Ini sehinggakan masuk bab berebut letakkan calon, tiada siapa kononnya boleh kacau mereka. Macamlah UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak wujud di sana. Dan “Shah Alam ini aku yang punya.”

Realitinya sekarang, baik pe­nyandang kerusi Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad atau siapa pun mereka ini daripada PKR harus ingat satu perkara ini - geopolitik Shah Alam bukanlah lagi macam senario Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tempoh hari.

Kalau dilihat DUN Kota Anggerik sahaja yang pengundinya mencecah 52,000 orang - salah satu daripada dua DUN dalam Parlimen Shah Alam - sempadannya menjalar dari Seksyen 15,16 ke Seksyen 7 masuk ke Setia Alam dan Bukit Raja sebelum merentasi Bukit Jelutong dan Seksyen U10 menghala ke Denai Alam dan Bukit Subang.

Geografinya begitu manakala budaya dan status sosial penduduknya berbeza - dengan go­longan pertengahan dan ke atas yang mewakili 60 peratus pengundi Shah Alam mendiami Bukit Jelutong, Seksyen 9, Seksyen 13 serta Denai Alam. Pembangunan pula agak rancak di sebelah Cahaya SPK yang menjalar ke jajaran tapak perumahan mewah EcoWorld.

Jadi, bukanlah tugas yang mudah kali ini untuk mana-mana parti mendakwa mereka mampu mendominasi Shah Alam. Dalam PRU-13, PKR menang dengan majoriti 10,939 undi mengatasi Zulkifli Noordin yang dikatakan calon parachute daripada BN.

DUN Batu Tiga pula dimenangi calon PKR, Rodziah Ismail manakala DUN Kota Anggerik oleh Yaakob Sapari juga daripada PKR.

Kini, untuk menang di Shah Alam segalanya terletak kepada keupayaan calon terbabit untuk meruntun hati pengundi.

Utusan Malaysia dikhabarkan, penyandang kerusi DUN tertentu dalam Shah Alam pun kini ‘tak berani dah’ menggunakan pendekatan turun padang cara lama selepas menang tempoh hari. Antaranya, duduk santai di Pasar Seksyen 6 sekadar bersembang kosong dengan orang ramai di situ sedangkan kerja hakiki wakil rakyat tak buat.

Ada suatu ketika orang pun angkat kaki apabila si polan itu duduk di sebelahnya. Orang Shah Alam mahu bukti wakil rakyat mereka bekerja - sama dengan kawasan-kawasan Parlimen dan DUN lain di Selangor juga.

Bagi koordinator BN DUN Kota Anggerik, Datuk Nor Hisham Ses, 52, beliau terpanggil untuk mengingatkan bahawa saingan me­rebut kerusi Parlimen Shah Alam begitu sengit kali ini. Peluang setiap parti menang dalam posisi 50-50. Benar, sesiapapun yang menguasai kawasan Shah Alam ibarat partinya mendominasi seluruh Selangor.

“Pengundi Shah Alam ini rata-rata berintelektual, mereka menekankan tentang intellectual discourse dan bukan politik maki hamun. Daripada jutawan, yang berpangkat antaranya pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), ketua polis, orang kerja di kementerian, yang sudah pencen, pegang jawatan tinggi kerajaan, ahli perniagaan, pengurus besar, suri rumah dan yang tinggal di kawasan-kawasan perumahan elit berkenaan, mereka ini sangat terbuka.

“Hati mereka yang sudah bercucu ini pada ‘seorang’ itu barangkali masih kuat dan kebanyakan mereka yang berumur 60 tahun ke atas tak mahu tahu dah infrastruktur apa yang ada di Shah Alam sebab di zaman BN sudah lengkap segala segi prasarana dan kemudahan disediakan. Bahkan, hospital pun ada di Seksyen 7.

“Tinggal lagi bila bercakap pasal kos sara hidup, mereka agak terkesan dengan isu yang dibawa. Mereka ini lebih rasional. Sementara golongan muda terutama mahasiswa dan pekerja kilang mereka terikut-ikut dengan acuan media sosial dan life style. Walaupun tak betul maklumat itu tetapi ‘nampak betul’, mereka akan percaya,” kata beliau ketika dihubungi kelmarin.

Kata Nor Hisham, itulah senarionya. Cuma jika BN berjaya mengembalikan Selangor ke pangkuan, beliau menyarankan supaya Kerajaan Persekutuan mengenal pasti mana-mana tapak tanah milik kerajaan negeri untuk diba­ngunkan rumah mampu milik.

“PKNS sekarang jual tanah kepada pemaju dengan harga ti­nggi sedangkan penduduk di Shah Alam perlu sangat rumah. Ta­nah-tanah milik Kerajaan Pusat, agensi, balai polis atau klinik yang tidak digunakan, boleh dibina rumah mampu milik.

“Kalau diperhatikan rumah berkonsepkan studio yang tiada bilik atau satu bilik tidur di Sela­ngor pun dijual dengan harga lebih RM300,000, siapa sanggup beli,” kata Naib Ketua UMNO Bahagian Shah Alam itu.

Pada masa sama, kata Nor Hisham lagi, Shah Alam juga kekurangan pusat-pusat riadah padahal kemudahan seumpama itu boleh dicari dan dibina di kawasan tertentu termasuk Bukit Cerakah.

Kata beliau: “Kita juga boleh bantu mereka yang berpendapatan rendah dengan mewujudkan laman niaga. Tidak seperti sekarang yang mudah sangat terdedah kepada saman penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).”

Nor Hisham masih ingat ba­gaimana semasa menyanda­ng jawatan Pengerusi Dataran Usahawan Selangor di bawah Unit Perancang Ekonomi Negara (UPEN), beliau telah memper­kenalkan Uptown di Seksyen 24 dengan mengumpulkan 400 peniaga Melayu di situ.

Beliau percaya pengundi muda tahu peri pentingnya perjuangan bangsa dan agama serta sedar ‘siapa’ DAP di mata umat Islam dan orang Melayu. Mereka sedar siapa yang bermain persepsi.

“Dan kita juga terbuka andai Pas turut serta bertanding merebut­ kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di Shah Alam. Ini demi memastikan perjuangan Melayu dan Islam ini berterusan pada masa akan datang,” kata beliau.