Memang bukan tipikal dan kadangkala lucu juga bila difikirkan, ke­rana krisis-krisis ini mungkin tidak ada dalam jangkaan kita apabila berbicara tentang sukan.

Lazimnya, kita lebih sinonim mendengar krisis seperti kemalangan atau atlet ditangkap menya­lahgunakan dadah apabila bercerita tentang krisis sukan.

Tetapi melihatkan contoh-contoh krisis yang agak luar biasa me­landa arena sukan sejak kebelakangan ini membuatkan penulis tertanya-tanya apakah agaknya krisis yang akan melanda Sukan SEA 2017 tidak lama lagi?

Bukanlah ingin menjadi seorang pesimis atau mendoakan yang buruk, tetapi sebagai pengkaji komunikasi krisis, saya akur kita harus realistik dan bersedia dengan pelbagai kemungkinan sebelum temasya sukan ini.

Apatah lagi dalam zaman teknologi media tanpa sempadan, berita krisis mudah tersebar luas melalui media sosial dan kita tidak lagi hanya bergantung kepada berita di akhbar dan te­levisyen.

Apabila krisis berlaku, imej penganjur dan negara boleh bertukar menjadi buruk dalam sekelip mata dan imej itulah yang akan kekal, kerana kita tiada autoriti dan hak untuk memadamkannya daripada arkib internet. Cuba kita ambil contoh krisis air kolam renang yang bertukar menjadi hijau ketika penganjuran Sukan Olimpik Rio pada tahun lalu.

Gambar kolam renang berwarna hijau bersebelahan sebuah lagi kolam renang yang berwarna biru masih lagi wujud dalam arkib Google walaupun isu tersebut telah diselesaikan dengan agak pantas oleh pihak penganjur. Apa yang tinggal dalam sejarah adalah gambar air kolam renang menjadi hijau - yang pastinya jika dilihat sepintas lalu mungkin mengundang sangkaan buruk seperti perbuatan sabotaj atau tercemar dengan bahan kumbahan.

Imej inilah yang akan kekal dalam ingatan dan mencemar imej Olimpik dan Brazil sebagai penganjur.

Bayangkan jika ini terjadi semasa Sukan SEA 2017 pada Ogos ini. Atau mungkinkah krisis yang lebih buruk daripada itu?

Mampukah kita menguruskan pertanyaan dari serata dunia? Apakah kita cukup bersedia me­ngawal krisis daripada tersebar luas di media sosial?

Atau lebih dahagakan populariti dan mengambil kesempatan terhadap situasi tersebut? Mera­kamkan menggunakan kamera di telefon pintar atau mungkin juga mengambil kesempatan berswafoto, sebelum memuat naik ke akaun media sosial, sambil mengharapkan gambar dan video yang dikongsi itu menjadi tular?

Melihat kepada keperluan untuk barisan hadapan temasya sukan ini, bersiap siaga mendepani krisis, salah satu modul yang spe­sifik dibangunkan bagi mendalami topik ini.

Modul bertajuk Komunikasi Dalam Situasi Mencabar ini ditawarkan sebagai salah satu daripada tujuh modul dalam komponen Modul Umum yang dihadiri oleh semua sukarelawan Sukan SEA 2017.

Menerusi modul ini, sukarelawan sebagai duta kecil Malaysia didedahkan dengan kes-kes terdahulu dan potensi krisis yang mungkin boleh berlaku dalam penganjuran sukan.

Mereka juga mendapat latihan mendepani wartawan melalui teknik simulasi yang mana pelbagai teknik sogokan dan rayuan diaplikasi ketika cuba membongkar maklumat.

Selain itu, sukarelawan yang menjalani modul ini turut diberikan pendedahan untuk mengenal pasti gangguan seksual pelbagai peringkat serta respon yang betul ketika berdepan dengan situasi sebegini.

Walaupun kelihatan seperti kandungan modul ini sedikit berat, tetapi barisan pengajar yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berusaha untuk menyuntik elemen humor dalam kaedah penyampaian.

Pendekatan simulasi serta teknik gamification menjadikan pembelajaran lebih seronok dan harapan kami adalah sukarelawan dapat membawa apa yang mereka pelajari dalam dewan kuliah, ke dalam konteks sebenar ketika penganjuran temasya sukan ini nanti.

Sebagai warga UKM, tanggungjawab yang diamanahkan oleh Kementerian Belia dan Sukan digalas dengan penuh dedikasi, seiring dengan falsafah UKM sebagai pendaulat amanah negara.

Penulis mengharapkan pengisian modul ini dapat melatih sukarelawan untuk lebih peka dan berupaya untuk mengambil tindakan dalam situasi mencabar sepanjang Sukan SEA 2017 nanti.

Walaupun lazimnya dalam penganjuran sukan, atlet sering mendapat nama dan perhatian, namun sukarelawan adalah tulang belakang kejayaan mereka. Jika krisis dapat diuruskan de­ngan berkesan, pastinya perjalanan acara menjadi lebih teratur dan mudah.

Semoga modul ini sedikit sebanyak membantu mengukuhkan kesungguhan dan memberi sedikit ilmu tambahan bagi sama-sama bersiap siaga mendepani sebarang kemungkinan.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Pusat Penyelidikan Impak Media dan Industri Kreatif, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga merangkap Ketua Modul Komunikasi Dalam Situasi Mencabar Modul Umum Sukarelawan Sukan SEA Temasya Kuala Lumpur 2017.