Beliau bukan sekadar mempunyai wajah kacak yang didambakan oleh wanita, malah Sheikh Hamdan yang masih bujang adalah Putera Mahkota Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan antara orang terkaya di dunia.

Lebih dikenali sebagai Fazza, beliau boleh digelar sebagai “Raja Instagram” kerana mempunyai pengikut melebihi 5.7 juta orang. Dalam laman sosial itu, Sheikh Hamdan kerap berkongsi sebahagian gaya hidupnya termasuklah minatnya terhadap fotografi, sukan ekstrem dan sajak.

Tidak dinafikan ramai yang mengikuti perkembangan beliau di laman Instagram kerana ingin melihat sekilas gaya hidupnya yang dikongsikan beliau.

Namun, kekayaan harta benda semata-mata tidak cukup untuk memenangi hati ramai orang sekiranya bersikap mendongak ke langit. Putera kedua kepada Emir Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum itu, dikagumi dan disayangi kerana bersikap sederhana, merendah diri, bijak, berbudi bahasa dan suka membantu rakyat jelatanya.

Dalam menjalani kehidupan hariannya, Sheikh Hamdan tidak ubah seperti rakyat kebanyakan. Misalnya, beliau selesa mengenakan pakaian sukan dan topi besbol, sesuai dengan dirinya yang aktif bersukan. Sheikh Hamdan juga selalu mengambil bahagian bersama rakyat jelata dalam pelbagai program urban seperti festival yoga dan marathon Dubai.

Beliau juga dikenali sebagai seorang yang dermawan dan prihatin akan nasib rakyatnya yang kurang bernasib baik. Sejak ditabalkan sebagai Putera Mahkota Dubai pada 1 Februari 2008, Sheikh Hamdan masih memainkan peranan aktif dalam Pusat Autisme Dubai selaku penaung kehormat.

Pada masa sama, beliau menubuhkan beberapa tabung kebajikan bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan orang kurang upaya, selain mendermakan peralatan perubatan kepada hospital bagi memastikan rakyatnya mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik.

Dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan, Sheikh Hamdan bukan sekadar membantu dari segi kewangan, malah beliau sendiri menunjukkan teladan yang baik untuk diikuti orang lain. Misalnya, dalam memupuk kesedaran rakyat tentang peri pentingnya menderma darah, beliau turut mendermakan darahnya.

Walaupun berstatus putera raja, beliau tidak kekok bergaul dan bermesra dengan mereka yang kurang bernasib baik. Sheikh Hamdan selalu cuba melihat dunia dari perspektif golongan yang dibantunya agar dapat menyelami kesusahan mereka. Ini termasuklah mengambil bahagian dalam perlawanan bola keranjang kerusi roda bersama dengan orang kelainan upaya.

“Apabila orang dengan keperluan istimewa diberikan peluang, mereka bangkit melebihi kekurangan mereka dan mencapai dan cemerlang seperti orang lain... Pencapaian harian mereka adalah satu inspirasi kepada saya, kerana mereka menun­jukkan kepada kita apa yang keazaman dan kesungguhan boleh dicapai,” katanya.

Nilai-nilai murni pada diri Sheikh Hamdan juga dapat dilihat dalam ‘acara tidak rasmi’. Pada Mac lalu, video beliau membantu sebuah treler 12 tayar yang terperangkap di padang pasir tular selepas dikongsikan oleh seorang pengguna Instagram.

Video tersebut menunjukkan Sheikh Hamdan menyertai beberapa kenderaan lain untuk membantu menarik treler yang dipenuhi muatan pasir itu. Dalam percubaan pertama, kenderaan utiliti sukan (SUV) Mercedes AMG G63 yang dipandunya tergelincir dan tali yang digunakan untuk menarik treler itu terputus. Beliau kemudian meminta pemandu treler itu supaya membuang sebahagian muatan dan taktik itu berjaya menarik treler yang tersangkut itu.

Mungkin ada yang beranggapan apalah sangat kalau kenderaan Mercedes AMG G63 berharga lebih sejuta ringgit itu rosak ketika menarik treler tersebut kerana dengan kekayaannya, Sheikh Hamdan mampu membeli yang baharu.

Namun, berapa ramai orang kaya dan berkedudukan sanggup berbuat demikian bila berhadapan situasi sedemikian kerana sayangkan kenderaan?

Dengan nilai-nilai terpuji yang ada pada Sheikh Hamdan, beliau dilihat mempunyai imej seorang putera raja yang ideal. Tanpa rakyat tiadalah raja. Maka beliau, menunjukkan contoh yang baik dengan menyantuni, cakna akan permasalahan dan menjadi pusat aduan rakyatnya.