Pak Imam dan jawatankuasa masjid dipersalahkan jika berlaku apa-apa perbuatan mungkar atau maksiat di sekitar kampung. Dan kelemahan prestasi jabatan terus diletak pada tanggungjawab ketua jabatan, walau pun para petugas selalu cuai dan enggan bekerjasama.

Jarang kedengaran, ibu bapa mengakui mereka kurang memberi perhatian berat aspek mendisiplin dan membina peradaban mulia terhadap anak-anak sejak awal usia, sebelum memasuki alam persekolahan. Mereka hanya ‘mengharap’ akhlak anak-anak terbentuk dengan sendiri tanpa ‘mencari’ kaedah bagaimana memastikan anak-anak dibekal dengan mutu disiplin yang tinggi.

Justeru, tidak hairan jika terdapat anak-anak membesar tanpa memahami makna nilai jati diri, maruah dan martabat bangsa sehingga sanggup pula ‘melondeh’ hak-hak yang sudah sedia dimiliki. Mereka ‘bosan’ apabila berbicara tentang kegemilangan bangsa sendiri.

Orang Melayu resah dan mengeluh lantaran ada pihak lain cuba merobek, menceroboh atau mengganggu kedaulatan bangsa mereka, namun usaha membina kekuatan melalui perpaduan ummah sengaja diketepikan. Mereka seolah-olah keberatan menganggap aspek perpaduan benteng utama dalam mempertahankan hak dan maruah bangsa.

Apa pun, baguslah, belajar daripada kesilapan silam, orang Melayu bangkit, membantah keras usaha pihak tertentu meratifikasi atau mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskrimanasi Kaum (ICERD). Mereka sesungguhnya tidak mahu tersilap langkah, membenarkan hak-hak keistimewaan sebagaimana tercatat dalam perkara 153 Perlembagaan Persekutuan terhapus.

Negara kekal stabil, makmur jika semua pihak saling menerima dan menghormati asas yang ada. Malaysia tersendiri sifat asal usulnya. Struktur pemilikan hak-hak istimewa orang Melayu dan toleransi untuk semua cukup harmoni dan jelas. Jadi, elok jika dielakkan daripada berlaku sebarang kesilapan merungkai konsep kenegaraan yang sudah terpasak kukuh ini.

Kadang-kadang terbangkit persoalan, kenapa masyarakat hanya menyalahkan ada pihak yang menipu mereka? Sedangkan, atas kesilapan dan kelemahan sendirilah mereka mudah ditipu. Ada yang kesal dan menyalahkan wakil-wakil rakyat yang mereka pilih kerana tidak menunaikan amanah secara berkesan, tetapi mereka tidak merasa tersilap kerana memilih calon-calon yang tidak sesuai. Mungkin tidak ‘anak tempatan’, kurang berkaliber atau hanya sanggup ‘berbohong’ semata-mata mahu diangkat sebagai ahli Yang Berhormat (YB).

Pernah terpacul persoalan daripada seorang rakan penulis semasa berbual-bual di sebuah kafe: “Adakah sistem Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini menjadi penyebab kenapa timbul janji-janji palsu, serangan peribadi, cemuh mencemuh dan menimbulkan bermacam kekeliruan dalam kehidupan harian kita?”

Lantas seorang lagi rakan menjawab: “Sistem tidak pernah salah, sebaliknya kita! Kita dibekalkan daya fikir yang baik tentu tahu menilai dan membuat ketetapan wajar, siapa dan parti mana yang perlu kita pilih. Manakala, pemilihan perlulah berasaskan rasional dan justifikasi tepat selain pengamatan secara jujur dan mendalam. Jadi, semua itu terletak di tangan kita!”.

Sekian lama, istilah ‘politik’ dipinggirkan dalam kehidupan harian sesetengah pihak atau institusi. Silapnya, politik dianggapnya sebagai suatu ‘subjek’ yang ‘memualkan’ jika pun tidak dianggap ‘jijik’. Politik bagi mereka adalah untuk ‘orang politik’. Tanpa mereka sedar, politik berkaitan kuasa. Dan melalui kuasa barulah boleh memelihara dan menegakkan maruah dan kedaulatan agama dan bangsa.

Silapnya juga, golongan pendukung atau aktivis politik yang secara tidak langsung ‘mewarnai’ politik itu kotor dan sekadar menghabiskan masa. Sepatutnya politik digambarkan secara sihat, sebagai wadah penting dalam kehidupan.

Malah, banyak lagi contoh yang boleh diambil iktibar dalam hal ‘silap orang dan silap kita’ ini. Termasuk juga dalam berorganisasi. Pun misalnya, mahu menjamu selera? Kenapa memilih tukang masak yang baharu mahu belajar memasak? Pakaian mungkin tidak akan selesa dipakai jika menempah pada tukang jahit yang baharu ‘belajar-belajar’ menjahit.

Seorang wanita yang sanggup meninggalkan suami mungkin atas sedikit sebanyak permasalahan rumah tangga akhirnya terjerat dengan janji manis lelaki luar dan berakhir dengan penyelesalan ‘yang tak sudah’. Kerap berlaku, janji sebelum kahwin selalunya ‘menggunung tinggi’, namun lain ceritanya selepas ‘manis diperah’. Salah siapa?

Masyarakat Jepun amat mengambil-berat soal integriti, moral dan janji. Mereka sanggup ‘menebus malu’ dengan cara tersendiri jika gagal menunaikan janji atau memikul amanah dengan sebaiknya. Ada yang bertindak meletak jawatan, dan yang lebih tragis lagi, ada yang sanggup ‘menebusnya’ dengan nyawa sendiri.

Teringat senikata lagu “Menyesal Tak Berguna”...bercahaya bukan bulan, berkelip bukan bintang...berkilau bagaikan keemasan, namun segalanya hanya kepalsuan. Jadi, berwaspadalah!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.