Berikut antara perkara yang penulis anggap kenapa seronok menjadi pembangkang di negara ini.

Bijak mencipta persepsi

Pakatan pembangkang cukup bijak dalam soal ini dengan mencetuskan pelbagai isu yang biarpun tidak benar tetapi mampu mewujudkan persepsi buruk rakyat kepada kerajaan.

Dalam pilihan raya umum (PRU) 2008, ‘senjata’ inilah yang digunakan sehingga mampu menamatkan penguasaan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat. Terbaharu, mereka menuduh Malaysia bankrap dan negara ini kembali dijajah dengan kehadiran pelabur asing.

Walaupun ia demi memper­kukuhkan ekonomi negara tetapi pembangkang bijak memain­kan persepsi sehingga membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan. Bagaimanapun apabila mereka bertemu pihak asing, ia tidak pula dianggap menjemput ‘penjajah’. Sebaliknya mereka mempertahankan tindakan itu dengan pelbagai alasan termasuklah kononnya pilihan raya negara ini tidak telus sedangkan tiga negeri kini masih milik mereka sejak 1990 dan 2008.

Keberanian bertempat

Beberapa pemimpin pemba­ngkang seperti Ahli Parlimen Pan­dan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara To­ny Pua cukup seronok kerana di­angkat sebagai wira mendedahkan kepincangan, menentang pe­nyelewengan dan memerangi rasuah serta salah guna kuasa.

Walaupun isu yang mereka ba­ng­kitkan sudah dijelaskan berkali-kali seperti isu 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB), Felda dan Tabung Haji, namun kedua-dua mereka tetap memainkan isu itu dengan tujuan meracuni fikiran rakyat kononnya kerajaan BN tidak bersih penuh rasuah dan tiada integriti.

Malangnya, apabila ada kes dalam kategori sama berlaku contohnya di Pulau Pinang dan Selangor, Rafizi dan Tony ‘kecut’ segala-galanya. Tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar daripada mulut mereka. Keadaan itu berlaku kerana perjuangan mereka bukanlah demi menegakkan kebenaran tetapi semata-mata demi meraih sokongan politik. Bagaimanapun, mereka tetap di­sanjung oleh penyokong mereka.

Sokong agensi awam bila ada ke­pentingan

Kita masih ingat bagaimana ketika isu 1MDB hangat diperka­takan, pemimpin-pemimpin ka­­nan pembangkang berbondo­ng-bon­dong mengunjungi Ibu pe­jabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya. Mereka menyatakan sokongan ti­dak berbelah bahagi kepada agensi itu untuk memerangi rasuah dan penyelewengan tanpa rasa ta­kut serta mendesak ia dilakukan tanpa memilih bulu.

Tetapi apabila pemimpin pem­bangkang disiasat dan ditahan oleh SPRM, mereka bagaikan ‘kuntilanak tidak boleh jejak tanah’. Mereka menuduh SPRM menjadi ‘tali barut’ kerajaan dan tindakan dilakukan adalah bermotif politik, sedangkan sebelum itu ramai ahli politik BN menerima nasib yang sama.

Lanjutan itu, mereka sekali lagi berjaya memperdayakan sebahagian rakyat untuk mempercayai tindakan SPRM bukan dilakukan berlandaskan undang-undang tetapi bermotifkan politik. Akibatnya, dalam portal-portal propembangkang, SPRM dan kerajaan dikecam.

Boleh permainkan demokrasi

Pada 31 Julai 2008, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil. Walaupun tindakan itu dilihat mempermainkan undi rakyat, tetapi Anwar tetap menang.

Pelbagai hujah mereka berikan termasuklah ketika Anwar melaksanakan ‘Langkah Kajang’ yang bertujuan menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Tanpa sebab kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dikosongkan. Wan Azizah bertanding dan menang. Jika langkah itu dilakukan oleh BN sudah pasti parti tersebut akan dikecam habis-habisan dan dituduh salah guna kuasa. Tetapi bila pembangkang buat penyokong mereka me­nganggap ia demi kebaikan parti.

Sertai pembangkang wira, bila keluar kena beli.

Bila ada pemimpin atau pe­nyo­kong kerajaan menyertai pem­bangkang, mereka akan di­sanjung sebagai wira. Riuhlah sekampung puak-puak pembangkang berhujah ia membuktikan kepemimpinan BN semakin ditolak, tetapi apabila ada yang keluar pembangkang, mereka dituduh terima habuan, dedak dan sebagainya.

Sebab itulah walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad satu ketika dianggap musuh ketat dan orang yang paling dibenci oleh pembangkang tetapi apabila beliau menyertai Pakatan Harapan, pemimpin berusia 92 tahun itu disanjung. Penulis percaya jika Dr. Mahathir masih berada dalam BN, pasti beliau akan diminta oleh pembangkang untuk ‘duduk diam-diam’.

Hanya modal ‘air liur’

Walaupun ramai wakil rakyat pembangkang tidak melaksanakan tugas mereka dengan baik di kawasan masing-masing, namun mereka tetap menang setiap kali pilihan raya. Berbanding pe­mimpin-pemimpin BN yang ke­rap turun padang dan mengeluarkan peruntukan bagi membantu rakyat, ADUN mahupun Ahli Parlimen pembangkang hanya bermodal ‘air liur’ sahaja.

Mereka memainkan pelbagai isu supaya rakyat menolak BN. Sebab itulah kita lihat kebanyakan wakil rakyat pembangkang ‘tenang sahaja’ tidak perlu susah payah menjenguk rakyat kerana mereka tahu ada sebahagian besar rakyat akan terima ‘modal air liur’ mereka.

Kesimpulannya, banyak lagi perkara yang menunjukkan betapa seronoknya menjadi pembangkang, tetapi apa boleh buat, pembangkang amat licik berpolitik sehingga ‘yang batil dianggap benar’, ‘yang benar dianggap batil’.