Sehingga ruang pojok ini ditulis, filem Hantu Kak Limah (HKL), buah tangan beliau terus mengejar angka kutipan RM30 juta hasil tayangan. Dalam tempoh 15 hari dengar ceritanya mencecah RM27.5 juta.

Nampaknya HKL sudah mengatasi kutipan filem Abang Long Fadil 2 (RM18.15 juta pada 2017) dan Munafik (19 juta, 2016). Wow! Tahniah Mamat.

Tumpang lalu salute pada Mamat kerana daya kreativi­tinya. Kata seorang rakan, HKL ‘meletop’ kerana orang sekarang tak nak fikir yang berat-berat. Apatah lagi dengan suasana tanah air hari ini yang setiap hari masih dengan cerita politiknya. Jadi, masuk panggung, release tension, hadap cerita.

Salah tu dik! Filem pun macam produk-produk biasa juga dalam kehidupan ini. Kalau tidak ada kualiti untuk ‘paksa’ orang gelak pun tak jadi juga kan?

Sempat juga Tumpang lalu menjenguk filem HKL bersama keluarga tempoh hari ini. HKL bagi Tumpang lalu diwarnai keadaan sosial sebenar. Dipersembahkan dengan cara santai, humor dan mudah difahami. Ada unsur-unsur satiranya yang boleh ‘ditangkap’ oleh mereka yang bisa memahami­nya.

Tumpang lalu gemar juga menonton filem di pawagam (lama tak dengar perkataan ini). Tapi seingat Tumpang lalu, filem-filem karya Aamir Khan paling melekat di kepala. Filem-filem arahan aktor Bollywood ini, antaranya Lagaan, 3 Idiots, PK dan Dangal penuh meng­inspirasi.

Dan seingat Tumpang lalu juga filem paling teruk adalah kisah mitos seorang pahlawan gagah perkasa arahan seorang profesor sebuah institusi pengajian tinggi tempoh hari. Tak berselera langsung, sekerat jalan tonton.

Berbual dengan Mamat yang juga adik kartunis Lat ini menerusi aplikasi WhatsApp kelmarin, Tumpang lalu bertanyakan apa makna filem kepadanya.

Bagi Mamat, filem adalah cerminan perlakuan masyarakat.

“Filem pada saya adalah satu persembahan gaya hidup peradaban sesuatu masyarakat. Unsur satira perlu ada kerana jika terlalu literal, hilanglah budaya Melayu itu sendiri. Orang Me­layu sifatnya secara tradisi memang gemar menegur dengan kiasan. Lebih santun jika begitu,” kata Mamat yang sehari dua ini demam katanya.

Kata Mamat lagi, kejayaan HKL adalah kerana filem itu me­mang dinantikan dan mempunyai kumpulan peminatnya sendiri. HKL diadun untuk memenuhi selera pelbagai lapisan masyarakat dan semua golong­an.

Tumpang lalu tidaklah pandai dalam memberi 4 bintang atau 5 bintang kepada HKL tetapi asalkan ‘gelak tidak dipaksa, tidak memperbodohkan penonton dan berbaloi ketika menuju ke pintu keluar panggung’, HKL kiranya sudah memenuhi kriteria itu. Kalau tidak, takkanlah sampai boleh cecah RM30 juta kan?

Sambung Mamat ketika diajukan mengapa sebilangan pengarah gemar membikin filem berat berbanding ringan, beliau masih dengan sikap rendah dirinya.

“Bergantung kepada penonton itu sendiri sebenarnya. Kami penggiat filem sudah lakukan yang terbaik dalam penghasilan karya kami. Berat atau ringan, ia adalah satu persembahan dalam proses pengkaryaan tersendiri yang memerlukan apresiasi yang sama,” katanya.

Menjadikan Federico Felli­ni dan Akira Kurosawa, dua pe­ngarah yang memberi inspi­rasi pada dirinya, kongsi pe­ngarah ini, Fellini memberi banyak pengaruh pada dirinya. 
“Saya ambil ‘roh’ Fellini ketika menghasilkan filem Man Laksa. Fellini banyak mengangkat penceritaan masyarakat secara satira dan itu memang dekat dengan saya,” katanya.

Sementara itu pengarah filem Jepun, Akira Kurosawa pula bagi Mamat adalah pengarah idola yang kecenderungannya lebih terarah kepada penghasilan filem bercorak epik.

“Mat Sentul juga kegemaran saya kerana beliau ialah bapa surrealisme filem Tanah Mela­yu,” ujar Mamat.

Tanya Tumpang lalu pada Mamat, dalam membikin sesebuah filem perlukah seseorang itu berpelajaran tinggi? Atau cukup sekadar dengan pengalaman atau kreativiti yang ada?

Kata Mamat: “Tidak dinafikan menuntut ilmu itu sesuatu yang terpuji. Tapi pengalaman dan creative eye amat penting dalam menghasilkan sesuatu karya yang baik.”

Mamat optimis filem keluaran anak tempatan boleh bersinar di peringkat antarabangsa. Keka­ngannya mungkin subject matter yang biasanya dipertaruhkan di peringkat antarabangsa tidak sesuai untuk norma budaya negara ini, katanya.

Menganggap perubahan po­litik semasa berlaku mengikut peredaran zaman dengan mengingatkan jangan sesekali memperkecilkan ‘kuasa’ orang muda yang barangkali untuk mengimbangi kesejahteraan rak­yat menerusi perubahan yang dilakukan, pesan Mamat kepada mereka yang mahu menceburi industri lakonan dan pembuat filem:

“Teruskan berkarya dan ja­ngan putus asa. Jangan fikir kita terbaik apabila lautan luas lagi yang harus didayungi.

“Perlu ada sifat mahukan yang terbaik untuk diri sendiri, berikan 100 peratus komitmen dan jangan bergantung pada wajah yang handsome saja.

Tahniah sekali lagi daripada Tumpang lalu kepada Mamat. Cuma bagi Tumpang lalu secara prinsipnya, pemaparan identiti dan budaya nasional tetap menjadi tanggungjawab kepada pembikin filem. Tidak seperti mana pembikin filem Hollywood lebih bebas berkreatif dan tidak menjadikan identiti berkenaan sebagai tanggungjawab. Mereka lebih pada kepentingan komersial.

Begitupun, masa depan filem tempatan masih samar sebenarnya. Industri filem tempatan yang dilaung-laungkan hanya bersifat cottage, masih jauh jika dibandingkan dengan Hollywood, India atau Hong Kong.

Dilema yang dihadapi oleh pembikin filem kita masih sama dengan dilema yang dihadapi oleh pembikin filem negara du­nia ketiga, malah oleh sebahagian negara-negara Eropah.