Benar seperti liriknya, mendengar sahaja lagu itu membuatkan hati anak rantau yang mencari rezeki di ibu kota melonjak-lonjak mahu pulang ke kampung halaman.

Seminggu lagi umat Islam bakal menyambut hari kemenangan. 1 Syawal dijangka jatuh pada 15 Jun 2018.

Bagi yang bakal pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya, sudah tentu ia menjadi saat yang paling ditunggu-tunggu.

Walaupun terpaksa mengharungi perjalanan yang berjam-jam lamanya kerana jalan raya yang sesak dengan kenderaan, ia bukan penghalang untuk anak rantau pulang ke kampung halaman bagi menyambut hari istimewa setahun sekali ini.

Balik raya adalah satu kemestian kepada perantau yang tinggal di kota. Walaupun sudah beranak-pinak dan bercucu di kota sekalipun, balik kampung adalah satu perkara wajib yang dilakukan apabila tiba Aidilfitri.

Jika di Semenanjung Malaysia, mereka yang berasal dari Pantai Timur terpaksa berhadapan dengan cabaran lebih getir ketika melakukan perjalanan pulang ke kampung.

Umum mengetahui anak rantau dari Kelantan merupakan antara yang paling ramai mencari rezeki di ibu kota.

Bagi Nurfadhillah Arzmi, 33, dia dan suami Norhisyam Ismail, 33, biasanya akan memulakan perjalanan pulang ke Kota Bharu, Kelantan sehari atau dua hari sebelum tibanya Hari Raya Aidilfitri.

“Ketika itupun, jalan raya sudah mulai sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu ke Pantai Timur. Paling sesak sehingga kenderaan bergerak perlahan adalah Lebuh Raya Karak, Bentong sehinggalah ke Gua Musang.

“Pernah kami sekeluarga mengambil masa hampir 20 jam dari ibu kota ke Kota Bharu untuk pulang berhari raya,” katanya kepada S2.

Menurut Nurfadhillah, sejak mempunyai anak kecil, dia dan suami akan memulakan perjalanan seawal pukul 3 pagi kerana jalan raya ketika itu tidak sesak dengan kenderaan.

Katanya, walaupun terpaksa bertahan lama di dalam kenderaan, dia dan keluarga sanggup mengharunginya demi berada bersama keluarga untuk menyambut lebaran.

Tambahnya, perjalanan pulang dari Kelantan ke Kuala Lumpur juga tidak kurang mencabarnya kerana kesesakan jalan raya lebih teruk berbanding ketika pulang ke kampung untuk menyambut Syawal.

“Jalan raya lebih sesak kerana semua yang pulang ke kampung mahu melakukan perjalanan pulang semula ke ibu kota pada waktu yang sama. Biasanya, bermula hari raya ketiga, jalan raya sudah semakin sibuk,” katanya.

Katanya, ketika ini, tempoh perjalanan dari Kota Bharu ke Gua Musang sahaja sudah mengambil masa sehingga lapan jam berbanding hanya tiga jam pada waktu biasa.

Ujarnya, mujur ada kawasan rehat dan rawat serta stesen minyak yang boleh dijadikan kawasan untuk mereka berhenti menghilangkan penat ketika memandu dan berada dalam kenderaan untuk waktu yang lama.

Keadaan sama dilalui Mohd. Irwan Abdullah,22, yang berasal dari Pasir Mas,Kelantan. Namun sebagai orang bujang, cabaran melakukan perjalanan jauh mungkin agak berbeza 
dengan mereka yang sudah berkeluarga.

Katanya, tahun ini, dia bakal pulang ke kampung dengan menunggang motosikal.

“Saya jangka perjalanan mungkin mengambil masa antara enam hingga lapan jam dengan menaiki motosikal. Tempoh waktu itu bergantung kepada keadaan kesesakan jalan raya,” katanya yang pertama kali bakal pulang ke Kelantan dengan menaiki motosikal.

“Walaupun ‘seksa’ menaiki motosikal untuk perjalanan yang begitu jauh, saya sanggup kerana apa yang lebih bermakna, saya dapat bersama keluarga pada hari raya,” katanya.