Mungkin ramai yang ketawa bila mengatakan Portugis berasa cuak untuk menyerang Melaka. Mungkin ada yang masih beranggapan bahawa empayar Melaka bukanlah hebat sangat dan mereka hanya berperang melawan Portugis yang lengkap dengan kapal perang, senapang dan me­riam, hanya dengan menggunakan ke­ris, parang dan tombak sahaja.

Sejarah baik dari mulut ke mulut atau yang dipelajari di institusi pendidikan negara selama ini mengajar kita, Melaka adalah sebuah empayar. Sudah tentu jika Melaka itu sebuah empayar, ia menggambarkan penguasaan bangsa Me­layu di atas satu tanah jajahan yang luas. Sudah pastinya, empayar ter­sebut tidaklah hanya sebesar ne­geri Melaka hari ini atau sebesar Semenanjung Malaysia ini sahaja. Jika tidak, masakan Raja empayar China yang begitu hebat ketika itu, sudi untuk menjadikan Sultan Melaka sebagai menantunya.

Amat malang, kita tidak dicanangkan dengan beberapa fakta bahawa kapal perang kerajaan Melaka yang digelar Jong - dua kali ganda besarnya daripada kapal perang penjajah Portugis.

Kita juga tidak dicanangkan bahawa kerajaan Melaka sudah memiliki meriam-meriam besar dan kecil yang diberi nama Lela Rentaka, yang bentuknya seperti bazooka di zaman moden ini.

Ini belum lagi disebut tentang senjata api Melayu Melaka yang diberi nama seperti pemuras, istinggar dan lain-lain lagi. Melayu juga sudah mengenal apa itu baju besi dan sudah mahir menempa baju besi untuk kegunaan ketenteraan dan artifak purba seperti alat pelebur besi yang ditemui di tapak tamadun Sungai Batu, Kedah menguatkan lagi fakta ini.

Keris, tombak dan lembing pula tetap tersemat di pinggang atau dipegang sebagai satu simbol pahlawan dan pejuang Me­layu yang tetap berbisa dan berbahaya jika terkena tikamannya.

Kalau tidak benar Melaka memiliki tamadun tinggi, masakan catatan ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menukilkan: “Setelah Kota Me­laka dikalahkan, Portugis telah merampas 3,000 pucuk meriam dan senapang lantak atau senapang patah. Dipercayai, itu baru separuh daripada senjata api yang ada di Melaka.”

Kalau orang Melaka sudah bertamadun lebih tinggi daripada Portugis, kenapa pula ia boleh jatuh ke tangan Barat? Kerajaan yang begini hebat di Nusantara hanya boleh ditewaskan oleh gabungan tentera-tentera Portugis, kerajaan-kerajaan kecil di Suma­tera dan Jawa, askar-askar upahan dari Goa, Jawa dan Siam.

Di sinilah munculnya watak Si Kitul. Ada dakwaan dari pengkaji sejarah yang menyatakan bahawa Melaka tewas di tangan Portugis bukan kerana kalah perang. Kerajaan Melaka dikatakan telah berperang dan bertempur dengan tentera Portugis lebih 100 kali.

Tewasnya Melaka adalah ke­ra­na berlakunya konflik dalaman yang ada kemungkinannya dicetuskan oleh Si Kitul dengan menyebarkan persepsi dari mulut ke mulut dan melanjutkan lagi pengkhianatannya dengan membuka pintu kota Melaka.

Hakikatnya, fakta seperti ini jelas memberitahu bahawa konflik dalamanlah yang menyebabkan empayar hebat dan besar seperti Empayar Melaka ini tumbang.

Ini ditambah lagi dengan pembelot dan pengkhianat daripada para pedagang asing dan orang-orang Melayu itu sendiri. Melaka jatuh bukan kerana orang Me­layu kuno dan tidak ada teknologi dalam peperangan, tetapi akibat krisis kepemimpinan dan pengkhianatan yang berlaku.

Hakikatnya, watak Si Kitul ini benar-benar menghantui perjalanan dan jalur-jalur politik dan kekuasaan bangsa Melayu di Nusantara ini.

Kini, watak Si Kitul di zaman moden muncul lagi. Namun bukan seorang sahaja individu bernama Si Kitul, tetapi sifat dan sikap Si Kitul ini sedang dibawa oleh beberapa pemimpin politik Melayu kita. Ini termasuklah seorang yang pernah digelar sebagai ‘negarawan’ satu ketika dulu.

Kerja-kerja Si Kitul moden le­bih mudah apabila mereka mampu menyebarkan persepsi jelek - hanya dengan menekan butang melalui teknologi media sosial hari ini.

Penulis membawakan kisah kejatuhan Melayu Melaka ini kerana bimbang sekiranya tidak dicuci bau tengit persepsi yang jelek ini, maka sia-sia sahajalah pengorbanan pahit-jerih UMNO dan Barisan Nasional (BN) membantu rakyat dalam tempoh 60 tahun negara merdeka ini.

Dalam usaha menangani per­sepsi jelek ini, kehadiran seseorang yang pernah dianggap ‘negarawan’ itu telah memburukkan lagi keadaan dan menjadi persepsi liar dan fitnah ini semakin menjadi-jadi.

Ketika PRU-13, seingat penulis, provokasi pembangkang di­tingkatkan ke gear lima dan enam de­ngan di saat-saat PRU hampir menjelang dengan mencanangkan dalam portal mereka kononnya BN akan menggunakan ‘pe­ngundi hantu’ warga Bangladesh untuk mempertahankan mandat parti pemerintah.

Akibatnya, pada hari pengundian tercetus insiden pertengkaran di antara rakyat Malaysia yang seiras warga Bangladesh ditahan penyokong pembangkang.

Justeru, penulis mengharap­kan agar rakyat di negara ini rasional setelah tertipu dengan propaganda pembangkang pada PRU-13 lalu dan tidak terjatuh ke dalam ‘lubang sama’ untuk PRU yang akan datang ini.

Di zaman ini, Si Kitul itu masih lagi ‘hidup’ dengan wajah, pembawaan dan pendekatan yang berbeza. Tetapi misinya untuk memecahbelahkan negara tetap sama. Tidak pernah berubah.

DR. NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS ialah Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu.