Allahyarham Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail misalnya, antara tokoh wartawan yang dilahirkan oleh Utusan banyak menulis cerpen dan pelbagai genre buku terutama politik yang telah menaikkan lagi nama beliau sebagai penulis.

Menurut bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar, beliau menyifatkan Allahyarham tidak pernah melupakan tempatnya berjuang dalam bidang kewartawan biarpun selepas meletakkan jawatannya di Utusan.

Katanya, arwah yang kemudiannya aktif dalam politik bersama UMNO dan menjadi penulis sepenuh masa sentiasa menjadikan Utusan rumah kedua serta rakan-rakan seperjuangan di organisasi itu akrab sehingga ke akhir hayat beliau.

“Buktinya beliau telah menjadi Presiden Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) sehingga ke akhir hayatnya. Beliau telah banyak melakukan kerja-kerja amal bagi membantu ahli-ahli KVUM yang dianggap seperti saudara maranya sendiri.

“Menjadi tradisi sesiapa juga yang pernah bekerja di Utusan, apabila mereka pencen atau bekerja di tempat lain, mereka tidak akan melupakan syarikat ini termasuklah arwah sendiri, apatah lagi memburuk-burukkan Utusan,” katanya.

Jelas Johan, ternyata bakat dan pengalaman bekerja di Utusan telah banyak membantu Allahyarham mengembangkan lagi bakat serta popularitinya sebagai penulis yang tidak jemu-jemu menulis sehinggalah ke akhir hayat arwah.

Sepanjang terbabit dalam bidang penulisan, Allahyarham yang meninggal dunia pada 22 September lalu, pukul 10 malam pada usia 77 tahun dengan meninggalkan lima anak dan 21 cucu boleh dikategorikan sebagai penulis yang serba boleh.

Ini kerana, Allahyarham bukan setakat menulis buku-buku tentang dunia politik tanah air, tetapi juga genre penulisan sastera seperti cerpen yang merupakan minat serta kecenderungan arwah sejak bertugas di Utusan selama hampir dua dekad.

Sehingga ke akhir hayat Allahyarham, beliau telah menulis 25 buku kisah nabi, 11 novel, empat buku politik dan dua antologi cerpen yang kebanyakannya diterbitkan menerusi syarikat penerbitan miliknya iaitu BYG Publisher & Distributors.

Novel bertajuk Kaul hasil nukilan Allahyarham pernah menerima Hadiah Penghargaan dalam pertandingan menulis anjuran Gabungan Penulis Nasional (Gapena) – Yayasan Sabah pada tahun 1979 membuktikan pembabitan beliau sebagai penulis.

Johan masih ingat iaitu pada Mei tahun lalu di Dewan Besar Utusan, beliau dijemput sendiri oleh Allahyarham bagi melancarkan novel tulisan arwah bertajuk Geruh dan juga Mencari Cerah Di Hujung Tanjung tulisan Zahari Affandi yang juga bekas wartawan Utusan.

Buku terakhir tulisan Raja Ahmad Niza bertajuk Dato’ Harun: Tumbangnya Seorang Pejuang Melayu banyak menceritakan sejarah politik di Selangor di bawah bekas Menteri Besarnya iaitu Allahyarham Datuk Harun Idris yang penuh dengan kontroversi.

Allahyarham menulis buku itu berdasarkan pengalaman arwah sebagai wartawan Utusan dan juga ikatan erat yang pernah dijalin antara beliau dengan bekas Menteri Besar itu sejak pertengahan tahun 1970-an sehinggalah Harun meninggal dunia.

Banyak catatan dan gambar-gambar peribadi Allahyarham yang menceritakan tentang pengalaman terutama kontroversi-kontroversi dalam politik sewaktu era Harun menjadi Menteri Besar Selangor yang digarap oleh arwah secara eksklusif.

Difahamkan buku tulisan Allahyarham itu berjaya menarik perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Kerajaan Selangor kerana ia merupakan salah satu catatan yang boleh dijadikan bahan rujukan dalam konteks sejarah politik negeri itu.

Allahyarham Raja Ahmad Niza bukan setakat banyak menulis tentang dunia politik, malah pada masa sama juga aktif dalam UMNO, antaranya pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Bahagian Selayang, Naib Ketua Bahagian dan Timbalan Ketua Bahagian.

Setiausaha KVUM yang juga rakan baik Allahyarham, Roslee Azmi pula berkata, arwah juga boleh dikategorikan sebagai antara ikon wartawan tersohor yang pernah dilahirkan oleh Utusan seperti Pak Sako, Usman Awang dan ramai lagi.

“Arwah yang pernah menjadi Penolong Pengarang Mingguan Malaysia sangat disenangi oleh rakan-rakan beliau di Utusan. Sementara di luar Utusan pula beliau amat disegani bukan sahaja sebagai penulis tetapi dalam melakukan kerja-kerja amal.

“Beliau antaranya aktif dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuklah mencari dana kebajikan bagi membantu ahli-ahli KVUM yang sedang dalam kesusahan sehinggalah ke akhir hayat arwah,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut anak sulung Allahyarham, Raja Shahrulzaman, 47, bapanya tidak sempat menyudahkan buku bertajuk Buletin Kasih Keturunan Raja Abdullah yang berkisar tentang salah silah keturunan keluarganya.

Katanya, Allahyarham telah bertungkus lumus menyiapkan buku itu sejak dua tahun lalu agar semua anak cucu arwah dan keluarga beliau yang akan datang tahu akan sejarah keturunan keluarganya daripada buku tersebut.