Isu di sini bukan untuk memenangkan sesiapa. Bak kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam - yang dipertanggungjawabkan sebagai individu yang mengarahkan pihak polis melepaskan tembakan dalam insiden itu - bahawa RCI yang diwujudkan haruslah bebas dari permainan politik.

Yang penting dalam membongkar misteri insiden itu adalah siapa yang bertanggungjawab memberi arahan kepada pihak polis melepaskan tembakan selepas Musa mendakwa beliau telah dijadikan ‘kambing hitam’ akibat tragedi itu.

Lagipun Kertas Putih Memali yang dibentangkan oleh kerajaan langsung tidak menyebut siapa dalang yang mencetuskan insiden berdarah tersebut, yakni yang mengarahkan pihak polis bertindak. Adakah ini satu ‘konspirasi’ yang sangat licik?

Dalam kalangan generasi muda pun tidak banyak yang tahu bahawa pada suatu Selasa 19 November 1985 itu, 18 rakyat negara ini terbunuh dalam satu operasi polis di kampung berkenaan.

Operasi itu adalah untuk menahan Ibrahim Mahmood atau Ibrahim Libya yang kemudiannya terbunuh dalam insiden itu.

Selepas mendiamkan diri selama 30 tahun, Musa dalam rancangan bual bicara Obviously Harith Iskander (OHI) pada 13 Ogos tahun lalu menceritakan bagaimana beliau menangani krisis tersebut dalam bukunya Frankly Speaking.

Kata Menteri Dalam Negeri semasa tragedi Memali itu, beliau langsung tidak diberi ruang untuk memberi penjelasan.

Katanya, dalam perjalanan politik beliau, peristiwa Memali dianggap paling kontroversi. Kerana peristiwa itu, beliau dikaitkan dengan gelaran pembunuh.

“Signifikan peristiwa Memali adalah mudah, selama 30 tahun saya dikatakan menjadi pembunuh, bolehkah anda bayangkan?

Apa yang didedahkan Musa mengenai isu Memali ialah persepsi selama ini mengatakan kejadian itu berlaku sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) tidak ada di dalam negara ketika itu tidak benar sama sekali.

Tegas Musa: “Ketika kejadian itu Dr. Mahathir ada dalam negara.”

Bagaimanapun, Dr. Mahathir dalam blognya chedet.cc/ mengatakan beliau tidak ingat apakah bekas timbalan­nya itu ada menasihatinya supaya menangguhkan lawatan kerja ke China susulan insiden berdarah di Memali.

Dr. Mahathir berlepas ke Beijing untuk lawatan negara sehari selepas kejadian itu.

“Saya tidak ingat yang Tun Musa datang berjumpa saya untuk saya tidak pergi ke Beijing tetapi beliau berada di lapangan terbang bersama dengan ramai orang yang ingin ucap selamat pemergian saya ke China.

“Di waktu itu pun saya tidak ingat yang Tun Musa menasihat supaya saya tidak pergi luar negara,” katanya.

Musa dilaporkan mengakui beliau terkilan dan menyesal atas kejadian itu yang dianggap titik hitam dalam sejarah politiknya. Namun menyangkal sebagai penyebab beliau berehat dalam politik.

“Saya akui peristiwa Memali benar-benar menekan diri saya. Saya ke Mekah dan berdoa kepada Allah atas apa yang berlaku,” katanya.

Elok dirungkai isu Memali itu melalui RCI. Kalau Musa menyatakan Dr. Mahathir masih berada di dalam negara semasa insiden itu, adakah ini bermaksud arahan (tembak) itu sepatutnya daripada Perdana Menteri?

Tun Hanif Omar, Ketua Polis Negara semasa insiden Memali itu tidak berada di dalam negara ketika kejadian itu berlaku kerana sedang mengambil cuti belajar di Uni­ted Kingdom.

Ketika itu, Tan Sri Mohamed Amin Osman bertindak sebagai Pemangku Ketua Polis Negara dan Datuk Yahya Yeop Ishak ialah pengarah keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam.

Amin dan Yahya yang sudah meninggal dunia adalah dua pegawai polis utama yang merancang cubaan menahan Ibrahim Libya.

Banyak persoalan berlegar di fikiran, antaranya kenapa kerajaan pada hari itu tidak menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan Ibrahim dan pengikutnya? Mengapa selepas dua tahun tragedi iaitu pada 1987, ISA dikuatkuasakan pula, bahkan tampak terserlah lagi?

Dalam Operasi Lalang 1987 itu, seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA yang turut menyaksikan pembatalan dua akhbar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan.

Matlamat pewujudan RCI Memali bukan untuk memenangkan sesiapa. Tetapi lebih daripada itu mengenal pasti siapa yang memberi arahan sehingga mencetuskan insiden berdarah itu.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.