‘Cai’ ini barangkali bukan daripada pengerusi badan perhubu­ngan UMNO negeri atau bahasa mudahnya - belum lagi dapat lampu hijau daripada UMNO negeri.

Tetapi sudah diketengahkan. De­ngan lain perkataan, untuk mensabotaj senarai calon yang di­sepakati semua.

Di Selangor, UMNO yang me­­nunjangi Barisan Nasional (BN) mahu tidak mahu kali ini ber­depan ibu segala pilihan raya - Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) harus ‘perderas’ untuk me­mastikan negeri itu kembali ke pangkuannya.

Cabarannya cukup getir. Walaupun persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negeri itu hanya akan diputuskan oleh mahkamah pada 7 Disember ini (masih dicabar oleh kerajaan PKR negeri), namun itu bukan alasan mengalah.

Lagipun tanpa melibatkan Se­langor atau mana-mana salah satu negeri Tanah Melayu, persempa­danan semula bagi Semenanjung tidak boleh dibuat. Tidak boleh dilaksanakan dengan memberi pengecualian salah satu negeri ter­babit, tetapi perlu dijalankan bersekali seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam persempadanan yang dicadangkan SPR kali ini, ia tidak me­libatkan pertambahan jumlah kerusi Parlimen. Sebaliknya ha­nya kawasan-kawasan pilihan­raya itu dilukis semula atau di­pecah-pecahkan.

Oleh kerana tidak melibatkan pertambahan jumlah kerusi Parlimen, maka kelulusan dua pertiga di Dewan Rakyat tidak diperlukan. Persempadanan kali ini hanya memerlukan undi majoriti mudah daripada Ahli-Ahli Parlimen.

Cuma UMNO tidak boleh semata-mata mengharapkan realignment atau penyusunan semu­la kawasan pilihan raya untuk menang di Selangor.

Bertitik tolak dari inilah, Pengerusi Ba­dan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar me­ngingatkan pemimpin serta ahli UMNO yang tidak terpilih menjadi calon PRU-14 supaya ti­dak menjadi si Kitul moden de­ngan mensabotaj parti.

Mereka yang tidak tercalon katanya, harus reda dan terus istiqamah dengan perjuangan parti. Inilah yang harus direnung dengan mendalam dan difahami semua.

Noh barangkali mengambil pe­ngalaman PRU 2013 tempoh hari. Dulunya, berlonggok-longgok program UMNO di Selangor dan dikatakan tidak sedikit juga peruntukan dibelanjakan. Dengan ‘kepala’ yang mengetuai jentera pilihan raya pun ada dua waktu itu, sukar untuk menjangkakan kemenangan.

Tetapi pendekatan Noh untuk merencanakan kemenangan kali ini berbeza 360 darjah sehinggakan menteri besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pun tak se­nang duduk. Ini membawa kepada amaran Azmin dalam sidang DUN baru-baru ini terhadap semua agensi, jabatan serta anak-anak syarikat kerajaan negeri supaya memastikan tidak ada senaskhah pun akhbar Kumpulan Utusan (Utusan Malaysia dan Kosmo!) serta Berita Harian masuk dalam pejabat-pejabat berkenaan.

Sebab apa Noh mengingatkan jangan sabotaj calon yang dipilih pucuk pimpinan? Noh percaya jika gejala itu berlaku, maka segala kerja keras yang dilakukan oleh ahli akar umbi untuk memastikan UMNO dan BN menang, segala­nya hanya sia-sia belaka.

Sejak empat tahun lalu, se­ga­lanya ikut perancangan. Apa yang dihajatkan oleh presiden parti direncanakan Noh dengan bukan sahaja memperkuatkan jentera akar umbi tetapi lebih penting lagi membantu dan menyelesaikan permasalahan rakyat.

Kerana itu, jangan ada individu tertentu yang berpengaruh di kawasan-kawasan parlimen dan DUN cuba menggunakan ‘for­mula’nya untuk menempatkan diri sebagai calon.

“Siapa tidak terpilih kenalah reda dan terima qada dan qadar. Teruskan perjuangan bersama parti, janganlah berkecil hati sehingga bertindak mensabotaj parti.

“Saya harap jangan ada si Kitul moden muncul berikutan rasa tidak puas hati kerana benda ini tidak mustahil, sebaliknya kita teruslah mendukung dan bersama parti sehingga mencapai kejayaan besar dalam PRU-14,” kata Noh kepada akhbar ini semalam.

Kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada Jun tahun lalu dilihat lonjakan bagi mengembalikan Selangor kepada parti itu.

Strategi UMNO di Sungai Besar adalah memberi tumpuan kepada kekuatan BN, bukan kepada kelemahan pihak pembangkang. Ini termasuk menetapkan sasaran bagi setiap parti anggota BN untuk menyampaikan bilangan tertentu undi.

“Kami tidak mengambil kira tentang pertandingan tiga penjuru atau lima penjuru atau apa sahaja yang telah dipersiapkan pembangkang.

“Tetapi kami mempunyai KPI dan dengan kapasiti 17,000 undi daripada satu pihak, kita akan usa­hakan juga daripada pihak kaum Cina dan kaum India, ” kata Noh.

Noh turut yakin Perhimpunan Agung UMNO dari 5 hingga 9 Disember ini akan memfokuskan segalanya untuk memastikan BN terus kekal dalam radar rakyat.

Sejak kembali dalam Kabinet Persekutuan, ‘penangan’ Noh se­laku Menteri Perumahan, Ke­se­jahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan nampaknya menjadi.

“Sejak dalam Kabinet, saya telah menyuarakan kebimbangan rakyat Selangor secara langsung kepada semua menteri. “Jika ada masalah, saya boleh terus menyelesaikannya bersama-sama menteri dan bukannya kerajaan negeri,” kata Noh.