Kedua-dua belah kaki Mohamad Thaqif terpaksa dipotong setelah dijangkiti kuman selepas didakwa dipukul beberapa kali oleh seorang pembantu warden tempat dia belajar. Setelah menjalani pembedahan, dia koma. Tidak lama kemudian ta­ngan kanannya pula menjadi kehitaman. Dia dijadual menjalani pembedahan di bahagian tangan tetapi ditangguhkan kerana jantungnya tidak stabil. Tidak lama selepas itu dia me­ninggal dunia.

Walaupun sedih dengan apa yang menimpa anak mereka, keluarga mangsa menunjukkan ‘jiwa besar’ dengan memaafkan semua individu yang terlibat dengan kes itu. Bapanya Mohd. Gaddafi Mat Karim menyatakan mereka satu keluarga sama sekali tidak pernah berdendam malah mengharapkan apa yang berlaku dijadikan iktibar oleh semua pihak. Dia menye­rahkan segalanya kepada pihak berkuasa.

Kisah kematian tragis itu turut membuka jendela perbincangan berhubung sistem pendidikan madrasah tahfiz serta isu-isu yang berkaitan dengannya. Kes ini diperbincang, diulas dan dikupas secara panjang lebar. Topik ini menjadi sangat trending. Seperti biasa media sosial menjadi platform paling sibuk dan terperinci membincangkan kes tersebut. Pelbagai sisi dan sudut pandang disentuh terutama trend kewujudan pusat-pusat tahfiz yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak belajar di situ selain cerita-cerita benar dan terselindung yang berlaku di sana.

Ada yang bercerita mengenai pengalaman peribadi sebagai ibu bapa yang menghantar anak-anak menuntut di pusat atau madrasah tahfiz. Ada juga yang menggarap penga­laman sendiri sebagai murid atau pelajar tahfiz. Tidak kurang juga yang menegur dan menghentam sistem dan struktur pendidikan tersebut yang kebanyakannya dikendalikan oleh pihak swasta atau orang perseorangan dengan majori­tinya berada dalam keadaan serba kekurangan dan daif.

Sebelum ini pun sudah ada banyak cerita mengenai pusat pendidikan demikian. Kebanyakannya cerita mengenai kedaifan dan perjuangan untuk meneruskan kelangsungan sekolah-sekolah tersebut. Sedikit masa dahulu masyarakat hanya mengetahui kewujudan sekolah tahfiz apabila berlaku kes-kes kemalangan jiwa seperti kebakaran. Ada pelajar terbunuh dan tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran besar. Puncanya antara lain bangunan sekolah dan asrama yang sudah terlalu usang dan tidak mempunyai ciri-ciri ke­selamatan sehingga terdedah kepada kebakaran. Sekolah-sekolah ini pula hidup atas ihsan, derma dan sumbangan ikhlas orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

Juga banyak kali didedahkan bagaimana ada segelintir pusat tahfiz terpaksa mengerahkan murid, pelajar atau kakitangannya mengutip derma bagi membantu kelangsungan pusat tahfiz masing-masing. Bukan tidak ada pusat tahfiz yang moden dari aspek bangunan sekolah dan asrama, kemudahan asas serta sistem pendidikan dan pengurusan terkini, tetapi bilangannya boleh dikira dengan jari. Sekolah sedemikian kebanyakannya menjadi tumpuan golongan yang mampu sahaja.

Selain bab pembangunan sekolah atau madrasah tahfiz, juga disentuh ‘kegilaan’ segelintir ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat tahfiz semata-mata kerana anak tersebut bermasalah. Harapan mereka anak itu akan ber­ubah. Ada yang menjadi dan ada juga yang tidak menjadi. Ada juga segelintir ibu bapa dikatakan berbuat demikian bagi ‘menebus’ dosa silam mereka.

Apa yang menimpa arwah Mohamad Thaqif Amin diha­rapkan dapat membuka mata banyak pihak tentang sekolah tahfiz lebih-lebih lagi dalam aspek pembangunan dan pe­ngurusannya. Selama ini kewujudan sekolah tahfiz walaupun disedari dan memberi impak besar kepada masyarakat Islam, tidak begitu dipedulikan. Mereka bergerak sendiri-sendiri mengikut satu sistem yang diwarisi. Sistem yang mungkin sudah tidak sesuai lagi dengan perkembangan dunia sekarang.

Walaupun ada pusat tahfiz moden yang mengguna pakai sistem pembelajaran dan pengurusan terkini dan moden, tidak banyak pusat tahfiz lain yang berupaya mengikuti jejak kerana pelbagai kekangan terutama dari aspek dana dan keupayaan kewangan.

Semoga apa yang telah berlaku ke atas arwah Mohamad Thaqif Amin menjadi titik permulaan kepada semua pihak untuk menjengah dengan lebih kerap madrasah, sekolah agama dan pusat tahfiz yang melata di negara ini.