlaku, dan untung nasib orang Melayu Islam serta bumiputera tidak terbela, maka inilah suatu dosa yang sukar dimaafkan oleh kita semua. Kepada siapa lagi kita sandarkan amanah untuk membela dan membantu menegakkan agama Allah ini? Kalau bukan kepada saf kepimpinan yang ada di dalam UMNO dan Pas?

Ayuhlah, #DaulatHimpunan812 telah memberi isyarat penyatuan yang jelas. Sekiranya tahaluf berlaku, sekurang-kurangnya empat negeri lagi akan jatuh ke tangan UMNO dan Pas iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka. UMNO menguasai Perlis dan Pahang, manakala Pas menguasai Kelantan dan Terengganu. Ini bermakna, lapan buah negeri akan dikuasai oleh UMNO dan Pas melalui tahaluf. Seharusnyalah, kehendak umat ini mesti diutamakan mengatasi kepentingan politik masing-masing. Umat Melayu Islam harus kembali kuat, bukan hanya kerana mahukan kuasa semata-mata, tetapi menggunakan kuasa politik untuk membela agama dan untung nasib bangsa!

Kedua,

#DaulatHimpunan812 merupakan perhimpunan yang amat simbolik bagi menunjukkan reaksi yang serius dan kuat bahawa jangan ada mana-mana pihak mahu terus-menerus mempertikai dan menilai semula semua hak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan juga kontrak sosial. Ini jelas dan tidak ada kompromi lagi kepada mereka yang sengaja mahu mencetuskan suasana yang boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara kaum dan keselamatan negara.

‘Aktor-aktor’ politik perlu dibendung dan dihalang bagi menggunakan isu-isu yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum ini bagi meraih dividen politik mereka. Mereka inilah yang menjadi dalang dan batu api yang meniup api perkauman amat berbahaya dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

Pemimpin-pemimpin mestilah lebih berdisiplin dan menggunakan kebijaksanaan dalam tindakan mereka menyuarakan isu-isu yang menyentuh hubungan kaum dan rakyat amnya. Jangan menjadi lebih sudu daripada kuah dan menjadi habuk pasir di dalam mata.

Ketiga,

#DaulatHimpunan812 memberi gambaran jelas bahawa sebilangan besar rakyat merasa resah dan tidak selesa dengan beberapa tindakan kerajaan yang ternyata menyusahkan dan membebankan hidup mereka. Suka atau tidak, rakyat mahukan janji-janji pilihan raya ditunaikan segera bagi meringankan bebanan hidup mereka. Walaupun kerajaan terdahulu telah banyak melakukan program dan pembaikan ekonomi rakyat, janji-janji Pakatan Harapan (PH) ternyata lebih menarik dan lebih manis daripada madu. Janji 100 hari PH ternyata lebih meyakinkan sebilangan rakyat bahawa inilah pakatan yang mampu menyinari hidup mereka yang lebih cerah pada masa depan.

Justeru, ramai juga dalam kalangan mereka yang hadir merupakan mereka yang telah mengundi PH. Tapi mereka turun ke jalan raya kerana harapan mereka hanya tinggal harapan. Keadaan ekonomi tidak diberi tumpuan dan tidak banyak agenda yang mampu merancakkan ekonomi dan penggunaan domestik. Yang ada hanyalah pembongkaran kononnya skandal-skandal dan isu rasuah yang dikatakan banyak berlaku, saya menyokong sebarang usaha untuk membanteras rasuah hingga ke akar umbi. Saya juga menyokong sebarang tindakan untuk meningkat tahap integriti dalam pentadbiran awam di negara ini.

Tetapi rakyat tidak akan peduli itu semua jika perut mereka kosong tidak diisi. Bagi mereka, tiada istilah berbulan madu. Biarlah pihak berkuasa membuat kerja mereka. Orang politik, kamu buatlah kerja kamu. Negara ini perlu ditadbir dan diurus dengan baik. Serlahkan potensi kepimpinan kamu yang telah dilantik dan digaji oleh rakyat untuk membangunkan negara ini, bukan sebaliknya.

Keempat,

#DaulatHimpunan812 membuktikan bahawa sebilangan rakyat cintakan kedamaian dan kasih sayang antara sesama kita. Kebersihan dan adab dijaga dan dipelihara. Malah tidak ada gambar mana-mana pemimpin yang dipijak atau ditampar dengan selipar jepun. Inilah perbezaan yang ketara antara dua peradaban dan pemikiran. Tidak ada cubaan mana-mana pihak melakukan provokasi. Inilah bukti bahawa rakyat Malaysia berbilang kaum menghargai keharmonian dan keamanan yang telah kita kecapi sejak merdeka. Dan ia mesti terus dipelihara bagi menjamin masa depan dan anak cucu kita.

Antara falsafah awal yang saya pelajari dalam mata pelajaran sains politik dahulu ialah apa yang dinyatakan oleh Harold Lasswell bahawa politik ialah ilmu tentang siapa mendapat apa, bila dan bagaimana (who gets what, when and how?). Ini masih lagi relevan dalam ilmu politik moden yang perlu dihayati oleh semua pihak.

Kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam membuat polisi dan dasar awam agar menjamin setiap lapisan masyarakat mendapat layanan yang adil dan saksama, bukannya kesamarataan seperti yang mahu diterapkan oleh segelintir aktor politik. Ia juga mestilah mencakupi keperluan dan kehendak setiap kaum dan konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia. ICERD tidak boleh diterima sama sekali walau apa jua taruhannya. Ia adalah harga mati yang mesti difahami oleh semua pihak. Malaysia harus terus menjadi Malaysia, dan Malaysia tidak perlu campur tangan asing bagi mencorakkan senario politik negara ini. Mereka yang menjadi dalang dan ejen negara asing mesti diambil tindakan kerana boleh mengancam kestabilan dan keselamatan negara.

#DaulatHimpunan812 bukanlah perhimpunan terakhir orang Melayu. Malah ia hanyalah sebuah titik permulaan, pemimpin dan rakyat harus saling berganding bahu dalam memakmurkan negara ini.

DATUK DR. NOOR AZIZAN ABDUL MAJID ialah pemikir dan penganalisis politik.