“Silakan masuk!” Puteri Shahnon, Norhayati menyambut kami. “Emak dan ayah ada di dalam,” sambungnya. Rombongan saya itu ada 20 orang kesemuanya. Kami masuk seorang demi seorang hingga penuh sesak ruangan tamu. Ikut bersama kami Datin Saroja Basri, isteri Allahyarham SN Datuk Abdullah Husain. Dari lorong belakang, tampak Shahnon Ahmad beriringan dengan Datin Wan Fatimah.

“Apa khabar, ramai ni...Kemala pun ada! ” tegur Shahnon.

“Kami ada seminar di IPG besok Datuk!” Jenuhlah Shahnon dan Wan Fatimah bersalaman. Djazlam, Rosmiati dan Shirley sudah dikenal sebelum ini. “Ada tulis buku baharu?” tegurnya lagi. Rosmiati menghulur buku puisinya. Shahnon membelek-belek.

“Num, Nume..Numera ya?” Shahnon menatap saya. Suaranya terketar lemah. Nyata benar sakit Myasthenia Gravis (MB) memakan tenaganya. Saya merasa bersalah mengganggunya. Shirley membawa lukisan `Mandi di Sungai Politik’ ke hadapan saya.

“Ini lukisan siapa?” Wan Fatimah mengacungkan jarinya kepada saya.

“Kemala melukis? Dah pencen menulis?” Ketawa kawan-kawan melimpahi ruangan. “Kalau dah letih menulis, saya melukis!” kata saya. “Ohhh...”

Pertemuan itu singkat sebenarnya. Selepas ini kami akan terus ke Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan menemui Presiden Karyawan Profesor Sohaimi Abdul Aziz. Selepas makan malam, kami mengisi Malam Kebudayaan. Bagi memintas waktu, saya bangun berdiri memberikan salam dan menerangkan tujuan kehadiran kami. “Selain mengubat rindu, kami nak sampaikan hajat Numera,” kata saya. Lama tidak bertemu dengan Cikgu yang juga profesor kesusasteraan Universiti Sains Malaysia (USM) yang mendidik kami menulis dan memanfaatkan kuliahnya. Saya menghadiahkan lukisan `Mandi di Sungai Politik’ itu sebagai cenderamata kepada Novelis Agung Malaysia itu. Shahnon menyambutnya sambil dibantu oleh isterinya Wan Fatimah.

“Ini untuk saya, cantik kuning mas...” Saya kalungkan serban yang keemasan di lehernya. Matanya tergenang. “Ini pengik­tirafan kami untuk Cikgu sebagai Novelis Agung Malaysia!” Saya huraikan secara ringkas motif karya lukisan minyak `Mandi di Sungai Politik’ itu. Shahnon menatap saya. Reaksinya? Cuma tersungging sinis. Saya jelaskan hajat kedua Numera.

“Besok Numera akan nobatkan Datin Wan Fatimah dan Datin Saroja sebagai Serikandi Numera!” Pengarang agung itu tersenyum menatap isterinya dan Datin Saroja. Dua Datin ini ikut berkorban tenaga dan masa berbakti di sebalik layar sampailah kedua suami mereka dikurniakan oleh kerajaan gelar Sasterawan Negara. “Numera nak beri gelar Serikandi pada Mah!” gumam Shahnon.

Kami pamit sebelum azan berkumandang. Sebelum ini saya pernah dipelawa bermalam di rumahnya. Saya datang untuk menghantar bab tesis Masters saya lalu berdiskusi dengannya. Biasanya saya menemuinya di pejabat Pengarah di Pusat Islam, Masjid kampus USM. Datin Wan Fatimah pun bersungguh-sungguh menahan saya. Saya diberikan katil pengantin. Puteranya Asrulsani baru menikah sebulan yang lalu. Saya tak dapat nyenyak tidur malam itu, bukan kerana keempukan tilam katil besi pengantin, tetapi dentang-dentung kerja menyudahkan jambatan baharu Pulau Pinang ingar-bingar sampai ke sekitar Taman Minden.

Shahnon Ahmad sasterawan yang unik dan luar biasa. Kreativiti dan kepengarangannya susah mahu diduga. Dia menggarap dunia derita petani dan kemudian dalam situasi politik tanah air yang banyak siku-likunya dijalin dalam Menteri (1967), SHIT (1998) menimbulkan kontroversi dan buakan polemik. Banyak hadiah dan anugerah yang diterimanya: Hadiah Karya Sastera berkali-kali dimenanginya termasuk novel Srengenge (1973) dan kemudian Lamunan Puitis memenangi Hadiah Sastera Malaysia 2003. Ranjau Sepanjang Jalan (1966) berkisar kehidupan keluarga Lahuma dan Jeha paling banyak mendapat perhatian dari dalam dan luar negara. Novel ini diangkat sebagai 10 novel terbaik pilihan pembaca di Sydney, Australia dan difilemkan oleh Jamil Sulong dan juga dalam sebuah filem di Kemboja oleh Rithy Pank dengan judul Rice People. Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama RTM turut memfilemkan Srengenge (2017). Novel Mahabbah menyorot kehidupannya yang sengsara kerana penyakit MB “tulang-tulang akan menjadi rapuh, kecuali kalau Calsium Os-Gul ditelan setiap pagi setiap malam. Tenaga untuk bercakap akan terus mengendur hingga terhakis kalau masih malas hendak menelan Mestinon.” (Mahabbah, 36).

Shahnon seolah-olah dipengaruhi oleh temperamen resah-gelisah dan amarahnya dengan situasi cacamarba politik di tanah air. Di situlah lubuk ilhamnya. Dalam tahun 2000 sahaja beliau menerbitkan novel Muntah, Pararuhi. ZioDir dan Bukitbukau Gunungganang Rimbabelantara, Maha Maha ditulis tetapi tidak diterbitkan. Menurut Mohd. Yusof Hasan (2013) Shahnon menghasilkan 26 novel, 115 cerpen yang terhimpun dalam Anjing-Anjing (1964), Debu Merah (1965), Selesai Sudah (1977) dan Seketul Hati Pemimpin (1988). Cerpennya `AL’ menyorot sikap diplomat Melayu yang antipati terhadap situasi politik 13 Mei. AL asyik berfoya-foya (bersiput babi) di Canberra, ditulis dengan teknik menarik, dialog yang hidup.

Ada yang menggelarnya Raja Novel Melayu, tetapi oleh kerana produktif dan watak-wataknya berjejak di alam Malaysia sendiri, daripada petani miskin, diplomat lupa diri, pemimpin yang rakus, menteri yang korup, golongan elit yang melampiasi nafsu serakah dan seterusnya kembali kepada akar keislaman dan sufistik beliau layak digelar sebagai Novelis Agung Malaysia. Pada 1976 Shahnon diangkat sebagai Pejuang Sastera dan pada 1982 beliau dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sastera Negara. Shahnon menerima Anu­gerah Sastera ASEAN (1990) dan Anugerah Sastera Mastera (2011). Universiti Sains Malaysia menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus, mengakui tingkat intelektualisme dan pemikiran akademiknya. Polemik Shahnon mengenai sastera Islam dengan Kassim Ahmad selalu menjadi rujukan.

Shahnon pernah men­jadi guru di Kuala Terengganu, kemudian memasuki Askar Melayu. Tetapi dia kembali menjadi guru sastera di Maktab Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah. Beliau melanjutkan pelajarannya di Australia National University (ANU), Canberra (1968-71) hingga lulus sarjana muda sastera dalam jurusan Pengajian Asia sambil membantu A.H. Johns dalam projek Perkamusan Inggeris-Melayu. Beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum menyambung pengajiannya pada peringkat sarjana di USM dengan tesis “Penyair A.S. Amin”. Bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, menganggap Shahnon Ahmad sehebat pengarang Les Miserables, Victor Hugo di Perancis. A.H. Johns turut terpikat dengan karya Shahnon dengan semangat desa orang Melayu yang tulen. Tetapi Shahnon lebih daripada itu, dia Pengarang Agung Malaysia yang layak dikurniakan Nobel Prize.