Walaupun pelantikan beliau diselubungi insiden ‘lompat’ oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) yang menyertai Warisan tetapi itulah hakikatnya dunia politik, dulu lawan kini kawan.

Tiada siapa menyangka Mohd. Shafie yang pernah memakai baju lokap berwarna oren kerana berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang penyelewengan peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tahun lalu, kini menjadi pemimpin kerajaan nombor satu di Sabah.

Beliau berjaya menempuh se­gala cabaran fizikal dan mental termasuk dugaan politik yang begitu menekan sehinggalah sewaktu dikatakan hampir gagal menjadi calon kerana dikejar sebuah agensi kerajaan dan terpaksa membayar tunggakan cukai mencecah RM300,000 beberapa hari sebelum hari penamaan calon.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu menyaksikan pakatan antara Warisan, DAP dan PKR cuma memperoleh 29 kerusi dan kemenangannya hanya selepas enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN bersama Warisan. Namun melihat kepada senario penolakan BN oleh rakyat Malaysia di seluruh negara, selayaknya beliau diberi peluang mentadbir Sabah.

Melihat kepada sentimen rak­yat Sabah, rata-rata mengucap kesyukuran sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah dan menaruh harapan tinggi untuk membawa perubahan kepada negeri ini.

Tidak boleh dinafikan, sepanjang mentadbir Sabah, BN telah memacu pembangunan negeri ini secara menyeluruh terutama dalam sektor pelancongan sehingga tempahan hotel hampir 100 peratus penuh sepanjang tahun lalu.

Pada 2017, Sabah mencatat sebanyak 8.7 peratus kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu yang tertinggi di Malaysia, justeru standard yang diletakkan oleh pentadbiran terdahulu kepada Mohd. Shafie amat tinggi.

Dengan pengalaman yang ba­nyak selama lebih 20 tahun berpolitik dan menyandang jawatan penting Pusat, Mohd. Shafie semestinya mampu menjalankan tanggungjawab tersebut bagi mem­bawa harapan besar setiap rakyat terutama pengundi beliau yang percaya kepada slogan ‘Sabah Ubah’.

Di sebalik pelantikan Mohd. Shafie, seluruh rakyat Malaysia pasti sedar Sabah kini seolah-olah mempunyai dua Ketua Menteri selepas Pengerusi BN, Tan Sri Musa Aman terlebih dahulu mengangkat sumpah Khamis lalu di Istana Negeri.

Kem Musa masih lagi berkeras bahawa pihak mereka adalah ke­rajaan yang sah walaupun Istana Negeri sudah mengesahkan pe­lantikan Mohd. Shafie, malah surat arahan supaya Musa meletakkan jawatan juga telah dikeluarkan.

Justeru, sebagai pemimpin yang berpengalaman dan dihormati, Musa sepatutnya berjiwa besar menerima kekalahan dengan hati yang terbuka serta membantu memastikan proses peralihan kuasa berjalan dengan sebaik mungkin.

Janganlah dipertikai sesuatu keputusan yang jawapannya sudah pasti kerana akhirnya rakyat yang akan keliru sehingga boleh mengganggu kelancaran pentadbiran negeri.

Contohi sikap bekas Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletak jawatan kerana memikul sepenuhnya tanggungjawab ke­kalahan parti itu.

Ketika ini, rakyat tidak mahu lagi dibebankan dengan isu-isu politik yang meresahkan sehingga boleh menimbulkan hasad dengki dan caci-mencaci sesama sendiri terutama di media sosial.

Selama tiga minggu lalu, semua bercakap soal politik sehingga kita hampir lupa di Pusat Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang, sambutan terbesar kaum Kadazan Dusun dan Murut iaitu Pesta Kaamatan sedang berlangsung.

Sudah tiba masanya, rakyat bersatu hati di bawah satu ke­pimpinan. Lupakan isu politik dan bersama-sama meraikan kemeriahan pesta menuai itu.

Kotobian tadau tagazo do Ka­a­matan!