Kenyataan Mohd. Shafie itu yang diberikan kepada media hari ini umpama ‘meludah ke langit, terkena muka sendiri’ memandangkan beliau sebelum ini berapi-api menegaskan Sabah hanya perlu ditadbir oleh parti tempatan yang tiada kaitan dengan mana-mana parti di Semenanjung.

Ketegasannya sebelum ini sebenarnya hanya bertujuan mempengaruhi rakyat Sabah yang selama ini menolak Pakatan Harapan supaya menyokong Warisan, namun hakikatnya beliau hanyalah seorang politikus yang akan menggunakan segala strategi untuk meraih kuasa termasuk mempermainkan perasaan rakyat.

Strategi Mohd. Shafie itu sebenarnya telah dihidu sejak beberapa bulan lalu apabila pemimpin PKR dan DAP dilihat sentiasa hadir ke program Warisan, namun setiap kali disoal oleh wartawan beliau menafikannya.

Tidak cukup dengan penafian itu Mohd. Shafie juga pernah memberi kata dua kepada Pakatan Harapan bahawa parti itu hanya perlu fokus di Semenanjung dan biarkan Warisan bertanding di semua kerusi di Sabah.

Malam tadi, Mohd. Shafie turut hadir ke program sambutan Tahun Baharu Cina anjuran PKR di bandar ini dan duduk semeja dengan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail serta bersama-sama merasmikannya.

Ketika diberi peluang berucap, tidak pula kedengaran Mohd. Shafie memberi nasihat kepada Wan Azizah supaya parti beliau jangan bertanding di Sabah, sebaliknya beliau menghamburkan pujian menggunung kepada wanita itu sebagai pemimpin politik yang berkaliber.

Inilah pendirian seperti sesumpah yang ditunjukkan Mohd. Shafie. Kalau dalam program bersama rakyat, cakap lain tapi hakikatnya tindakan yang dibuat berlainan.

Sebenarnya, Mohd. Shafie tahu selama ini rakyat Sabah telah menolak Pakatan Harapan tetapi menyedari beliau memerlukan sokongan kedua-duanya untuk pilihan raya nanti, maka sebab itulah pendiriannya sentiasa berubah.

Rakyat Sabah perlu menilai siapa Ahli Parlimen Semporna itu sebenarnya. Rekod buruknya selama menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) terbukti apabila masih banyak kawasan pedalaman di Sabah tidak mempunyai bekalan kemudahan asas.

Beginikah pemimpin yang mereka mahukan? Sudahlah gagal menyediakan kemudahan asas secukupnya, KKLW pula terpalit dengan skandal rasuah sebanyak RM1.5 bilion sepanjang tujuh tahun beliau menerajui kementerian itu.

Dalam ucapan politiknya di banyak program sebelum ini pula, pemimpin Bajau itu mendendangkan isu bahawa negeri Sabah dilanda kemiskinan selama di bawah pentadbiran BN dan UMNO.

Mungkin Mohd. Shafie lupa beliau bersama UMNO selama 22 tahun dan dalam tempoh tujuh tahun terakhir itu, dialah yang bertanggungjawab menguruskan peruntukan berbilion ringgit untuk memajukan Sabah melalui KKLW. - UTUSAN ONLINE