Kenyataan terbaru beliau meminta rakyat menolak mana-mana parti atau sesiapa sahaja yang sanggup menjadi kha­dam kepada pihak yang mahu meruntuhkan asas Perlembagaan mengundang perasaan tidak senang bagi sesetengah pihak.

Namun apa yang dinyatakan oleh Abdul Hadi adalah benar. Ketika ini terlalu ramai orang khususnya dalam kala­ngan orang Melayu sendiri mahu menjadi ‘khadam politik’.

Mereka berbuat demikian bukan kerana sayangkan bangsa atau negara tetapi mahu menjatuhkan kepemimpinan kerajaan sedia ada yang UMNO menjadi tonggaknya.

Bagi mencapai impian tersebut, maka mereka bersedia berbaik-baik dengan musuh politik mereka. Musuh yang dahulu dianggap buruk dari hujung kepala hingga ke hujung kaki kini dianggap teman terbaik untuk dirangkul bagi melunaskan dendam politik peribadi.

Maka bertepuk gembiralah musuh-musuh tersebut yang selama ini sememangnya amat mengharapkan perpecahan politik dalam kalangan orang Melayu bagi mencapai cita-cita menguasai negara ini. Mereka tidak perlu bersusah payah untuk melemahkan politik orang Islam kerana sudah ada pihak yang bersedia menjadi ‘khadam’ bagi pihak mereka.

Walaupun kononnya dalam kesepakatan itu, tidak ditonjolkan siapa tuan dan siapa pula yang menjadi ‘khadam’, namun semua orang tahu, siapa yang akan untung, siapa pula yang akan menjadi ‘lebai malang’. Tetapi biasalah dalam kalangan orang Melayu, kita masih lagi jahil dalam bab-bab untuk berpolitik secara matang.

Ada antara kita bukannya tidak tahu siapa musuh yang sepatutnya ditentang, tetapi disebabkan sudah dikuasai oleh nafsu politik maka segala-galanya dilupakan. Matlamat untuk menjatuhkan sesama sendiri lebih diutamakan berbanding menjaga kepentingan bangsa dan agama.

Kesudahannya orang Melayu hanya menjadi ‘khadam’ politik kepada pihak-pihak lain dan sekali lagi jangan salahkan pihak tersebut. Mereka hanya mengambil kesempatan atas kejahilan orang kita berpolitik.

Lagipun matlamat mereka hanya mahu memenuhi impian menawan Putrajaya, sekali gus meranapkan kuasa politik Melayu.

Mungkin ada yang berhujah di dalam kesepakatan itu juga ada parti Melayu, tetapi berfikirlah secara jujur apakah benar parti-parti Melayu tersebut boleh menjadi dominan? Oleh itu, janganlah kerana ketaksuban politik menyebabkan kita menjadi ‘buta mata dan buta hati’ untuk menilai akibat yang menanti.

Dalam perbualan penulis dengan beberapa pihak minggu lalu, tidak dapat dinafikan mereka amat bimbang dengan kuasa politik Melayu yang kini bagaikan ‘telur di hujung tanduk’. Puncanya bukan oleh orang lain tetapi disebabkan orang Melayu sendiri.

Apa yang anehnya apabila ada pemimpin seperti Abdul Hadi membuat peringatan, mereka akan melemparkan pelbagai tuduhan termasuklah ‘makan dedak’ dan sebagainya. Mereka bertekad untuk menjadikan PRU-14 sebagai medan untuk menjatuhkan pemimpin yang mereka musuhi, biarpun kesan besar akan dirasai oleh orang Melayu.

Justeru orang Melayu berhati-hati dengan puak-puak yang bersedia menjadi ‘khadam’ politik. Kalaulah menjadi ‘khadam’ demi untuk kesejahteraan rakyat tidak mengapa tetapi masalahnya, mereka menjadi ‘khadam’ yang akan ber­ada dalam kelompok ‘menang sorak kampung tergadai’.

‘Khadam-khadam’ itu bersedia melakukan apa sahaja waima terpaksa menyembah kelompok yang mereka tahu amat licik mainan politiknya untuk melemahkan kuasa politik orang Melayu.

Lagipun ‘khadam-khadam’ berkenaan sudah pun secara terbuka menyatakan kenapa mereka berbuat demikian dan alasan diberikan bukan demi orang Melayu atau kepentingan Islam tetapi semata-mata mahu melunaskan dendam menjatuhkan seorang pemimpin.

Oleh itu, kepada orang Melayu beringatlah, tidak salah untuk marah dan tidak mengapa untuk tidak berpuas hati, tetapi janganlah sampai terikut-ikut dengan pemimpin Melayu yang bersedia menjadi ‘khadam’ politik sehingga sanggup mengamalkan sikap ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’.